Jubah

Jubah

Monday, June 30, 2014

TAZKIRAH RAMADHAN 2: MUNGKAR YANG TERHENTI

TAZKIRAH RAMADHAN 2
MUNGKAR YANG TERHENTI
PENDAHULUAN

Indahnya bulan Ramadhan ini bagi orang yang sedang mencari kebenaran dan juga bagi orang yang sedang mencari perubahan.

Kebenaran mencari jawapan kepada matlamat kehidupan yang sebenar. Ada segelintir umat manusia yang mencari kebenaran.

Dan kebenaran itu akan hadir apabila datangnya hidayah. Hidayah yang membuka jalan untuk mengenalpasti laluan yang hakiki.

Bagi mereka yang mencari jalan perubahan, maka Ramadhan adalah jalan pembuka yang terbaik ketika ini. Kerana kita tahu ada ramai yang ingin berubah. Dari yang tidak baik kepada yang baik, dari maksiat kepada taat.

Dan kita tahu bahawa orang yang mendustakan ayat-ayat Allah s.w.t, di akhirat kelak amal-amaln baikya akan digugurkan,dan balasan hanya atas kemaksiatan yang telah mereka lakukan sahaja. Berdasarkan firman Allah s.w.t:

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal mereka (yang baik). Mereka tidak diberikan balasan (pada hari akhirat) melainkan (bagi) apa yang mereka telah kerjakan (dari perbuatan kufur dan maksiat).

(Surah al-A’raf:147)

Jelas bahawa amal-amal yang baik yang kita lakukan selama ini sebagai contoh bersedekah, solat, puasa dan sebagainya, maka semuanya itu akan gugur jika kita terus-menerus berdusta dengan ayat-ayat Allah dan terus menerus berlaku maksiat padaNya.

Maka bagaimanakah kita dapat mengatasi semua ini agar setiap amal baik kita dinilai oleh Allah s.w.t?

Amat malang jika selama ini amal kita tiada nilai di sisi Allah s.w.t. Siang malam kita beribadah, setiap tahun kita berpuasa Ramadhan, hanyasanya kita ingkar terhadap ayat-ayat Allah maka segala-galanya menjadi sia-sia.

TERHENTIKAH MUNGKARKU DI BULAN RAMADHAN?

Cuba kita bermuhasabah pada diri kita semula. Adakah kemungkaran yang kita sering buat, terhenti di bulan Ramadhan?

Apakah perkara-perkara mungkar yang kita selalu buat pada bulan selain bulan Ramadhan? Adakah ia sedang berlanjutan walaupun di dalam bulan Ramadhan?

Maka nilailah kembali, sampai bilakah kita ingin terus membuat kemungkaran sedangkan bulan ini adalah bulan yang mulia?

Maka hentikanlah kemungkaran yang kita sedang lakukan demi menjaga amal-amal baik kita agar ia tidak gugur di akhirat kelak dan akhirnya ia gagal membantu kita melepaskan diri dari di campakkan ke dalam api neraka. Nauzubillah..

Dan sudah pasti balasan syurga buat mereka yang membersihkan diri dari perbuatan mungkar dan maksiat. Firman Allah s.w.t:

"(Iaitu) Syurga-syurga yang kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan orang-orang yang membersihkan dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat".

(Surah Taha:76)

ROSAKNYA RAMADHAN KERANA MUNGKAR

Apakah perbuatan mungkar yang boleh merosakkan Ramadhan kita? Perkara-perkara mungkar adalah segala perkara yang telah diharamkan dan dilarang oleh Allah s.w.t.

Tetapi malangnya kita masih lagi membiarkan ia merosakkan diri kita walaupun di bulan Ramadhan.

“You design your own Ramadhan”. So bagaimanakah kita mendesign Ramadhan kita? Adakah dengan kemungkaran, atau kebaikan dan ketaatan?

 Maka segeralah hentikan segala kemungkaran yang kita buat semata-mata dengan harapan agar Ramadhan kita ini diterima oleh Allah s.w.t. Sanggupkah kita menanti lagi 11 bulan untuk Ramadhan akan datang jika kita tidak mahu manfaatkannya sekarang? Tu pun jika hayat masih dikandung badan.

Orang yang bijak ialah orang yang sentiasa mengambil manfaat terhadap peluang yang ada. Manfaatkan Ramadhan, dan designkanlah ia dengan mengikut acuan yang kita inginkan. Acuanlah ia dengan ibadat, bukan dengan pekara-perkara mungkar.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.  Hentikanlah segala kemungkaran yang kita pernah buat dan sedang buat demi memelihara kesucian Ramadhan.

2.      Jangan membiarkan kemungkaran dan kemaksiatan membuatkan amal-amal kita gugur di akhirat kelak.

3.      Designlah Ramadhan kita dengan memperbanyakkan amal ibadah, kerana Allah suka kepada hamba yang sentiasa mengingatiNya.

4.      Istiqamahlah terhadap ketaatan baik di bulan Ramadhan dan bulan-bulan seterusnya.

5.   Bermuhasabahlah “Adakah kemungkaran yang sering ku buat sudah terhenti? Jika belum, maka hentikanlah ia segera.”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam



No comments:

Post a Comment