RAMADHAN:
BULAN MADU BAGI ORANG BERIMAN
PENDAHULUAN
Hari ini adalah jumaat
yang terakhir sebelum kita akan mula berpuasa di bulan Ramadhan untuk tahun
2014. Maka apakah persiapan kita sekarang ni? Apakah perasaan kita? Kosong atau
penuh kebunga-bungaan?
Bagaimanakah perasaan
cinta kita pada sang pencipta? Bulan Ramadhan ini diibaratkan bulan madu di
antara kita dengan Allah s.w.t.
Kerana apa? Kerana
inilah bulan di mana kita benar-benar ingin buktikan pada Allah s.w.t yang kita
benar-benar kasih padaNya.
Seperti pasangan suami
isteri, apakah tujuan mereka berbulan madu? Untuk mengikat kasih-sayang kan?
Untuk menghilangkan
stress di tempat kerja. Untuk menghabiskan masa bersama yang tersayang.
Maka begitulah juga
kita dengan sang pencipta. 11 bulan kita alpa dengan urusan duniawi dan kita
lupa bahawa ada kekasih yang sentiasa mendambakan keluhan kekasihNya.
KekasihNya itu adalah
umat Islam yang beriman. Kerana mereka inilah yang sanggup berkorban apa saja
untuk mendapatkan keredhaanNya. Allah s.w.t berfirman:
Dan di antara manusia ada yang
mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula
Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.
(Surah al-baqarah:207)
Jelas pada ayat ini
bahawa Allah amat belas kasihan pada hamba-hambaNya yang sentiasa mengorbankan
diri kerana mencari keredhaanNya.
Sebagai contoh dalam
perniagaan perhotelan, jika terdapat pelanggan yang meminta minuman arak atau
alcohol, dan kita berkeras dengan mengatakan kita tidak menjualnya, dan
akhirnya pelanggan tersebut memilih untuk pergi, adakah kita akan putus asa?
Sudah tentu tidak perlu
kerana demi mencari keredhaan Allah s.w.t, kita perlu memastikan perniagaan
kita benar-benar patuh shariah.
Dan sudah pasti Allah
akan membalas setiap kebaikan yang kita buat. Apakah kita sangka Allah itu
tidak melihat? Sudah tentu tidak, bahkan Allah itu Maha Melihat dan setiap
perbuatan itu akan dinilai walau sebesar zarah.
BULAN MADU
DENGAN PESTA IBADAH
Apakah yang kita ingin
lakukan di saat berbulan madu di bulan Ramadhan ini? Sudah tentu kita akan
memanfaatkan saat-saat berbulan madu ini dengan pesta ibadah.
Pesta ibadah yang
dimaksudkan adalah tadarus al-Quran, solat tarawikh, zikrullah dan selawat dan
sebagainya.
Sedangkan mendengar
al-quran pun sudah mendapat rahmat, inikan pula kita membacanya. Maka perhala
berganda-ganda. Allah s.w.t berfirman:
Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta
diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh
rahmat.
(Surah al-A’raaf:204)
Allah juga ada
berfirman:
Bacalah serta ikutlah
(wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang
(dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji
dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya
dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
(Surah al-Ankaabut:45)
Oleh itu, jadikanlah
bulan ini bulan pesta ibadah kita kerana inilah saat berbulan madu kita bersama
Allah s.w.t.
Dan jadikan ia sebagai
pengikat kasih antara kita dengan Allah s.w.t.
TAUBAT DI SAAT
BULAN MADU
Seperti pasangan
kekasih, apabila bercadang ingin berbulan madu, maka saat itulah peluang untuk
bermaaf-maafan jika sepanjang bersama ada terkasar bahasa atau tersalah perbuatan
yang mengundang kecil hati atau kecewa.
Kenapa tunggu saat
bulan madu? Mungkin sebelum ini rasa segan dan malu. Maka peluang berbulan
madulah pasangan dapat meluahkan perasaan masing-masing, dan membuat perjanjian
baru.
Bagaimana pula kita
dengan Allah s.w.t? Apakah kita tidak mahu lepaskan peluang ini untuk bertaubat
atas kesalahan sebelum ini?
Adakah kita ingin terus
ego, sombong, bongkak, takabur dengan kesalahan-kesalahan yang kita buat
sebelum ini?
Apakah tegar untuk kita
membiarkan perkara ini terus berlaku? Maka janganlah lagi.
Ambillah peluang saat
bulan madu ini untuk kita benar-benar bertaubat kepada Allah s.w.t dan mengikat
janji semula dengan Allah untuk menjadi hamba yang benar-benar beriman.
Kerana apa? Kerana kita
takut bahwa ini adalah bulan madu kita yang terakhir.
Oleh itu, manfaatkanlah
peluang kita di bulan Ramadhan ini untuk taubat nasuha. Jika sebelum ini kita
suka buat benda yang haram, maka mulai 1 Ramadhan kita sudah menjadi orang yang
benar-benar beriman.
Tinggalkan yang haram dan
mungkar, dan dekati yang halal dan maaruf (kebaikan).
ISTIQAMAH CINTA
SELEPAS BULAN MADU
Dan sudah semestinya
selepas bulan madu kita selama sebulan ini, apa yang kita harapkan ialah
kesetiaan dan istiqamah terhadap cinta.
Cinta kepada siapa?
Cinta kita dengan sang pencipta. Istiqamahlah terhadap cinta. Kerana hadiah
buat kekasihNya adalah syurga firddausi.
Sedangkan di dunia pun
Allah cintakan kita, tidak mungkin di akhirat Allah tidak mahu kita bersamaNya
dan membiarkan kita masuk ke nerakaNya.
Maka yakinlah bahawa
jika kita benar-benar cintakan Allah, bersedialah untuk meraih hadiah dariNya
yang berupa syurga yang menjadi idaman setiap jiwa.
Bagaimana ingin
istiqamah dalam cinta ini? Iaitu dengan terus menerus beribadah kepadaNya
kerana ketaatan dalam ibadah itulah ada cinta bagi sang hamba dan pencipta.
PENUTUP
Pengajaran yang boleh
diambil:
1. Ambillah peluang
di bulan ini untuk berbulan madu dengan Allah s.w.t iaitu dengan
memperbanyakkan ibadah.
2. Jadikanlah saat berbulan madu ini sebagai saat
kita bertaubat dan mengikat janji baru untuk setia menjadi orang beriman.
3. Istiqamah lah
terhadap cinta ilahi dengan mengekalkan ketaatan dalam beribadah pada
bulan-bulan berikutnya.
Dari Allah Kita Datang
Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak
Wallahualam
No comments:
Post a Comment