Jubah

Jubah

Wednesday, June 25, 2014

RAMADHAN: MENGAJAR KITA ERTI BERSYUKUR

RAMADHAN: MENGAJAR KITA ERTI BERSYUKUR
PENDAHULUAN

Hadirnya Ramadhan ini adalah bertujuan untuk mendidik kita erti bersyukur. Bersyukur pada apa? Iaitu bersyukur di atas segala nikmat yang telah diberikan.

Jika kita benar-benar beriman, kita akan perasan perkara itu. Tetapi jika tidak beriman, kita tidak akan rasa tujuannya itu dan gagal mengambil manfaat yang sebenar.

Allah s.w.t berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

(Surah al-Baqarah:172)

Dalam ayat ini, Allah s.w.t menyuruh kita makan makanan yang halal yang telah dikurniakan olehNya dan kita disuruh untuk bersyukur jika hanya pada Allah kita bersembah.

Dengan hadirnya Ramadhan ini seperti yang kita sedia maklum, kita dituntut untuk menahan lapar dan dahaga.

Dari segi syarak pula ia bermaksud menahan diri dari sebarang perbuatan yang boleh membatalkan puasa.
Dan ini selain mendidik diri kita untuk menjadi hamba yang taat, ia juga mendidik kita untuk belajar bersyukur.

Separuh hari kita berlapar dan dahaga, kita pasti akan rasa peritnya. Maka ketika itu kita akan kenang akan perut-perut umat yang lain yang tiada makanan atau minuman.

Maka apakah kita masih tidak ingin bersyukur? Masih ada lagi perut-perut yang tidak diisi dengan makanan dan minuman hanya kerana kekurangan hidup.

Dengan disebabkan demikian, kita diajar untuk sentiasa bersedekah. Bukankah itu ibrah dari puasa Ramadhan?

Jangan kedekut untuk bersedekah kerana limpah kurnia Allah itu Maha Luas. Allah s.w.t berfirman:
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.

(Surah al-Baqarah:268)

ALLAH TIDAK MENYEKSA ORANG YANG BERSYUKUR

Allah s.w.t berfirman:
Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).

(Surah an-Nisaa’:147)

Jelas pada kita bahawasanya Allah tidak akan menyeksa orang yang bersyukur padaNya atas nikmat yang dikurniakan.

Dan kita kena ingat bahawa Allah akan membalas dengan sebaik-baiknya terhadap orang yang bersyukur kepadaNya. Maka masih tidak mahukah kita bersyukur?

TERLALU SEDIKIT YANG BERSYUKUR

Allah s.w.t berfirman:
Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

(Surah al-A’raf:10)

Jelas bahawasanya ada terdapat golongan yang tidak mahu bersyukur. Di golongan manakah kita? Maka bermuhasabahlah kita.

BERSYUKUR JANGAN MEMBAZIR

Ramadhan terkenal dengan bazarnya. Pelbagai aneka makanan yang dijual. Tetapi jika kita tidak mengawalnya, sudah pasti kita akan terjerumus ke kancah pembaziran.

Jangan rosakkan Ramadhan kita dengan aktiviti pembaziran. Ketika mana kita sudah banyak beribadah di siang hari di bulan Ramadhan, kemudian Ramdhan kita itu menjadi cacat cela pula akibat pembaziran dalam membeli juadah berbuka puasa. Maka elakkanlah ia.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Kenanglah nikmat yang telah dikurniakan kepada kita, dan janganlah kufur.

2.      Ambillah peluang Ramadhan ini untuk mendidik diri kita menjadi orang yang bersyukur.

3.      Perbanyakkan sedekah kerana masih ada insan yang kelaparan akibat kesempitan hidup.

4.      Bersederhanalah dalam ibadah berbuka puasa, dan janganlah membazir.

5.      Bermuhasabahlah “ Adakah aku akan bersyukur atau aku akan terus kufur terhadap nikmat Allah walaupun di bulan Ramadhan?

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallahualam

No comments:

Post a Comment