Jubah

Jubah

Sunday, November 23, 2014

PERBAIKI AMALAN UNTUK MENEMPA KEJAYAAN

PERBAIKI AMALAN UNTUK MENEMPA KEJAYAAN
PENDAHULUAN

Bagaimanakah amalan seharian kita pada hari ini? Adakah baik atau kurang baik?Apakah pada hari ini matlamat dan misi kita masih jelas atau kita terlupa dengannya?

Pentingnya untuk kita memperbaiki amalan kita agar kita dapat mencapai sebuah kejayaan. Amalan apakah yang ingin diperbaiki?

Iaitu amalan-amalan negatif yang sama ada kita melakukannya secara sedar atau tidak sedar. Kita ini umat manusia amat mudah untuk terdedah kepada perbuatan dan amalan negatif.

Walaupun pada hakikatnya kita tahu akan kesalahan dan hukum tentang hal tersebut. Oleh demikian, bagaimana mungkin kita akan mampu mendapat kejayaan tetapi dalam masa yang sama amalan-amalan negatif atau yang haram masih lagi kita lakukan dengan suka hati.

Allah s.w.t berfirman:

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
(Surah al-Baqarah:195)

 Jelas pada ayat ini bahawa Allah s.w.t suka akan orang yang sentiasa memperbaiki amalannya.

Dan daripada ayat ini juga Allah mengharamkan kita mencampakkan diri kita ke arah kebinasaan. Apakah maksudnya?

Iaitu kita dilarang melakukan sesuatu yang boleh merosakkan diri sendiri. Maka perlu kita untuk menilai kembali segala amalan dan perbuatan kta sama ada ia berada di atas jalan yang benar atau tidak.

AMALAN BURUK PUNCA KEGAGALAN

Cuba kita perhatikan apakah amalan buruk yang sedang berlaku di dalam kehidupan kita? Contoh amalan buruk adalah seperti kezaliman. Menzalimi di antara satu sama lain.

Tiada persepakatan dan tidak bersatu padu. Sedangkan Islam amat menitikberatkan konsep penyatuan dalam setiap perkara dan urusan.

Fitnah dan aib. Ini adalah amalan yang sangat buruk. Sedangkan kita sudah mengetahui akan buruk sikap tersebut dan kesan buruknya di dunia dan di akhirat.

Maka amalan-amalan seperti ini, jika ia masih wujud maka tidak hairanlah kita berasa sangat sukar untuk mencapai kejayaan.

Kejayaan yang hanya tinggal selangkah, menjadi berat untuk melangkah hanysanya wujud amalan dan sikap sebegini.

Apakah ini amalan umat Islam? Sudah tentu tidak. Maka jelas bahawa kegagalan itu akan terhasil apabila amalan buruk dan negatif dilakukan.

Amalan buruk yang lain adalah seperti melazimi atau berterusan melakukan sesuatu yang diharamkan oleh Allah s.w.t.

Apakah kita lupa bahawa kita ini sedang melangkah untuk menjadi hamba yang bertaqwa? Hamba yang bertaqwa sentiasa memastikan langkahnya adalah langkah kejayaan baik di dunia mahupun di akhirat.

CAPAI KEJAYAAN DENGAN AMALAN MULIA

Apakah amalan mulia? Bersangka baik sesama rakan, berbincang dan bermesyuarat dengan penuh hikmah jika terdapat permasalahan, mengelak dari fitnah dan mengadu domba, mengajak ke arah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran dan sebagainya.

Jika kita berterusan melakukan amalan yang positif, kejayaan mudah dicapai. Dan disebabkan perkara itulah nilai-nilai murni perlu diterapkan dengan secara serius di dalam kehidupan kita baik dalam organisasi mahupun keluarga.

Cuba perhatikan golongan mukmin yang berjaya. Apakah amalan-amalan mereka? Adakah mereka kaki gaduh? Apakah mereka dikalangan orang-orang yang sentiasa menzalimi? Adakah mereka golongan yang sentiasa mengajak kepada permusuhan?

Sudah tentu tidak. Mereka sangat aman dan harmoni. Iman mereka terhadap Allah s.w.t sangat kuat dan utuh. Setiap suruhan dan larangan Allah dituruti dengan penuh taat dan sabar.

Maka karakter sedemikianlah perlu kita terapkan dengan membina amalan-amalan yang positif selari dengan syariat Islam dan di mana pada penghujungnya kita meraih kejayaan.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Amalan yang baik membuka pintu kepada kejayaan.

2.      Amalan yang buruk akan membawa kepada kegagalan yang sangat besar.

3.      Untuk mencapai kejayaan yang luar biasa, amalan nilai-nilai murni perlu diterapkan secara serius.

4.  Elakkan dan jauhkan diri dari segala amalan buruk agar matlamat untuk mencapai kejayaan itu tercapai.

5.      Bermuhasabahlah “ Adakah aku ini masih lagi mempunyai amalan yang buruk yang membuatkan aku sukar untuk meraih kejayaan?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallahualam

No comments:

Post a Comment