Jubah

Jubah

Thursday, October 30, 2014

SUJUD PADA ALLAH: ADAKAH KITA IKHLAS?

SUJUD PADA ALLAH: ADAKAH KITA IKHLAS?
PENDAHULUAN

Sebagai umat manusia, kita diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk sujud kepadaNya. Sebagai tanda apa? Sebagai tanda kita ini benar-benar bersaksi bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan yang satu. Tiada sekutu bagiNya.

Para makhluk yang bernyawa termasuk para malaikat pun sujud kepadaNya. Sujud sebagai tanda keagungan dan kebesaran Allah s.w.t.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita sudah sujud kepada Allah s.w.t? Berapa kali kita sujud dalam sehari? Adakah sujud kita itu benar-benar ikhlas? Apakah kita ini benar-benar ‘sujud’ terhadap segala perintah Allah s.w.t seperti yang telah disebutkan di dalam al-Quran?

Jika jawapannya tidak, kita sedang dalam kerugian yang amat besar. Bukan sahaja kerugian di dunia malah kerugian di akhirat kelak.

Maka tazkirah kali ini marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari beberapa petikan dari ayat al-Quran berkaitan dengan sujud dan ketidaksombongan kita kepada Allah s.w.t

Allah s.w.t berfirman:

“Dan apakah mereka tidak memperhatikan suatu benda yang diciptakan Allah, bayang-bayangnya berbolak-balik ke kanan dan ke kiri, dalam keadaan sujud kepada Allah , dan mereka (bersikap) rendah hati.

Dan Segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi hanya bersujud kepada Allah iaitu semua mahkluk yang bergerak (bernyawa) dan (juga) para malaikat, dan mereka (malaikat) tidak menyombongkan diri.

Mereka takut kepada Tuhan yang (berkuasa) di atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada) mereka.

(Surah an-Nahl:48-50)

Jelas pada ayat ini bahawa seluruh makhluk sujud kepada Allah dengan penuh ketaatan dan keikhlasan. Bagaimana pula dengan kita? Maka ayuh kita bermuhasabah kembali.

TANDA SUJUD YANG IKHLAS

Apakah tanda sujud yang ikhlas? Adakah tandanya hitamnya dahi? Sudah tentu tidak. Tanda ikhlasnya sujud seseorang itu apabila sujud itu menjadi sebuah kerinduan yang amat besar bagi dia setiap hari.

Setiap kali dia bermasalah, dia sujud. Setiap kali dia mendapat sesuatu, dia sujud. Setiap kali dia mendapat ujian atau pujian samada besar atau kecil, dia sujud.

Dan ikhlasnya sujud seseorang itu apabila dia sentiasa manfaatkan sujudnya itu dengan bersungguh-sungguh berdoa dan menyampaikan hajatnya di dalam sujudnya.

Kerana dia tahu doa mustajab apabila doa itu diminta dalam keadaan sujud. Maka ikhlaskanlah sujud kita itu jika kita benar-benar hamba yang ikhlas kepada Allah.

‘SUJUD’ PADA PERINTAH DAN LARANGAN ALLAH

Ada orang yang selalu sujud tetapi kita boleh lihat samada sujudnya ikhlas atau tidak. Kerana apa? Orang yang ikhlas sujudnya, sudah pasti akan ‘sujud’ juga terhadap segala perintah dan larangan Allah.

Apakah sujud dalam solat itu dikatakan ikhlas sedangkan waktu diluar solat dia lansgung tidak ‘sujud’ pada segala perintah dan larangan Allah s.w.t?

Malah berlaku sombong dengan perintah tersebut. Menolak segala hukum-hakam. Memandang remeh-temeh terhadap peraturan Allah s.w.t.

Menolak padangan para ulama. Meninggalkan segala sunnah Nabi. Maka adakah kita masih ingin mendakwa kita ini benar-benar ikhlas terhadap sujud kita kepada Ilahi?

Maka ambillah peluang ini untuk kita bermuhasabah kembali. Ikhlaskan diri kita dalam sujud kepadaNya bukan sahaja dalam solat, malah dalam kehidupan kita juga.

Apa yang Allah suruh dan apa yang Allah larang, maka wajib untuk kita ‘sujud’ terhadapnya. Dan ikhlaskanlah diri terhadap ketaatan kepadaNya, jangan sombong. Kita ini adalah khalifah yang telah dimuliakan oleh Allah, maka perlukah kita sombong denganNya?

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Jadikanlah sujud kita dalam solat adalah sujud yang ikhlas.

2.     ‘Sujud’lah juga kita kepada segala perintah dan larangan Allah s.w.t. Yang haram itu jelas dan yang halal itu juga jelas. Maka patuhilah ia jika kita ini benar-benar hamba yang ikhlas sujudnya.

