Jubah

Jubah

Tuesday, August 26, 2014

PERNIAGAAN YANG SELAMAT

PERNIAGAAN YANG SELAMAT
PENDAHULUAN

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
(Surah as-Saff:10)

Di permulaan tazkirah hari ini dikongsikan dengan ayat dari surah as-Saff di mana Allah s.w.t bertanyakan kepada kita tentang perniagaan yang boleh menyelamatkan kita dari seksaan azabnya di akhirat kelak.

Dan sudah tentu kita sebagai umat Islam ingin sentiasa memastikan setiap tindakan kita tidak mengundang kepada seksaan di akhirat kelak.

Maka apakah perniagaan yang dapat menyelamatkan kita kelak? Allah s.w.t berfirman:

Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
(Surah as-Saff:11)

Maka jelas pada kita bahawa perniagaan paling selamat adalah apabila kita beriman kepada Allah s.w.t, dan kita berjuang dan menegakkan agama Allah dengan harta dan diri.

Maka adakah perniagaan lain yang kita impikan dan kita harapkan agar kita tidak terkena seksaan dengannya?

Maka bermuhasabahlah wahai hati yang inginkan kejayaan dan kemenangan yang diredhai.

MEMBINA PERNIAGAAN PATUH SHARIAH

Apabila kita menyusuri ayat surah as-Saff sebentar tadi, maka apakah tindakan kita sekarang ini? Dalam usaha memastikan perniagaan yang kita jalankan ini benar-benar perniagaan yang tidak akan menyebabkan kita menerima seksaan di akhirat kelak?

Mari kita bermuhasabah kembali. Pertama, adakah kita beriman dengan Allah s.w.t dan RasulNya?

Jika ya apa buktinya? Sempurnakah solat fardhu kita? Bagaimanakah ibadah kita yang lain? Cukup-cukup makan atau cukup-cukup sudah?

Dan bagaimana pula dengan aktiviti dan proses pengurusan kita di sini? Adakah kita buat seperti yang disuruh Allah dan meninggalkan laranganNya atau sebaliknya?

Apa yang Nabi Muhammad s.a.w larang kita, adakah kita patuh? Cuba perhatikan diri kita, sejauh manakah kita ini dikatakan beriman kepada Allah dan RasulNya?

Oleh demikian, marilah kita berusaha membawa perniagaan organisasi kita ini, benar-benar patuh shariah.

MENAIKKAN NAMA ORGANISASI PATUH SHARIAH

Dan dari ayat tadi juga ada menyebut tentang berjuang dan membela menegakkan agama Allah s.w.t dengan harta benda dan diri.

Usaha kita dalam menaikkan nama organisasi kita sebagai organisasi yang patuh shariah, maka sudahkah kita korbankan sesuatu untuknya?

Dengan nama Allah kita berjuang, maka bagaimanakah kita mengaplikasikannya? Bagaimanakah kita mengubah diri kita agar menajdi lebih patuh shariah?

Menegakkan agama Allah dengan diri? Bagaimana? Dengan mematuhi segala suruhan dan laranganNya, mempraktikkan akhlak yang baik, menunjukkan contoh yang soleh dan solehah kepada staf-staf, dan sebagainya.

Maka ini adalah perkara yang perlu kita lihat secara serius dalam memastikan perniagaan yang kita sedang jalankan ini adalah seperi mana yang Allah s.w.t dan RasulNya kehendaki.

MENCAPAI KEMENANGAN YANG BESAR

(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar.
(Surah As-Saff:12)

Maka sesudah kita menjalankan perniagaan yang seperti diperintahkan, maka ini adalah kemenangan yang besar. Iaitu kemenangan berbentuk keampunan dari Allah s.w.t dan kemenangan dimasukkan ke dalam syurganya.

Dan apa yang kita harapkan adalah akan pertemuan kita bukan sahaja di dunia, tetapi pertemuan kita semua di syurga Allah kelak.

Kerna kita sama-sama telah menempuh perjuangan dalam menegakkan syiar Islam.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Berusahalah untuk membina perniagaan yang patuh shariah.

2.  Perniagaan yang patuh shariah adalah perniagaan yang selari dengan apa yang Allah dan RasulNya perintahkan.

3.      Kemenangan yang besar apabila kita mendapat keampunan dan syurga Allah s.w.t

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallahualam

No comments:

Post a Comment