Jubah

Jubah

Monday, November 24, 2014

DOA DALAM KEADAAN MENENTANG: KABULKAH?

DOA DALAM KEADAAN MENENTANG: KABULKAH?
PENDAHULUAN

Ini adalah persoalan yang ingin sama-sama kita bincangkan. Berdoa dalam keadaan menentang, akan kabulkah?

Kita sering menadah tangan memohon doa kepada yang Maha Esa. Menyampaikan hajat kepada Allah dan mengharapkan hajat itu dikabulkanNya.

Dan apabila kita berdoa kepada Allah, itu tandanya kita ini adalah hamba yang lemah yang memerlukan pertolongan.

Tiada daya dan tiada kuasa melainkan dari Allah yang Maha Kuasa. Kita semua tahu akan perkara itu. Meletakkan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah dalam setiap urusan.

Itulah tanda orang yang beriman. Menjadikan setiap urusan itu disandarkan kerana Allah. Tiadalah yang hebat perancangannya melainkan perancangan Allah s.w.t.

Persoalannya, adakah kita ini selalu berdoa kepada Allah s.w.t? Jika kita berdoa, bagaimanakah keadaan kita ketika itu? Adakah taat atau tentang?

Apakah kita ketika ini sudah menuruti segala perintah dan larangan Allah atau sebaliknya? Justeru itu, marilah sama-sama kita bermuhasabah kembali dengan melihat kembali ayat-ayat Allah.

Allah s.w.t berfirman:

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
(Surah al-Baqarah:186)

Jelas pada ayat ini bahawa jika kita inginkan sesuatu hajat, maka berdoalah kerana Allah s.w.t itu sangat hampir. Dan kita juga dituntut untuk menyahut seruanNya iaitu dengan mematuhi segala hukum-hakam yang telah ditetapkan.

DOA TIDAK DIKABULKAN KERANA MASIH MENENTANG?

Cuba kita perhatikan di sekeliling kehidupan kita. Apakah perkara atau perbuatan yang diklasifikasikan sebagai menentang? Menentang akan suruhan dan larangan Allah s.w.t.

Jika kita dapati masih wujud hal demikian, maka segeralah berubah. Kerana doa sukar untuk dikabulkan dalam keadaan kita menentang.

Ada golongan yang memusuhi akan perintah Allah. Dia sangat pantang apabila disuruh tunduk terhadap hukum Allah s.w.t.

Tetapi pada masa yang sama dia menadah tangan memohon sesuatu dari Allah. Sedangkan jelas pada ayat tadi bahawa kita dituntut menyahut seruanNya.

Maka inilah perkara yang perlu kita fikirkan secara serius baik dalam kehidupan dan juga perniagaan yang sedang kita jalankan.

Kita berdoa setiap hari agar Allah majukan perniagaan kita, tetapi dalam masa yang sama kita menolak segala perintahNya. Maka jika doa belum dikabulkan, kita sudah tahu apa puncanya.

PATUH KEPADA SURUHAN, DOA DIKABULKAN

Setiap kita sentiasa inginkan jawapan dari Allah terhadap segala permasalahan yang melanda. Kadang-kadang kita rasa kecewa kerana gagal menemui jawapan pada permasalahan.

Disebabkan itu, jika ingin dapatkan jawapan, pertamanya kita kenalah istighfar. Kerana kita ini sentiasa berdosa. Ada dosa yang kita sedar melakukannya dan juga tidak sedar.

Apabila kita sudah bertaubat atas kesalahan dan dosa yang telah dilakukan, maka lakukan pula apa yang diperintahkan oleh Allah.

Buktikan kepada Allah s.w.t yang kita ini benar-benar mentaati dan beriman denganNya. Apabila kita sudah beriman, dan Allah gembira dengan iman yang kita tunjukkan kepadaNya, maka doa yang kita sampaikan kepadaNya sudah tentu mudah untuk dikabulkan.

Binalah connection dengan Allah s.w.t, jika kita ingin hajat kita ditunaikan olehNya.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Jika kita ingin berdoa, pastikan kita bukanlah dalam keadaan orang yang kuat menentang agamaNya.

2.  Doa yang mudah untuk dikabulkan adalah ketika mana kita menyesali atas perbuatan kita dan meninggalkan perbuatan yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t.

3.   Jika kita ingin berdoa kepada Allah agar perniagaan kita maju, perlulah kita memastikan sistem pengurusan shariah dilaksanakan dengan baik.

4.      Kekalkanlah connection iman kita dengan Allah dan jangan biarkan ia terputus.

5. Bermuhasabahlah “Apakah doa aku akan diterima sedangkan aku masih kuat menentang suruhanNya?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam

No comments:

Post a Comment