Jubah

Jubah

Sunday, June 15, 2014

RAMADHAN: MENYAMBUT TAQWA DALAM KETAATAN

RAMADHAN: MENYAMBUT TAQWA DALAM KETAATAN
PENDAHULUAN

Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan yang kita rindui. Dalam kita terus menanti, apakah kita sudah bersedia sepenuhnya dari segi ilmu tentang Ramadhan?

Apakah kita sudah tahu perkara apa yang membatalkan puasa dan sebagainya?

Perkara apakah yang boleh merosakkan pahala Ramadhan? Maka perlulah kita ambil tahu segala-galanya dalam meraih pahala dan taqwa di bulan Ramadhan.

Kita jangan terlalu seronok dalam meraikan pesta piala dunia sahaja, tetapi pesta Ramadhan yang akan tiba perlu kita lihat juga kerana kita adalah Muslim.

Apakah seseorang muslim itu lebih gemar untuk menyambut piala dunia sahaja tanpa memikirkan Ramadhan yang akan tiba? Maka bermuhasabahlah kita dalam menilai diri kita dan juga Ramadhan.

Jika hati kita ketika ini masih rasa tiada apa-apa terhadap Ramadhan, tiada perubahan drastik yang ingin dilakukan, tiada taubat nasuha yang ingin dilaksanakan sempena kedatangannya, maka hati kita sebenarnya sedang bermasalah.

Dan lebih parah jika ia berterusan sehingga selepas Ramadhan.

Maka bagaimanakah kita dapat meraih taqwa dalam ketaatan ini?

KETAQWAAN DENGAN TAUBAT

Mulakanlah misi ketaqwaan kita dengan bertaubat kepada Allah s.w.t. Bukankah kita dituntut untuk bertaubat di atas segala tingkah laku buruk kita selama ini?

Dan Allah itu Maha Pengampunn. Allah berfirman:

Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah ali-Imraan:89)

Jelas pada ayat ini bahawa orang yang bertaubat sesudah ingkar, dan memperbaiki diri dari keburukan kepada kebaikan, maka Allah adalah sebaik-baik Maha Pengampun.

Kenapa kita nak minta ampun kepada Allah? Wajib ke?

Jawapannya ya wajib kerana dengan ampunan Allah sahajalah kita mampu ke syurga. Jika tidak, ke nerakalah kita. Neraka yang menjadi tempat yang paling ditakuti oleh setiap jiwa.

Maka bertaubatlah ketika kita masih punyai kesempatan. Dan manfaatkan bulan Ramadhan dengan membina ketaqwaan melalui taubatan nasuha (taubat yang sebenar-benar taubat).

TAQWA SEMBUNYI DI DALAM NIKMAT KETAATAN

Bilakah kali terakhir kita rasa nikmatnya berpuasa? Bilakah kita rasa nikmatnya beribadah seperti solat dan tadarus al-quran?

Bagaimanakah nikmat itu dirasai? Mampukah ia terucap dengan kata-kata?

Bagi muslim yang benar-benar mencari ketaqwaan, sudah pasti dia akan berusaha untuk mencapai kenikmatan dalam ketaatan beribadah.

Dan bagiNyalah (hak milik) segala yang ada di langit dan di bumi; dan kepadaNya sahaja tertentu ibadat dan ketaatan selama-lamanya; (sesudah kamu mengetahui yang demikian) maka tidaklah patut kamu takut kepada yang lain dari Allah.

(Surah an-Nahl:52)

Bumi dan langit ini milik Allah. Maka terhadap siapakah lagi kamu ingin taat? Sudah tentu terhadap Allah s.w.t. Maka berusahalah untuk meraih taqwa di dalam ketaatan.


MENJAUHI PERKARA MUNGKAR BUKTI TAQWA

Di dalam bulan Ramadhan, kita dilarang untuk membuat perkara-perkara mungkar.

Apakah perkara-perkara mungkar itu? Apakah pekara yang Allah larang bagi kita umat Islam?

Baik dari segi pakaian, tingkah laku, bicara mulut, dan sebagainya, perlu diawasi.

Segala perkara yang boleh cenderung kita ke arah dosa, maka ia dikategorikan sebagai perbuatan mungkar.

Sekarang perhatikan apa perkara mungkar yang ada pada diri kita untuk kita perbaiki? Sedangkan Ramdhan akan tiba, maka jangan rosakkan Ramadhan kita dengan perbuatan-perbuatan mungkar yang disengajakan.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Binalah ketaqwaan di dalam ketaatan sepenuhnya di dalam bulan Ramadhan ini.

2.      Mulailah ia dengan taubat nasuha iaitu taubat dengan sebenar-benar taubat.

3.      Berusahalah untuk merasai nikmat dalam ketaatan beribadah khususnya di bulan Ramadhan ini kerana kita tidak tahu adakah kita dapat merasai bulan Ramadhan ini kelak.

4.     Jauhilah perkara-pekara mungkar yang boleh mencacatkan puasa Ramadhan kita seperti memelihara aurat, pertuturan, perbuatan dan sebagainya.

5.      Istiqamahlah dalam ketaatan kepada Allah, kerana bagiNya sahajalah kita peroleh syurga.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam


No comments:

Post a Comment