Jubah

Jubah

Tuesday, August 19, 2014

BERUBAH KERANA MUSIBAH?

BERUBAH KERANA MUSIBAH?
PENDAHULUAN

Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberi mereka merasai sesuatu rahmat daripadaNya, tiba-tiba sebahagian dari mereka mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya;
(Surah Ar-Ruum:33)

Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang manusia yang apabila datang padanya bahaya, maka segera mereka berdoa kepada Allah dan kembali taubat. Dan Allah mengurniakan rahmat kepada orang-orang yang bertaubat.

Tetapi malangnya ada terdapat sebahagian dari mereka yang mempersekutukan Allah selepas di beri rahmat.

Persoalannya, adakah kita dikalangan golongan tersebut? Maka tazkirah kali ini ingin mebincangkan tentang perihal golongan yang berubah kerana musibah.

Kita tahu bahawa ada beberapa keadaan yang menyebabkan manusia itu berubah. Pertama berubah kerana nasihat, dan yang kedua berubah kerana musibah.

Bagi berubah kerana nasihat itu adalah tindakan yang sangat baik. Kerana bagi mengelakkan dari berlakunya sebarang kecelakaan atau bencana, maka atas nasihat dia segera berubah.

Tetapi ada pula yang berubah kerana musibah. Dan ini adalah sangat merugikan kita sendiri. Kerana setelah kita ditimpa musibah, baru kita sedar akan bahaya dan bencananya.

Maka adakah kita ingin memilih untuk berubah setelah musibah sedangkan kita diberi peluang untuk menerima nasihat untuk berubah sebelumnya?

BALASAN PERBUATAN BURUK PUNCA BERUBAH

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
(Surah ar-Ruum:41)

Jelas pada ayat ini bahawa kerosakan dan bala bencana yang dibuat oleh manusia, maka baginya balasan buruk. Maka dengan sebab itu, mereka kembali insaf dan berubah.

Dalam keadaan kita sekarang ini, kita dapat lihat betapa ramai yang berubah setelah ditimpa musibah.

Samada dari segi fizikal mahupun mental, maka perubahan ini adalah disebabkan musibah yang menimpa.

Manusia ini sifatnya leka dan lupa. Setelah diberi nasihat, tetap akan lupa nasihat yang diterima. Dan pada akhirnya, apabila orang tersebut terkena musibah, maka barulah dia akan berubah.

Maka belajarlah untuk sentiasa mendengar nasihat agar kita tidak mendatangkan masalah pada diri sendiri kelak.

BERUBAH KERANA NASIHAT

Indahnya Islam kerana padanya banyak nasihat. Orang mukmin yang bertaqwa sudah pasti akan memastikan dirinya sentiasa dinasihati agar dia tidak tersalah laku.

Pelbagai nasihat yang boleh kita ambil melalui al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w yang kita boleh praktikkan dalam seharian hidup kita.

Tidaklah Allah dan RasulNya larang sesuatu perkara melainkan padanya ada musibah yang perlu kita elakkan.

Tetapi amat malangnya bagi mereka yang tetap dan masih ingin menolak segala suruhan dan larangan tersebut.

Agama itu nasihat. Maka pastikanlah kita dalam lingkungan agama kita dengan sentiasa menerima nasihat-nasihat.

Bukankah kita sedang ke arah mukmin yang professional? Seorang mukmin yang profesional sentiasa bersedia menerima nasihat dan kritikan yang positif bagi mencapai kejayaan diri yang lebih besar.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Kembalilah kepada Allah jika kita menghadapi bencana.

2.      Berubahlah kerana nasihat terlebih dahulu berbanding berubah setelah musibah.

3.      Bersedialah kita menerima nasihat agar kita berjaya mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

4.      Bermuhasabahlah “ Adakah aku akan berubah kerana nasihat atau kerana musibah?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam


No comments:

Post a Comment