3.      Jangan berlaku sombong pada Allah dengan menolak segala perintah dan laranganNya, kerana azab Allah itu amatlah pedih dan tidak terperi sakitnya.

4.   Berdoalah kepada Allah dalam sujud kita agar kita ini ditetapkan iman dan ketaatan terhadapNya selalu.

5.      Bermuhasabahlah “ Adakah selama ini sujud kita kepada Allah s.w.t adalah benar-benar ikhlas?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam


Wednesday, October 29, 2014

MEMBINA KEHIDUPAN MENGIKUT PANDANGAN PENCIPTA HIDUP

MEMBINA KEHIDUPAN MENGIKUT PANDANGAN PENCIPTA HIDUP

PENDAHULUAN

Siapakah yang menghidupkan kita? Bagaimanakah kita dihidupkan? Atas tujuan apa kita dihidupkan? Apakah yang perlu kita buat dalam memastikan hidup kita ini bermakna dan bermanfaat?

Maka persoalan-persoalan ini akan kita sama-sama bincangkan dalam membentuk sebuah kehidupan yang jelas matlamatnya iaitu ke akhirat kelak.

Samalah contohnya apabila seseorang yang dilantik bekerja di sesebuah syarikat. Apabila dia dilantik untuk bekerja di situ, maka dia wajib untuk melakukan apa yang disuruh. Dan dilarang melakukan sesuatau yang telah dilarang oleh pihak syarikat.

Jika dia melanggar arahan syarikat, maka dia boleh ditendang keluar dari syarikat tersebut. Dan itu tandanya syarikat itu tidak redha akan tindakannya.

Begitulah kita dalam kehidupan. Apakah kita dihidupkan di dunia ini tanpa ada tugasan yang telah ditetapkan oleh Allah? Bukankah ada peraturan-peraturan yang perlu kita patuhi? Bukankah kita tahu jika kita langgar atau ingkar, kita akan dicampakkan ke dalam neraka Allah s.w.t?

Jelas bagi kita semua bahawa kehidupan ini ada peraturannya. Dan peraturannya itu mengikut pada pandangan Allah s.w.t yang Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan.

Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
(Surah al-Baqarah:28)

Maka jelas Allah yang menghidupkan dan mematikan, maka peraturan kehidupan siapakah lagi yang kita ingin ikut melainkan peraturan Allah s.w.t.

MEMBINA KEHIDUPAN BUKAN SEKADAR HIDUP

Kita di suruh oleh Allah s.w.t untuk membina kehidupan. Kehidupan yang mengikut peraturan dan syariat yang telah ditetapkan.

Jadi apabila kita disuruh untuk membina kehidupan, bermakna kita bukan sekadar hidup sahaja. Ada sesuatu yang perlu kita lakukan dalam kehidupan kita.

Bagaimana ingin membina kehidupan mengikut pada pandangan Pencipta hidup? Rujuklah kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Al-Quran dan as-Sunnah ada memberi panduan mengenai kehidupan. Patuhilah ia dalam mebina kehidupan yang bersyariat termasuklah dalam urusan keluarga, perniagaan, syarikat, masyarakat, kepimpinan politik dan sebagainya.

Dan orang yang beriman sudah pasti akan menjadikan kehidupan dunia sebagai bekalan untuk kehidupan di akhirat kelak.

Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya).
(Surah al-Baqarah:212)

Maka kehidupan yang bagaimanakah lagi yang kita ingin melainkan kehidupan yang mengikut syariat Islam.

MEMBINA KEHIDUPAN ISLAM

Persoalan ingin ditanyakan, apakah kita ini sedang membina kehidupan mengikut syariat Islam?

Adakah kita berpuashati dengn kehidupan kita sebagai individu Muslim? Jangan kita lupa, sedangkan dalam sesebuah organisasi, jika kita membuat sesuatu yang melanggar objektif syarikat, kita boleh diberhentikan, inikan pula dalam kehidupan yang Allah adalah CEO nya.

Setaip amal akan ada balasannya. Jangan terlalu seronok dalam melakukan dosa kerana dosa itu sudah tentu akan dihisab oleh Allah s.w.t.

Ia akan dinilai di akhirat kelak. Ketika itu, barulah kita tahu erti kehidupan yang sebenar. Barulah kita sedar akan kerugian yang kita telah lakukan sepanjang kita hidup di dunia ini.

Sedangkan kita sudah berhari-hari diingatkan di dalam tazkirah agar berusaha untuk taat kepada perintah Allah s.w.t.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Binalah kehidupan mengikut pada pandangan Pencipta hidup.

