Jubah

Jubah

Monday, June 9, 2014

RAMADHAN: BERSEDIAKAH KITA?

RAMADHAN: BERSEDIAKAH KITA?
PENDAHULUAN

Beberapa hari lagi, Ramadhan akan tiba. Kedatangan bulan Ramadhan yang dinantikan ini pasti dirindui oleh ahlinya.

Orang yang benar-benar merindui akan Ramadhan ini sudah pasti akan bersiap sedia sepenuhnya kerana mereka tahu akan fadhilat yang sangat besar.

Sama ada kita sedar atau tidak, tinggal beberapa hari sahaja lagi. Persoalannya sudah bersediakah kita?

Adakah kita ingin menyambut kedatangannya dalam keadaan ‘suci’ atau ‘kotor’? Tegarkah kita membiarkan diri kita memasuki bulan yang mulia ini dalam keadaan terpaksa?

Apakah kita benar-benar cukup bersedia dengan Ramadhan ini? Apakah perancangan kita selain menghadapi lapar dan dahaga sahaja?

Adakah kita akan mengambil peluang di bulan tersebut untuk kita berubah dari yang buruk kepada yang baik? Dari yang keji kepada yang mulia?Dari dibenci kepada yang dihormati?

Pilihan di atas tangan kita. Hadirnya Ramadhan ini sebagai satu rahmat bagi umat Islam. Mendidik kita untuk mengenal erti ketaatan dan ketaqwaan.

Tidaklah seseorang itu berpuasa melainkan disebabkan ketaatan dan kecintaannya pada Tuhannya.
Maka apakah persediaan yang perlu dilakukan sebelum hadirnya Ramadhan itu?

PERSEDIAAN JASMANI

Seperti yang kita maklum bahwa bulan Ramadhan ini adalah bulan kita akan berlapar dan dahaga. Dengan lapar dan dahaga ini ia mendidik kita untuk belajar erti keperitan.

Kita dididik untuk merasai akan kepayahan apabila dalam kelaparan seperti orang lain. Seperti yang kita tahu masih ada mereka yang tidak mendapat makanan secukupnya.

Apakah kita masih tidak sedar akan hal itu? Sudah cukup bersyukurkah kita akan nikmat dan rezeki yang dilimpahkan kepada kita?

Maka jika kita tidak bersedia dari segi fizikal, sudah pasti kita akan tertewas. Dan kita boleh lihat orang yang tidak bersedia ini, pasti akan berusaha untuk ‘mencuri’ makan bagi melayan perutnya itu.

Dan itu adalah tanda imannya kurang. Sebab itu bulan Ramadhan adalah bulan yang ingin membuktikan siapakah umat yang benar-benar taat dengan Tuhannya sebenarnya?

Dan jika orang itu gagal menahan hawa nafsu makannya kecuali sakit, sudah pasti dia bukanlah hamba yang benar-benar taat pada sang pencipta.

Maka nilailah diri kita semula kedudukan kita di sisi Allah. Andai Ramadhan tiba, sanggupkah kita mentaati perintah Allah untuk berlapar dan dahaga keranaNya?

PERSEDIAAN ROHANI

Ini adalah persediaan yang sangat besar buat kita sebagai umat Islam. Persediaan dari segi rohani ini adalah sangat penting.

Dugaan demi dugaan akan kita hadapi. Dugaan hawa nafsu dan dugaan dari mengelak melakukan perbuatan yang boleh mengundang kepada dosa.

Snaggupkah kita mengelak dari perbuatan dosa di bulan Ramadhan? Apakah perbuatan dosa itu? Dosa mulut seperti mengumpat, memfitnah, mencarut dan sebagainya. Dosa penampilan diri seperti tidak menutup aurat, berpakaian seksi, dan sebagainya. Maka inilah dosa yang bakal merosakkan pahala Ramadhan kita jika ia tidak dibendung.

Awasilah diri kita dari melakukan sesuatu yang berdosa di bulan Ramadhan. Jika tidak, Ramadhan kita akan menjadi sia-sia.

PERTINGKATKAN AMAL IBADAH

Bulan Ramadhan adalah bulan yang dilipatgandakan pahala setiap amal ibadah. Apakah kita sudah bersedia untuk melipatgandakan amal ibadah kita?

Ataupun kita masih berkira-kira lagi untuk melakukan amal ibadah atas alasan tiada masa atau tidak larat?

Bukankah selama ini kita berusaha untuk menambah bekalan pahala kita? Oleh itu, tidak mahukah kita mengambil peluang yang sedia ada ini untuk ‘topup’ pahala kita yang masih kurang?

Ayuh kita persiapkan diri kita dalam menanti ambang Ramadhan. Janganlah biarkan Ramadhan itu berlalu begitu sahaja dengan hanya penat lapar dan dahaga. Dan apakah kita yakin bahwa kita akan dapat jumpa dengan Bulan Ramdhan pada tahun akan datang kelak? Maka bermuhasabahlah wahai hati-hati yang sedang berduka lara.

PENTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Persipakanlah diri kita dengan hadirnya Ramdhan ini.

2.      Manfaatkanlah bulan Ramadhan dengan mempertingkatkan amal ibadah kita.

3.      Jangan rosakkan Ramadhan kita dengan perbuatan dosa.

4.      Berusahalah kita menjadi hamba yang benar-benar taat akan perintah Tuhannya.

5. Bermuhasabahlah “Adakah aku ketika ini sudah benar-benar bersedia menyambut kedatangan Ramadhan yang drindui ini?”

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”


Wallahualam

No comments:

Post a Comment