RAMADHAN: PELUANG MENCINTAI RASULULLAH S.A.W
PENDAHULUAN
Sebelum kedatangan bulan Ramadhan, bagaimanakah kita dengan baginda
Rasulullah s.a.w? Apakah kita sudah cukup mempraktikkan apa yang disuruh dan
meninggalkan apa yang dilarang?
Sebelum kedatangan bulan Ramdhan, berapa banyak kita berselawat
kepada baginda?
Ketika mana kita mengharapkan syafaat baginda di akhirat kelak,
kita masih lagi gagal untuk menterjemahkan pada diri kita yang bahawasanya kita
adalah umat Muhammad s.a.w.
Benar atau tidak masih ada umat Islam yang tidak kenal siapa
Muhammad s.a.w. Sedangkan mereka tidak kenal, inikan pula ingin menyuruh mereka
mempraktikkan sunnah dan akhlak baginda.
Sangat malang jika kita adalah tergolong di kalangan golongan
tersebut. Cuba tanya mereka tentang Nabi Muhammad s.a.w?
Siapakah Muhammad? Apakah tujuan baginda diutuskan? Apakah suruhan
dan larangan baginda pada umatnya? Kenapa baginda sanggup memilih kesusahan
demi untuk umatnya? Kenapa Nabi sangat mencintai umatnya sehingga ke akhir
hayatnya? Apa yang baginda risaukan?
Maka banyak persoalan yang perlu kita jawab. Dan jika kita gagal
mendapatkan jawapannya, maka apakah kita tegar untuk mengaku kita ni umat
Muhammad?
Umat Muhammadkah kita? Jangan sesekali berani mengaku jika
sedangkan hakikatnya kita tidak pun mencintai baginda.
Apa perasaan pasangan kita jika kita mengaku mencintai dia
sedangkan pada hakikatnya kita tidak pun sayangkannya?
Sudah tentu akan kecewa. Begitu juga kita dengan Rasulullah s.a.w.
Maka dengan hadirnya Ramadhan ini, kita harapkan agar kita dapat mencontohi
baginda dan mempraktikkan apa yang Nabi Muhammad s.a.w buat ketika hayatnya.
Dan kita berdoalah agar kita tidak menjadi umat yang sesat. Allah
berfirman:
Tidakkah engkau memerhatikan (wahai Muhammad) orang-orang yang telah
diberikan sebahagian dari Kitab, mereka memilih kesesatan (dengan meninggalkan
pertunjuk Tuhan), dan mereka pula berkehendak supaya kamu juga sesat jalan.
(Surah an-Nisaa’:44)
RASULULLAH S.A.W AHLI IBADAH
Seperti yang kita tahu, bahawa baginda Muhammad s.a.w adalah insan
yang sangat kuat beribadah.
Kenapa Nabi kuat beribadah sedangkan Nabi adalah maksum dan dijamin
syurga? Sudah tentu adalah kerana Nabi ingin menjadi hamba yang bersyukur.
Bagaimana pula dengan kita? Tidak bersyukurkah kita? Maka jelas
kita mampu menilai siapa kita sebenarnya. Berbanding dengan Nabi Muhammad s.a.w
yang sangat taat pada titah perintah Tuhannya, inikan pula kita.
“Alaa..Itu Nabi bolehlah. Kita umat biasa jer…” Ini adalah ayat paling femes dikalangan umat Muhammad s.a.w. Nabi
diberi tanggungjawab yang besar. Kita tidak. Kenapa kita masih ingin ragu-ragu
terhadap segala suruhan dan larangan?
Maka peluang Ramadhan ini perlu kita ambil manfaat mencontohi baginda
Muhammad s.a.w agar kita juga dikenali sebagai orang yang kuat beribadah.
Berpuasa, tadarus al-quran, berzikir, berselawat, bersedekah,
melakukan amal jariah dan sebagainya. Jadilah diri kita yang mengimarahkan
bulan Ramadhan.
MENJADI UMAT YANG BERAKHLAK
Dengan kehadiran Ramadhan ini juga, perlulah kita berusaha menjadi
umat yang berakhlak. Akhlak yang bagaimana? Akhlak seperti Rasulullah s.a.w.
Di bulan Ramadhan kita dilarang untuk berkata-kata keji. Di bulan
Ramadhan kita juga dilarang melazimi dosa-dosa kecil. Apa dosa-dosa kecil yang
boleh merosakkan pahala puasa Ramadhan kita? Sudah tentu dari cara kita
berpakaian, cara petuturan kita, dan cara tingkah laku kita.
Jauhi dosa-dosa kecil jika kita ingin dapatkan pahala yang sempurna
dalam puasa bulan Ramadhan.
Samalah dalam bab solat. Apakah perkara yang menyebabkan kurangnya
pahala solat? Kurangnya pahala solat ialah apabila kita tidak baca dengan
tertib, tidak menjaga perkara sunnah dalam solat dan sebagainya.
Oleh itu jadikanlah bulan Ramadhan ini bulan mendidik diri agar
lebih berakhlak. Jauhi perkara mungkar dan dosa kecil agar kita meraih pahala
yang sempurna di bulan Ramdhan.
PENUTUP
Pengajaran yang boleh diambil:
1. Jadilah umat yang mencintai Rasulullah s.a.w
dan berusahalah mengenal baginda keseluruhannya jika kita benar-benar umatnya.
2.
Manfaatkanlah
bulan Ramadhan ini dengan menjadi hamba yang kuat beribadah.
3. Praktikkanlah
akhlak baginda di bulan Ramadhan ini dan juga bulan-bulan yang lain agar kita
tergolong dikalangan umat yang berakhlak.
4.
Jauhi
perkara mungkar dan dosa, dan dekatilah perkara maaruf dan berpahala kerana itu
sahaja syarat untuk masuk syurga.
5. Bermuhasabahlah
“Adakah aku benar cintakan Rasulullah s.a.w? Jika Ya buktikanlah dengan
mencontohi baginda”.
Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak
Wallahualam
No comments:
Post a Comment