Jubah

Jubah

Tuesday, August 19, 2014

KITA UMAT YANG BERADAB

KITA UMAT YANG BERADAB
PENDAHULUAN

Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;
(Surah Al-Furqaan:63)

Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang suruhan untuk berkelakuan baik, sopan santun dan penuh beradab.
Tazkirah kali ini akan membicarakan tentang “Kita Umat Yang Beradab’.

Persoalan yang ingin diutarakan di sini adalah, adakah kita umat yang beradab pada zaman kini?

Cukup beradabkah kita dengan orang lain sama ada dengan yang muda atau yang tua, atau yang tinggi pangkatnya mahupun rendah pangkatnya, dan sebagainya?

Bagaimana pula adab kita dengan alim ulama? Adab kita dengan para guru? Adab kita dengan Allah s.w.t dan RasulNya?

Maka persoalan ini akan kita rungkai dan bermuhasabah sejauh manakah kita ini adalah umat yang beradab.

Setiap kita secara jujurnya tidak suka berhubung dengan manusia yang tidak beradab. Apabila kita jumpa dengan golongan yang tidak beradab, apa yang kita buat adalah menjauhkan diri atau menceritakan hal keburukan perilaku orang tersebut kepada orang lain.

Bagaimanakah kita ini yang dikatakan umat yang beradab?

BERADAB DALAM BICARA

Rasulullah s.a.w mengajar kita agar mengawal cara bicara kita. Agar setiap kenyataan yang keluar itu adalah kenyataan yang sopan dan beradab tanpa mendatangkan sakit hati pada orang lain.

Cuba perhatikan bagaimana Rasulullah s.a.w berbicara dengan para sahabat? Walaupun baginda adalah utusan Allah, baginda masih menjaga adab dalam bersahabat dan adab dalam berbicara bersama-sama mereka.

Tujuannya agar setiap kalam yang ingin disampaikan oleh baginda, tidak mendatangkan kekecewaan mahupun sakit hati terhadap orang lain.

Malah setiap individu yang bicara dengan Rasulullah s.a.w sangat berasa tenang dan damai. Bagaimana pula dengan kita? Sudahkah kita menjaga adab berbicara kita dengan orang lain?

BERADAB ITU TANDA HORMAT

Tidak salah untuk kita berlaku adab dan sopan terhadap orang lain. Baik yang tua mahupun yang muda. Baik yang berpangkat tinggi mahupun yang rendah.

Adab itu tanda hormat. Bukankah kita ingin diri kita dihormati? Sebelum orang lain menghormati kita, kita perlu menghormati orang lain.

Tetapi reality umat Islam zaman sekarang sudah lagi tidak beradab. Jelas kita boleh lihat senario di luar sana akan bahawa terdapat golongan anak muda yang tidak beradab dengan yang tua. Anak murid tidak beradab dengan para guru.

Apakah puncanya? Tidak cukupkah ajaran yang telah dibawa oleh Baginda Rasulullah s.a.w kepada kita yang mengajarkan kita adab dan sopan santun?

Maka bermuhasabahlah kita dalam memastikan kita ini menjadi umat yang beradab.

UMAT YANG BERADAB MEMBAWA PERADABAN YANG MAJU

Jika kita teliti dalam ajaran Islam, Islam amat mementingkan akhlak dan sakhsiah. Dengan akhlak yang baik, maka sesebuah peradaban itu akan menjadi maju.

Apa akan terjadi kepada sesebuah negara organisasi mahupun sesebuah negara jika umatnya adalah umat yang tidak beradab dan tidak memiliki akhlak yang baik?

Sudah tentu akan huru-hara. Permusuhan, fitnah, hasad dengki akan menyelubungi awan kehidupan manusia dan pada akhirnya peradaban menjadi mundur.

Oleh itu, ayuh kita menjadi umat yang beradab. Selari dengan tuntutan Islam dan seperti apa yang telah diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w kepada umatnya.

Umat yang beradab adalah umat yang berjaya dunia dan akhirat. Gagal menjadi umat yang beradab maka gagallah kita dalam melahirkan peradaban manusia yang maju dan bertaqwa.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Jadilah khalifah yang berjalan di muka bumi ini khalifah yang beradab terhadap bumi dan isinya.

2.      Beradablah sesama manusia khususnya sesama umat Islam.

3.      Pelihara cara bicara kita dan perilaku kita agar kita dinilai sebagai umat yang beradab.

4.    Beradabah dengan setiap makhluk dengan mencontohi cara adab Baginda Muhammad s.a.w dengan umatnya agar kita berjaya mewujudkan peradaban yang maju dan bertaqwa.

5.      Bermuhasabahlah “Adakah aku tergolong dikalangan umat yang beradab sekarang ini?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam



No comments:

Post a Comment