Jubah

Jubah

Friday, June 13, 2014

KEJAYAAN PASUKAN: FORMASI YANG SISTEMATIK

KEJAYAAN PASUKAN: FORMASI YANG SISTEMATIK
(Gambar Hiasan)
PENDAHULUAN

Demam piala dunia kembali lagi. Seperti yang kita sedia maklum bahawa kali ini perlawanan diadakan di Brazil.

Pelbagai persediaan yang telah dibuat oleh setiap pasukan dalam usaha untuk membawa piala dunia ke negara masing-masing.

Dan sudah tentu tiada pasukan yang ingin gagal. Setiap pemain sudah pasti mengidamkan sebuah kenangan yang manis di dalam hidup mereka dan saat paling manis adalah apabila mereka dapat mendakap piala tersebut.

Tazkirah kali ini ingin membincangkan bagaimana kita dapat membentuk sebuah pasukan yang berjaya dengan formasi yang sistematik menurut perspektif Islam.

Pasukan yang hebat akan dinilai pada hebatnya formasi yang disusun dan sistematik. Apakah yang akan terjadi jika formasi pasukan tersebut tidak tersusun dan huru-hara?

Bagaimanakah nasib pasukan tersebut selepas perlawanan? Siapakah yang akan memainkan peranan dalam membentuk formasi tersebut?

Bagaimana kita ingin membentuk formasi yang berjaya dalam sesebuah organisasi? Apakah komunikasi itu penting atau tidak?

MENYUSUN FORMASI MENGIKUT KEBOLEHAN

Kebijaksanaan ketua ialah apabila dia mampu meletakkan kekuatan pada ahlinya. Apabila dia mampu meletakkan ahli pasukannya di tempat yang betul, maka sudah pasti dia mampu untuk menghasilkan kejayaan seperti yang diidamkan.

Kesilapan ketua ialah apabila dia salah dalam meletakkan formasi. Sebagai contoh dalam bola sepak. Jika seorang jurulatih meletakkan pemain yang kurus dan kecil di posisi pertahanan, adakah kita yakin pasukan tersebut mampu bertahan dari asakan lawan?

Sudah pasti ia tidak praktikal. Maka sewajarnya jurulatih kena meletakkan seseorang yang berbadan besar atau tegap dan mempunyai kekuatan apabila bersaing dengan pihak lawan.

Sebab itulah dalam sesebuah organisasi kita perlu letak seseorang itu berdasarkan kebolehan dan kepakarannya. Islam amat mementingkan kelancaran dalam sesuatu pengurusan dan pentadbiran.

FORMASI MENGELIRUKAN TANDA BAKAL GAGAL

Jika jurulatih gagal menyusun formasi yang betul, sudah tentu ia akan gagal. Apa yang akan terjadi pada pemain jika formasi itu mengelirukan?

Sudah tentu para pemain akan bertelagah dan bergaduh sesama sendiri. Kadang-kadang kita boleh lihat perkara sebegini berlaku di tengah padang apabila ada pemain yang bergaduh sesama sendiri hanya kerana salah faham terhadap corak formasi.

Dalam organisasi kita, kita cuba elakkan dari para pekerja kita bertelagah sesama sendiri. Pastikan arahan yang diberikan adalah jelas dan nyata. Setiap tugasan yang diberikan mampu diaplikasikan oleh pekerja dengan baik tanpa ada sebarang kekeliruan.

Dan jika ada sebarang pertelingkahan sesama pekerja, maka selesaikanlah ia dengan cara bermesyuarat.

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

(Surah ali-Imraan: 159)

FORMASI BERJAYA MELALUI KOMUNIKASI YANG BAIK

Percayakah kita bahawa jika kita gagal dalam berkomunikasi, formasi terbaik macam mana pun pasti akan gagal.

Ya.. Peranan komunikasi itu sangat penting. Dalam kita berorganisasi, komunikasi setiap jabatan itu penting. Apa yang akan terjadi jika kita antara jabatan tidak berkomunikasi dengan baik? Hanya memendam rasa sahaja. Apabila berlaku masalah, tidak dimaklumkan.

Kegagalan kita sangat ketara jika gagal berkomunikasi. Di atas padang, jika pemain tidak bersuara sudah pasti jurulatih akan marah.

Dengan bersuara, sesuatu perkara atau masalah dapat disampaikan dan dikongsikan dengan jelas. Maka berkomunikasilah antara kita dalam usaha membentuk formasi yang lebih berjaya.

Apabila komunikasi berjaya, potensi untuk menang itu besar.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Dalam membentuk formasi yang berjaya, letaklah individu tertentu di tempat yang sepatutnya.

2.      Bentuklah pekerja ke arah kemahiran yang tinggi dalam menghasilkan produktiviti yang hebat.

3.     Elakkan dari membentuk formasi yang mengelirukan kerana ia boleh membuatkan sesebuah pasukan menjadi huru-hara.

4.    Binalah komunikasi yang baik di antara setiap jabatan, agar setiap isu dapat diselesaikan dengan baik dan jelas tanpa ada persengketaan.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam



No comments:

Post a Comment