2.      Membina kehidupan bukan sekadar hidup tanpa arah tujuan.

3.      Manusia itu diutuskan untuk beribadah kepada Allah dan memakmurkan bumiNya dengan baik dan mengikut syariat Islam.

4.      Kehidupan yang terbaik adalah kehidupan yang boleh menyelamatkan dia di akhirat kelak.

5.      Bermuhasabahlah “ Adakah kehidupanku ketika ini mengikut pada pandangan Pencipta hidup atau tidak?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam

Tuesday, October 28, 2014

HATI YANG HIDUP:IBARAT IKAN DI LAUTAN

HATI YANG HIDUP:IBARAT IKAN DI LAUTAN
PENDAHULUAN

Hati yang hidup ini umpama ikan dilautan, walaupun airnya masin tapi ikan itu tetap tawar dan tidak dipengaruhi oleh masinnya air. Hati yang mati umpama ikan yang mati, garam yang sedikit sahaja mampu menyebabkan ikan itu menjadi masin. “Ustaz Mustaffa Kamal Hamzah”

Begitulah cerita sebuah hati. Hati yang sedang berenang-renang di dalam kehidupan. Kehidupan yang penuh pahit manis dan masin ini menjadi ujian yang berliku.

Bagaimana pula dengan hati kita? Bukankah kita tahu bahawa hati itu menentukan karakter diri kita sebenar.

Pengaruh hati dalam membina karakter seseorang adalah jelas. Seseorang yang beriman dan hatinya itu sedang kuat imannya, tidak akan melakukan sesuatu yang berdosa.

Hati yang ketika itu sedang tidak beriman, maka dia akan mudah melakukan perbuatan yang berdosa.

Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.
(Surah al-Israa’:25)

Jelas pada ayat ini bahawa Allah itu Maha Mengetahui terhadap apa yang terbuku di dalam hati kita. Apa yang diniatkan sudah Allah tahu. Maka hati itu memainkan peranan yang besar dalam membentuk karakter seseorang.

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
(Surah al-Israa’:36)

HATI YANG HIDUP: MAMPU HADAPI PANCAROBA DUNIA

Hati yang benar-benar hidup, sudah pasti akan mampu hadapi pelbagai cubaan duniawi. Apakah hati kita hidup sekarang ini?

Apa yang dikatakan hidup? Iaitu hidup dalam ketaatan kepada Allah s.w.t. Meletakkan kebergantungan hanyasanya pada Allah sahaja.

Apabila hati diletakkan kebergantungan pada Allah s.w.t, ,maka apa pun ujian hidup sudah pasti kita akan berjaya hadapinya.

Ujian dari segi bentuk kemaksiatan dan kemungkaran itu adalah satu ujian yang sangat besar. Hati yang mati, sudah pasti mudah akan terjerumus ke lembah tersebut.

Begitu juga dalam hal pengurusan. Hati yang mati akan boleh membawa diri kita ini ke arah perlakuan yangs salah termasuklah penyelewengan, kezaliman, penipuan dan sebagainya.

Maka berhati-hatilah kita dengan hati ini. Hidupnya hati, amanlah kita. Rosaknya hati, binasalah kita. Allah s.w.t berfirman:

Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya.
(Surah al-Israa’:72)

Adakah kita ingin tergolong dikalangan orang yang dibutakan matahati? Sudah tentu tidak. Maka sentiasalah ingat Allah dalam hati jika kita ini benar-benar inginkan hati kita hidup.

Hidup dengan sentiasa mengawasi setiap tingkah laku. Elakkan ia dari mati, kerana matinya hati, akhlak juga akan mati.

HIDUPKAN HATI SEHINGGA PENGHUJUNG NYAWA

Maka hidupkanlah hati kita ini sampai bila? Sampai hujung nyawa. Kerana apa? Kerana kita ingin memastikan agar di akhir hayat kita, kita dalam keadaan benar-benar beriman.

Meninggalkan dunia dalam keadaan senyum kerana ketika itu kita berpuashati bahawa hati kita itu hidup dan tenang mengingati Allah s.w.t.

Dan cara lain untuk kita untuk hidupkan hati adalah dengan menghormati syiar-syiar agama Allah s.w.t.

Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.
(Surah al-Hajj:32)

Maka jika hatinya baik dan taqwa, dia akan hormat pada agamanya. Dia akan berusaha memastikan syiar Islam itu terlaksana. Itulah bukti hati yang hidup.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Sentiasalah memastikan hati kita ini hidup dengan isi-isi keimanan.

