KEINDAHAN ISLAM TERHIJAB KERANA UMATNYA
PENDAHULUAN
Islam itu indah. Indahnya Islam sehinggakan mata yang melihatnya
mampu tertawan. Kerana apa? Kerana ia memiliki aura yang sangat hebat.
Buktinya Islam itu dicintai dan dihormati oleh umat dan musuhnya
suatu ketika dahulu. Keindahan Islam dari sudut akhlak, ketaatan dalam ibadah,
penguasaan terhadap ilmu duniawi dan ukhrawi dan sebagainya, menampakkan
keindahannya yang jelas.
Tetapi malangnya, pada zaman kini, keindahan Islam itu telah
ditutupi oleh umatnya sendiri. Sebahagian umat Islam tidak lagi mempamerkan
akhlak yang baik.
Ibarat sebuah taman yang cantik telah ditutupi dengan kabus atau
jerebu yang tebal sehinggakan kita tidak lagi mampu melihat kecantikan dan
keindahan taman tersebut.
Mengapa perkara ini boleh berlaku? Lupakah mereka akan siapa diri
mereka sebenarnya? Lupakah mereka tanggungjawab terhadap agama?
Maka tazkirah kali ini marilah kita sama-sama bermuhasabah akan
punca keindahan Islam itu terhijab kerana umatnya.
Kita ketahui bahawa Islam itu adalah celupan yang indah dari Allah
s.w.t. Allah s.w.t berfirman:
(Katakanlah
wahai orang-orang yang beriman: "Agama Islam,
yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh
kehidupan kami dengan corak Islam);
dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan
Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".
(Surah al-Baqarah:138)
Jelas bahawa kehidupan Islam itu adalah celupan dari Allah yang
sangat baik yang Allah telah sediakan untuk umat manusia.
TERHIJAB KERANA UMAT BERMASALAH
Adakah kita ini umat yang bermasalah? Masalah dengan Islam itu
sendiri? Kita bermasalah dalam mengenal karakter dan identiti kita sendiri.
Kita adalah muslim yang bertanggungjawab mengindahkan agama kita
dengan akhlak dan sikap yang baik.
Islam terhijab kerana umatnya cintakan kemungkaran. Betapa ramai
dikalangan umat Islam memilih untuk melakukan kemungkaran berbanding ketaatan.
Keindahan Islam terhijab apabila umatnya suka membuat sesuatu yang
telah diharamkan oleh Allah s.w.t sedangkan telah disediakan buat mereka
perkara yang halal dan harus.
Keindahan Islam terhijab kerana umatnya gagal menunjukkan akhlak
yang baik, sedangkan Nabi kita Muhammad s.a.w terkenal dengan akhlak yang baik.
Keindahan Islam terhijab kerana umatnya suka bertelagah sesama sendiri
baik dalam isu kecil mahupun besar, sedangkan kaedahnya Islam itu indah apabila
sesuatu masalah itu diselesaikan melalui perbincangan yang sihat.
Keindahan Islam terhijab apabila umatnya lebih mengutamakan dunia
berbanding akhirat.Apabila dunia menjadi keutamaanya, maka hilanglah ciri-ciri
sebagai seorang muslim.
Keindahan Islam terhijab kerana umatnya tidak patuh pada
Penciptanya. Apabila umat tidak patuh pada Penciptanya, maka sifat ehsan tidak
akan wujud di dalam dirinya.
INDAHKAN SYARIKAT DENGAN SYARIAT
Sesebuah syarikat atau organisasi akan tampah indah apabila syariat
Islam itu dilaksanakan. Bukan sahaja indah dimata, malah indah apabila didengar
dan indah apabila dibicarakan.
Seperti sebuah masjid, apabila kita melalui dihadapannya, kita akan
rasa tenang. Tenang kerana keindahannya. Tenang kerana mendengar bacaan dan
alunan dari ahli di dalamnya. Tenang melihat aktiviti keagamaan seperti ceramah,
forum dan sebagainya.
Maka ketenangan itu pasti hadir bila Islam itu benar-benar diperlihatkan
akan keindahannya.
Maka bagaimanakah kita ingin mencelup syarikat dan organisasi kita
ini? Sudah tentu dengan celupan Islam dan syariatnya.
Itulah yang kita mahukan. Kita disukai oleh pelanggan dan pekerja
kerana keindahan Islam yang ada didalamnya.
Dan tanggungjawab kita untuk memastikan Islam itu tampak Indah.
Jika kita masih dibelenggu dengan karakter yang negatif, dan keliru dengan identiti
kita sebagai umat Islam, maka kita hanya membuat sesuatu yang kosong tanpa hala
tuju.
PENUTUP
Pengajaran yang boleh diambil:
1.
Indahkanlah
Islam di dalam kehidupan kita dengan memberi keindahan yang sebenar-benarnya.
2.
Iaitu
dengan akhlak yang baik, ketaatan pada ibadah, ketaatan kepada suruhan dan
larangan Allah serta mengikut contoh peribadi baginda Rasulullah s.a.w.
3.
Indahkan
juga organisasi dan syarikat kita dengan Islam, kerana ia akan disukai oleh
pelanggan dan pekerja kita.
4.
Dan
bermuhasabahlah kita “Adakah kita ini tergolong dikalangan umat yang menutup
keindahan Islam? Jika ya, maka berubahlah.
Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak
Wallahualam
No comments:
Post a Comment