Jubah

Jubah

Thursday, November 13, 2014

ILMU IMAN DAN AMAL

ILMU IMAN DAN AMAL
PENDAHULUAN

Prinsip orang yang beriman yang diterapkan di dalam kehidupan adalah ilmu, iman dan amal.Apakah dia ilmu, apakah dia iman dan apakah dia amal?

Bagaimana prinsip ini dikatakan dapat memberi efektif yang luarbiasa kepada individu muslim?

Dengan mempraktikkan ketiga-tiga ini, maka individu mukmin tersebut akan menjadi hebat dalam kehidupannya. Malah dia juga akan mendapat kebahagiaan di akhirat kelak.

Orang yang diberikan ilmu pengetahuan, maka baginya kebaikan dan hikmah. Maka bersyukurlah orang yang diberi peluang untuk menuntut ilmu Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfirman:

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
(Surah al-Baqarah:269)

Jelas, dengan ilmu itu seseorang itu akan mendapat kebaikan. Baik kebaikan berbentuk rezeki, kehormatan dan sebagainya.

Maka persoalannya sudahkah kita memenuhi masa kita dengan menuntut ilmu? Ilmu apakah yang sedang kita tuntut dalam usaha menambahbaikkan sistem kehidupan kita?

Bagaimana pula dengan ilmu agama? Sudahkah kita mengambil peluang masa kita menuntutnya agar kehidupan kita tampak lebih indah?

Maka bermuhasabahlah kita kembali bersama.

ILMU: MENINGKATKAN IMAN

Ilmu yang kita tuntut selama ini adalah datang dari Allah s.w.t. Kita masih diberi peluang bernafas, diberi peluang melihat dan mendengar, seterusnya kudrat untuk menuntut ilmu.

Dengan bertambahnya ilmu kita, maka iman kita meningkat. Khususnya ilmu yang berkaitan dengan agama.

Kita mempelajari syariat Islam. Hakikatnya kita ini masih kekurangan ilmu tentang agama kita sendiri.

Pemahaman kita terhadapa syariat Allah s.w.t Maka apabila ilmu tentang syariat itu kurang, maka iman kita juga boleh jadi kurang.

Kerana apa? Kerana kita tidak benar-benar yakin akan apa-apa yang berkaitan dengan rezeki, balasan, ganjaran dan sebagainya.

Malah jika kita meninggalkan keimanan kita kepada Allah s.w.t, Allah tidak terjejas sedikit sekalipun.

Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Surah ali-Imraan:177)

Justeru itu, apa-apa pun ilmu yang kita pelajari, maka pastikan ia dapat meningkatkan dan menambahkan keimanan kepada Allah s.w.t.

IMAN KUAT: AMAL BAIK TERLAKSANA

Maka jelas, jika iman sudah kuat, maka amalan baik mudah untuk terlaksana. Jika hari ini kita belajar tentang kebaikan senyum.

Dan dengan pembelajaran itu, menambahkan keimanan kita kepada Allah dan RasulNya dan yakin akan kebaikan senyum tersebut, maka mudah untuk kita melaksanakannya juga iaitu dengan memberi senyuman kepada orang lain.

Seperti juga solat. Hari ini kita belajar tentang solat. Kemudian dengan pembelajaran tersebut, membuatkan iman kita bertambah. Kita yakin akan ganjaran pahala jika kita bersolat dan azab jika meninggalkannya, maka automatik kita akan melaksanakannya.

Begitulah juga sistem syariat kehidupan. Kita mempelajarinya, kemudian yakin dan beriman akan kelebihan yang ada pada sistem syariat tersebut. Atas kerna itu kita mudah untuk mengamal dan melaksanakannya.

Orang yang beramal soleh, maka dia adalah ahli syurga.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, serta tunduk taat menunaikan ibadat kepada Tuhan mereka dengan khusyuk, mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya. 
(Surah Hud:23)

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Sentiasalah kita berusaha dan mengambil kesempatan untuk menuntut ilmu khususnya ilmu tentang syariat Islam.

2.    Dengan ilmu tersebut, maka akan meningkatlah iman kita kepada Allah s.w.t. Dan iman itu amat penting kerana ia akan menentukan kehidupan kita di dunia dan di akhirat.

3.      Apabila iman meningkat, maka mudah untuk dia mengamalkan apa yang telah dipelajari.

4.   Praktikkan tiga kaedah ini dalam kehidupan kita jika kita benar-benar inginkan kehidupan yang terbaik dan luarbiasa.iaitu ILMU, IMAN dan AMAL.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallahulam

No comments:

Post a Comment