Jubah

Jubah

Thursday, November 6, 2014

SELAMAT DI SISI ALLAH

SELAMAT DI SISI ALLAH
PENDAHULUAN

Satu persoalan yang ingin dipertanyakan? Apakah kita rasa benar-benar selamat di akhirat kelak? Di akhirat di mana berlakunya hari perhitungan.

Hari perhitungan kita dengan Allah s.w.t di atas setiap apa yang telah kita kerjakan di dunia ini selama ini.

Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya.
(Surah al-Anbiyaa’:1)

Persoalannya, sudahkah kita mempersiapkan jawapan kita di hadapan Allah kelak? Di dunia mungkin kita ini pandai berhujah, tetapi di akhirat lidah pasti akan kelu tidak berkata-kata.

Kerana ketika itu apa yang diharapkan adalah ehsan Allah s.w.t untuk tidak mencampakkan kita ke dalam api neraka.

Dan ketika itu apa yang kita pernah dengar di dunia selama ini tentang syurga dan neraka, tentang padang mahsyar, tentang titian sirat, benar-benar berlaku di hadapan mata kita.

Dan siapakah orang yang selamat di sisi Allah itu? Selamat di sisi Allah s.w.t, maka baginya syurga.
Maka pada hari ini marilah kita sama-sama bermuhasabah dalam mengisi jiwa rohani kita dengan mengingati Allah s.w.t.

Bermuhasabah terhadap peranan kita terhadap agama, terhadap rakan sekerja, terhadap seluruh kehidupan kita.

Adakah kita ini umat yang gagal? Apakah kita ini umat yang degil? Apakah kita ini umat yang sentiasa memberontak ingin dapatkan habuan dunia dan lupa akan habuan akhirat yang telah disediakan?

ALLAH DAN RASUL DIUTAMAKAN

Apakah kita sudah dahulukan Allah dan RasulNya dalam segala hal? Baik dalam kehidupan kita dan kerjaya kita?

Jika jawapannya tidak, maka perlu kita bermuhasabah kembali. Ini kerana jika di dunia kita membelakangkan Allah dan Rasul, maknanya kita ini tidak akan selamat di akhirat kelak.

Kerana apa? Kerana di dunia lagi kita dah membelakangkan Allah dan Rasul dalam urusan kita, apakah kita berkira-kira dan berharap Allah akan membantu kita di akhirat kelak?

Sudah pasti kita tahu jawapannya.

Oleh itu, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar.
(Surah an-Nisaa’:74)

Ya..sudah pasti ganjaran bagi mereka yang mengutamakan kebahagiaan akhirat, pastinya pahala yang sangat besar.

SIAPAKAH YANG ALLAH INGINKAN BERSAMA DENGANNYA?

Siapakah yang akan bersama Allah s.w.t di akhirat kelak? Sudah pasti orang yang sentiasa mengingatiNya dalam apa jua keadaan.

Patuh akan perintah dan laranganNya. Berusaha menegakkan syiar Islam. Beriman dengan setiap rukun iman. Dan yang paling penting adalah tidak menyekutukanNya dengan yang lain.

Perintah yang demikian itu ialah sebahagian dari hikmat yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu. Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam neraka Jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmatAllah).
(Surah al-Israa’:39)

Tidak ada jiwa yang tidak mahu selamat di sisi Allah s.w.t. Kesemua makhluk inginkan keselamatan di akhirat kelak.

Maka bagaimana ingin menjamin keselamatan tersebut? Maka bermuhasabahlah kita agar kita ini selamat dunia dan juga akhirat.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Utamakanlah Allah dan RasulNya dalam setiap urusan jika kita ingin selamat di akhirat kelak.

2.      Di hari perhitungan lidah kita akan kelu tidak berkata-kata walaupun kita di dunia ini adalah orang paling hebat berhujah. Maka bermuhasabahlah.

3.      Syurga untuk orang yang beriman, neraka adalah untuk orang yang kufur dan ingkar. Maka jawapan adalah jelas. Renungkanlah.

4.    Berusahalah berjuang dalam agama Allah s.w.t dalam apa jua keadaan termasuk dalam perniagaan dan sebagainya. Kerana ganjaran adalah sangat besar di sisi Allah s.w.t.

5.      Bermuhasabahlah “ Adakah kita berasa yakin kini yang kita akan selamat di sisi Allah atau tidak?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam

No comments:

Post a Comment