Jubah

Jubah

Sunday, November 2, 2014

PELIHARALAH AHLI KELUARGA KITA

PELIHARALAH AHLI KELUARGA KITA
PENDAHULUAN

Bagaimanakah keadaan kita dan keluarga kita hari ini? Adakah sihat dalam keimanan atau pun tidak? Bagaiamanakah pula ahli keluarga kita di tempat kerja? Adakah mereka masih dalam ketaatan kepada Allah atau pun tidak?

Hari ini ingin dikongsikan satu tazkirah berkaitan muhasabah kita tentang diri kita dan juga ahli keluarga kita.

Dengan harapan kita dapat melihat masa depan kita di akhirat kelak berdasarkan peringatan yang terdapat di dalam al-Quran.

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
(Surah At-Tahriim:6)

Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang kewajipan untuk kita memelihara ahli keluarga kita dari menjadi bahan api neraka.

Tuntutan ini sangat penting kerana inilah yang selalu dilupai oleh sebahagian umat manusia. Mereka lupa akan tujuan hidup, dan tempat terakhir kehidupan mereka di akhirat kelak.

Maka ayuh kita sama-sama sedarkan diri kita, rakan taulan kita, keluarga kita, staf kita akan pengajaran dari ayat ini.

PELIHARA KELUARGA: TINGKATKAN PRESTASI IMAN

Tingkatkan prestasi iman ahli keluarga kita dengan mengajak ke arah ketaatan kepada Allah s.w.t dan RasulNya.

Bagaimana? Dengan memberi suntikan didikan tarbiyah Islamiyah dan juga menanamkan dalam diri akhlak syakshiah seperti Rasulullah s.a.w.

Inilah yang perlu kita lakukan dalam keluarga kita. Kurangnya pendekatan dalam agama, menyebabkan kehdiuapn menjadi hiruk-pikuk.

Hormat-menghormati hilang didalam keluarga. Justeru itu, tingkatkan prestasi iman ahli keluarga dengan menyusun semula kehidupan kita dan ahli keluarga ke arah lebih patuh shariah.

Jangan tinggalkan iman kerana Allah s.w.t berfirman:

Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Surah ali-Imraan:177)

KELUARGA BERIMAN ADALAHA KELURGA YANG MENDAPAT RAHMAT

Setelah prestasi iman ditingkatkan, ketaqwaan dikuatkan maka Allah akan menurunkan rahmat buat mereka.

Bukankah rahmat Allah yang kita cari selama ini? Rahmat dalam perniagaan, dalam keluarga, dalam organisasi dan sebagainya?

Tanpa rahmat manusia hilang pedoman. Perhatikan sahaja apabila sesebuah negara hilang rahmat Allah s.w.t. Apabila negara membiarkan kezaliman, kemaksiatan berleluasa, maka hilang rahmat. Apabila hilang rahmat, musibah yang akan melanda.

Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini, dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya.
(Surah al-Qasas:42)

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Peliharalah ahli keluarga kita dari neraka kerana ia sangat pedih dan tidak terperi.

2.   Peliharalah dengan sentiasa mengajak ahli keluarga ke arah kebaikan dan mencegah mereka dari melakukan kemungkaran.

3.      Peliharalah juga dengan tarbiyah Islamiyah. Didik ahli keluarga agar cintakan agama Islam. Mereka cinta Islam, mereka juga akan cintakan kita.

4.  Kejarlah rahmat Allah dengan menjadikan ahli keluarga adalah ahli keluarga yang benar-benar beriman.

5.      Bermuhasabahlah “ Sudahkah aku bertindak dalam memastikan ahli keluargaku selamat di akhirat kelak?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam


No comments:

Post a Comment