Jubah

Jubah

Monday, June 23, 2014

SOLAT DAN SEDEKAH: MENDAPAT KENAIKAN PANGKAT DARI ALLAH S.W.T

SOLAT DAN SEDEKAH:
MENDAPAT KENAIKAN PANGKAT DARI ALLAH S.W.T

PENDAHULUAN
Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.(3)
Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).(4)

(Surah al-Anfaal:3-4)

Jelas dari ayat-ayat di atas, bahawa orang yang beriman yang sentiasa solat dan bersedekah, maka Allah s.w.t menyediakan pangkat yang tinggi di sisiNya dan mendapat keampunan dan limpah kurnia.

Maka apakah yang membuatkan kita masih terfikir-fikir untuk melakukan dua perkara di atas?

Solat. Payahkah? Solat fardhu 5 hari semalam. Apakah ia terlalu berat untuk dilaksanakan? Jika ini pun kita rasa berat, maka bagaimana kita ingin mendapat pangkat yang tinggi di sisi Allah s.w.t.

Begitu juga dengan sedekah. Adakah kita sering bersedekah? Dan bagaimanakah niat kita ketika itu?

Seperti yang kita tahu, bahawa sedekah itu adalah pembuka rezeki lagi bagi kita. Menerapkan amalan bersedekah boleh mendidik diri kita untuk tidak sombong dengan rezeki Allah s.w.t.

SOLAT ADALAH HISAB YANG PERTAMA

Kita maklum bahawa soalan yang akan ditanya di akhirat kelak adalah solat. Jika solat kita baik, maka perkara lain juga akan dinilai baik.

Sebab itu Islam menuntut kita untuk mendidik anak-anak tentang solat sejak berusia 7 tahun. Didiklah mereka dengan solat kerana ia adalah kunci bagi amalan-amalan yang baik.

Karakter seseorang boleh berubah kerana solat. Orang yang tidak solat atau lalai terhadapnya, maka ia akan cenderung dengan maksiat. Apabila cenderung dengan maksiat, maka akan hilanglah rahmat.

Kita tahu kan apa yang akan terjadi jika hilangnya rahmat? Apabila hilangnya rahmat, hidup akan kacau bilau dan huru-hara.

Kita akan rasa tertekan.Semua benda rasa tidak kena. Permusuhan akan berlaku. Pertelingkahan sesama sendiri boleh tercetus.

Maka pasakkanlah ia dengan tiang agama. Iaitu solat. Jangan takut jika hilang harta, tetapi takutlah jika kita hilang agama. Kerana tanpa agama manusia akan sesat dan hidup seperti binatang.

IKHLASKAN SEDEKAHMU

Dalam bab sedekah, ikhlas sangat penting. Kerana jika kita tidak ikhlas maka itu tandanya kita sombong dan berkira dengan Allah s.w.t.

Membina karakter yang tidak sombong itu mudah jika kita suka memberi dan bersedekah. Bukankah kita sedang berusaha untuk mendidik diri ke arah nilai-nilai murni iaitu kerjasama dalam pasukan?

Untuk membina nilai-nilai murni kerjasama dalam diri, kita belajar untuk kerap memberi dan bersedekah. Bukankah ini yang dianjurkan oleh baginda Muhammad s.a.w.

Harta dan nikmat itu dikongsikan bersama agar ia menjadi pengikat hubungan sesama manusia. Maka peliharalah solat dan sering bersedekah kerana padanya ada peluang untuk mendapat kenaikan pangkat dari Allah s.w.t.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Orang yang solat dan bersedekah, maka baginya pangkat yang tinggi disisi Allah s.w.t.

2.      Peliharalah solat, nescaya kita mampu menjadi orang yang benar-benar beriman.

3.      Seringlah bersedekah kerana padanya ada fadhilat yang sangat besar.

4.      Ambillah peluang di bulan Ramadhan nanti untuk mempraktikkan kedua-duanya.

5.      Bermuhasabahlah “ Pangkat apakah yang lebih tinggi selain pangkat di sisi Allah s.w.t?

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam


No comments:

Post a Comment