TETAP TEGUH HADAPI BADAI
PENDAHULUAN
Dalam kita menyusuri kehidupan ini khususnya di dalam kerjaya kita,
badai ujian dan pancaroba pasti berlaku.
Air yang tenang ada kalanya akan berombak. Sama ada berpunca dari unsur
dalaman mahupun unsur luaran.
Dan jika hati dan jiwa tidak kuat, maka kita mudah untuk tewas
dengan badai ini. Tetapi jika kita tetap teguh, bersatu padu seperti sebuah
pasukan tempur yang mantap dan hebat, maka badai ini dapat kita atasinya dengan
baik.
Itulah kehidupan yang perlu kita hadapi. Kita tidak selamanya akan
selesa dengan keadaan yang sedia ada. Ujian tetap ada. Dan ujian itu wujud
kerana Allah s.w.t ingin melihat hamba Dia yang manakah yang kuat bersabar dan tetap
teguh pada agamanya.
Allah s.w.t berfirman:
Adakah
patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada
kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang
terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda)
dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga
berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah
(datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah
itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada
agama Allah).
(Surah al-Baqarah:214)
Jelas pada ayat ini bahawa Allah s.w.t menjelaskan kepada kita akan
pertolonganNya. Asalkan kita terus bersabar dan berpendirian teguh.
KESABARAN YANG HEBAT SEPERTI BAGINDA
Apakah kesabaran kita seperti baginda Rasulullah s.a.w?
Bagaimanakah kesabaran Nabi kita ini dalam menyampaikan dakwahnya?
Kita pernah mendengar bagaimana keadaan baginda dalam menyebarkan
dakwah. Nabi luka parah dalam peperangan. Nabi dicemuh oleh Kaum Quraisy. Nabi
disindir dan baginda pernah ditawarkan hadiah yang lumayan agar baginda
berhenti dari dakwahnya.
Tetapi cuba kita lihat. Islam itu diterima oleh seluruh dunia. Itu
hasil perjuangan baginda dan para sahabat ketika dizamannya.
Baginda sentiasa berpendirian teguh di atas matlamat dan perjuangannya.
Tugasan sebagai Rasul digalas dengan penuh bertanggungjawab.
Bagaimana pula dengan kita? Kita sedang bersama-sama memperjuangkan
syariat Islam. Apakah kita ingin tertewas atau menyerah kalah hanyasanya kita
dibisikkan dengan kata-kata yang boleh melemahkan kita?
Maka fikirkanlah semula. Apa gunanya kita digelar Muslim tetapi
dalam masa yang sama kita adalah orang yang meruntuhkan syariat Islam?
Nauzubillah..
HADIAH YANG HEBAT BUAT GOLONGAN YANG TEGUH
Apakah hadiah yang disediakan oleh Allah kepada orang yang teguh
dalam agamanya? Sudah tentu hadiah yang sangat istimewa. Yang menjadi idaman
bagi jiwa-jiwa yang masih hidup ini. Allah s.w.t berfirman:
Kecuali
orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan
mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada
(agama) Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka
mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman (di
dalam Syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala
yang amat besar.
(Surah an-Nisaa’:146)
Tidaklah keteguhan itu sesuatu yang sia-sia. Baginya ganjaran yang
sangat hebat. Janji Allah itu adalah benar dan pasti.
Maka kuatkanlah iman, berpegang taguhlah sepenuhnya, dan
bersabarlah terhadap segala badai yang sedang atau akan tiba.
Orang yang berpegang taguh, maka kejayaan pasti akan menyusul. Pelihara
hak Allah, Allah akan pelihara hak kita selaku hambaNya.
PENUTUP
Pengajaran yang boleh diambil:
1.
Sentiasalah berpegang teguh dan sabar dalam
menegakkan syariat Allah s.w.t.
2.
Jika
gagal untuk berpendirian teguh, usah bicara tentang kejayaan yang diberkati.
3.
Contohi
baginda yang sentiasa berpegang teguh dan sabar di atas matlamatnya.
4.
Sentiasalah
bertanggungjawab terhadap misi dan visi yang ingin dicapai.
5.
Bermuhasabahlah
“ Adakah aku ketika ini masih teguh dan sabar terhadap badai ujian yang
sedang melanda?”
Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak
Wallahualam
No comments:
Post a Comment