Jubah

Jubah

Sunday, August 24, 2014

KEMATIAN YANG MENGINSAFKAN

KEMATIAN YANG MENGINSAFKAN
PENDAHULUAN

Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Ia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan).
(Surah Al-An’am:2)

Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang ajal kematian di mana ia telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Ajal yang di mana setiap jiwa akan hadapinya sekali seumur hidup.

Dan dari ayat sebentar tadi Allah juga berfirman bahawa adakah kita masih ragu-ragu akan adanya hari Pembalasan?

Maka tazkirah kali ini ingin membicarakan tajuk tentang kematian yang menginsafkan.

Bersempena hari berkabung kita terhadap mangsa-mangsa MH17, marilah kita mengambil iktibar terhadap segala ujian yang kita sedang hadapi.

Mengambil pengajaran-pengajaran buat kita yang masih hidup dalam usaha untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

Ayat-ayat al-Quran banyak menceritakan tentang kematian. Bagaimanakah kematian itu akan terjadi? Dan apakah yang berlaku selepas kematian, dan bagamaimanakah kita dapat meraih ganjaran syurga yang kita telah usahakan ketika di dunia.

KESENANGAN HIDUP YANG SINGKAT

Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja".
(Surah al-Ahzaab:16)

Jelas pada ayat ini bahawa sejauh mana pun kita berlari kita tetap tidak akan dapat lari dari kematian.

Dan jika kita terlepas sekalipun, tidaklah kita akan merasai kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja. Itu jelas bahawa kematian itu adalah pasti bagi setiap jiwa.

Cuma bagaimanakah kita ingin menjadikan kematian kita itu adalah kematian yang diredhai Allah s.w.t?

MENGELAK DARI KEMATIAN YANG DIMURKAI

(Kematian mereka dalam keadaan yang buruk) itu, kerana mereka menurut (serta melakukan) perkara-perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah, dan mereka pula membenci perkara-perkara yang diredhaiNya; oleh itu, Allah gugurkan amal-amal mereka (yang baik, yang pernah mereka lakukan).
(Surah Muhammad: 28)

Adakah kita dikalangan hamba-hamba yang dimurkai? Apakah kita ketika hayat kita banyak melakukan perkara-perkara mungkar yang diharamkan oleh Allah s.w.t?

Apakah kita tidak pernah insaf akan hal sedemikian? Apakah kita ingin tunggu sampai ajal kita baru terbitnya rasa keinsafan tersebut? Itu pun jika sempat.

Maka bagi mengelakkan kematian kita menjadi kematian yang dimurkai, maka mulai pada hari ini kita segera istighfar dan memohon ampun pada Allah s.w.t atas segala dosa yang telah kita lakukan.

Ditakuti umur kita tidak panjang untuk diberi peluang untk bertaubat.

AJAL YANG TIDAK DILAMBATKAN

Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.
(Surah al-Munafiquun: 11)

Dan jelas pada ayat ini bahawa Allah s.w.t tidak akan sesekali melambatkan kematian seseorang. Apabila ajal sudah tiba, maka tiada siapa yang dapat menghalangnya.

Dan sentiasalah berdoa kepada Allah s.w.t agar kematian kita kelak dapat diakhiri dengan mengucap kalimah syahadah.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Sesungguhnya ajal itu telah ditetapkan Allah s.w.t, maka janganlah raguinya.

2.       Hidup ini terlalu singkat, maka manfaatkanlah ia dalam mencari redha Allah s.w.t.

3.      Elakkanlah dari menghadapi kematian yang dimurkai kerana ia boleh membuatkan amal-amal baik kita gugur.

4.      Allah tidak pernah melambatkan ajal seseorang. Maka sentiasa berawasilah terhadapnya, dan sentiasalah mengingati mati.

5.      Bermuhasabahlah “ Kematian yang bagaimanakah yang kita inginkan? Kematian yang diredhai atau yang dimurkai?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam


No comments:

Post a Comment