2.      Hati yang mati akan membuat kita menjadi manusia yang ingkar pada Allah s.w.t.

3.  Dalam usaha menajdi mukmin professional, perkuatkanlah hati dengan ketaatan yang sebenar-benarnya apda Allah s.w.t.

4.      Buruknya karakter seseorang kerana berpunca dari hati yang rosak dan mati. Maka elakkanlah ia.

5.      Bermuhasabahlah “ Adakah aku ingin membiarkan kehidupanku ini binasa hanya kerana hatiku ini mati atau akan serikan kehidupanku dengan syariat Islam dengan menghidupkan hati ini dengan iman?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallaualam  

Monday, October 27, 2014

ADAB: MEMANISKAN YANG TAWAR

ADAB: MEMANISKAN YANG TAWAR
PENDAHULUAN

Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;
(Surah al-Furqan:63)

Hari ini marilah kita sama-sama membincangkan tentang adab yang sepatutnya kita sebagai Muslim melaksanakannya.

Zaman sekarang, adab dan nilai-nilai murni yang diterapkan oleh Islam susah untuk kita lihat terutamanya dikalangan umat Islam sendiri.

Persoalannya kenapa? Apakah Islam itu tidak kaya dengan adab? Penting ke adab? Apa yang akan terjadi jika tiada adab?

Maka persoalan-persoalan ini akan kita sama-sama jawab dalam membentuk peribadi mukmin yang professional.

Islam amat mementingkan akhlak. Dengan akhlak sahaja, manusia akan aman dan sentosa. Seperti maan yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.

Tetapi malangnya kini, akhlak dan adab tidak lagi dipraktikkan oleh sebahagian besar umat Islam kita.

Anak tidak hormat ibubapa, pelajar tidak hormat guru, pekerja tidak hormat majikan, apakah dalam Islam itu ada yang masih belum sempurna?

Sudah semestinya tidak. Islam sudah cukup sempurna. Islam amat menekankan aspek ketaatan dalam beribadah, menjaga silaturrahim sesama manusia dan sebagainya. Maka,perkara ini harus kita bermuhasabah kembali. Puncanya dari hati.

KITA ADALAH UMAT YANG BERADAB

Sebagai individu muslim, adab dan tatasusila adalah perkara yang sangat dititikberatkan. Tanpa adab dan akhlak, manusia akan huru-hara.

Buktinya, apabila hilangnya adab, hilanglah hormat. Hilangnya hormat, kebencian dan persengketaan akan mengambil tempat dalam memecah belahkan umat manusia khususnya umat Islam.

Amamt memalukan jika diri kita ini adalah muslim yang sentiasa solat ,berpuasa, bersedekah, tetapi miskin dalam soal akhlak dan adab.

Apakah kita tidak mahu mencontohi baginda Muhammad s.a.w dan para sahabat? Mungkin ada perkara yang berlainan pendapat, tetapi adab dan akhlak itu perlu dijaga dengan sebaiknya.

Kerana Ia merupakan kunci kepada silaturrahim.

KUATKAN IMAN JIKA AKHLAK KITA ROSAK

Kadang-kadang kita boleh perasan jika kita dapati akhlak dan adab kita menjadi rosak. Cara bicara, cara layanan jika jelas menggambarkan keadaan yang tidak berakhlak maka tandanya iman sedang huru-hara.

Sebab itu baik buruk karakter seseorang berpunca dari hatinya. Jika imannya kuat, sudah pasti dia akan berhati-hati dan dirinya akan menjadi lebih berakhlak.

Sekarang kita cuba lihat dalam organisasi atau kehidupan kita. Apakah kita ini atau pekerja-pekerja kita atau ahli keluarga kita memiliki adab dan sopan santun?

Jika tidak, cuba perhatikan apa puncanya. Dan bagaimana ingin menyelesaikannya. Maka pendekatan yang terbaik adalah dengan menanamkan keimanan kepada Allah s.w.t.

Percaya akan wujudnya dosa dan pahala serta balasan di akhirat kelak. Perlu ingat, setiap perbuatan walau sekecil zarah akan dinilai dan dihisab oleh Allah s.w.t.

Maka apakah kita masih ingin terus menjadi hamba dan khalifah yang tidak beradab atau mulai sekarang kita akan menjadi umat yang berakhlak? Maka bermuhasabahlah kita.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Dengan adab, sesuatu yang tawar menjadi manis.

2.      Binalah silaturrahim dengan adab dan akhlak.

3.      Manusia yang tidak beradab tanda imannya sedang mati, maka hidupkanlah ia kembali.

4.      Pelihara akhlak dan kuatkan iman kerana kedua-duanya kita perlukan dalam membentuk dunia yang harmoni lagi aman.

5.      Bermuhasabahlah “ Adakah kita ini umat yang beradab atau tidak?

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam