Jubah

Jubah

Monday, June 2, 2014

APABILA ISLAM TIDAK TERASA INDAH OLEH UMATNYA

APABILA ISLAM TIDAK TERASA INDAH OLEH UMATNYA

PENDAHULUAN

Apakah kita benar-benar terasa indah dengan Islam ketika ini? Ini adalah persoalan utama yang perlu kita jawab. Kerana Islam adalah deenuna yakni agama kita.

Ketika dunia kita sekarang ini dihimpit dengan suasana yang negatif dengan masalah sosialnya, masalah keruntuhan akhlaknya, maka dapatkah kita merasai keindahan Islam itu sebenarnya?

Oleh demikian bagaimana kita ingin merasai keindahan tersebut? Bagaimana kita nak menghadirkan suasana keindahan Islam itu dalam rumahtangga kita, organisasi kita dan masyarakat kita?

Apabila keindahan Islam itu tidak dirasai oleh umatnya sendiri, maka apakah kita mampu menjangkakan bahawa kita akan dapat melahirkan umat yang soleh dan solehah?

Apakah peranan kita sebenarnya dalam memastikan Islam itu tampak indah? Bukankah tugas kita ialah memastikan bumi Allah ini dimakmurkan dengan syariat Islam?

Kenapa kita gagal? Di manakah silapnya? Adakah kita masih was-was dengan syariat Islam kita sendiri? Atau kita masih tidak yakin akan ganjaran dan balasan dari Allah s.w.t?

Maka ayuhlah kita bermuhasabah kembali menilai kedudukan Islam itu di dalam diri kita, keluarga kita dan juga masyarakat kita.

Di bahagian manakah kita boleh menjadikan ia indah di mata hingga terpikat di hati kemudian melahirkan bibit-bibit cinta dikalangan umatnya.

TIDAK TERASA INDAH KERANA HIMPITAN DUNIAWI

Kita mengerti bahawa salah satu punca kita gagal merasai keindahan Islam itu adalah kerana kesibukan kita mengejar perkara-perkara duniawi sehinggakan akhirat dilupai.

Sedangkan kita telah diingatkan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya:

Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.

(Surah al-Baqarah:86)

Tidak salah untuk kita mengejar kebendaan tetapi jangan pula kita lupa akan akhirat yang bakal menyusul.

Apabila kita terkejar-kejar mengejar keindahan dunia tanpa memikirkan ketaatn kepada Allah, maka sudah tentu kita tidak akan dapat rasa keindahan dan kenikmatan Islam.

Sebagai contoh dalam sesebuah keluarga, jika kita gagal menerapkan nilai-nilai Islam di dalamnya, maka Islam itu tidak terasa indah.

Apabila Islam tidak terasa indah, maka nilai-nilai negatif akan menyusuri masuk dan pada akhirnya kita gagal memahami agama sendiri.

TIDAK TERASA INDAH KERANA TIADA CINTA

Bagaimana kecintaan kita kepada Allah dan RasulNya? Insan bernama Rasulullah s.a.w, apakah kita tidak merasai sebarang kecintaan pada baginda?

Bagaimana kita ingin merasai indahnya Islam, jika kita tidak menerapkan dalam jiwa dan raga kita perasaan cinta dan syahdu kepada Rasulullah s.a.w?

Hadirkanlah kecintaan Rasulullah s.a.w itu dalam kehidupan kita. Sentiasalah membayangkan akhlak baginda itu dalam diri kita.

Berbudi bahasanya kita kerana kita sedang berusaha mencontohi akhlak Baginda.

Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).

(Surah an-Nisaa’: 80)

Jelas bagi kita untuk kita taat kepada Rasulullah s.a.w. Ketaatan dengan penuh rasa cinta pada Baginda.

SYURGA MENANTI KEDATANGAN PENGHUNINYA

Keindahan Islam itu dapat dirasai jika kita meletakkan matlamat kita benar-benar ke arah mendapat  keredhaan Allah dan juga syurgaNya.

Di dalam al-Quran Allah s.w.t banyak menyebut tentang syurga. Di mana syurga ini dikhususkan untuk hamba-hambaNya yang benar-benar bertaqwa. Hadiah yang sangat istimewa bagi mereka yang benar-benar beriman.

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.

(Surah al-Baqarah:82)

Apakah kita tidak mahu merasai hadiah tersebut? Sedangkan hakikatnya jika kita diberi hadiah di dunia ini pun kita akan berasa gembira. Bagamaina pula perasaan kita jika diberi ganjaran syurga di akhirat kelak?

Tidak gembirakah kita? Sudah pasti kita akan gembira. Tetapi bagaimana untuk mendapatkannya? Syurga tidak perlu kita dapat melalui cabutan bertuah atau menang apa-apa peraduan pun.

Kita hanya perlu menjalankan tugas kita sebagai hamba dan khalifah dengan mentaati perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

Oleh itu marilah kita bermuhasabah kembali, apakah kita benar-benar merasai keindahan Islam itu atau tidak?

Jika tidak apakah tindakan kita selepas ini dalam memastikan kita benar-benar merasai keindahannya yang diisi dengan akhlak dan syariat Islam itu sendiri.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Janganlah kita terlalu mementingkan perkara duniawai tanpa memikirkan soal akhirat.

2.      Indahnya Islam apabila kita melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

3.   Jauhilah perkara mungkar dan dekatilah perkara maaruf kerana itulah yang Allah kehendaki kepada kita dalam menjadi orang yang beriman.

4.      Harapkanlah dan kejarkanlah redha dan syurga Allah tatkala kita masih boleh bernafas ketika ini.

5.      Bermuhasabahlah “Adakah aku merasai keindahan Islam ketika ini?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam


No comments:

Post a Comment