Jubah

Jubah

Thursday, May 29, 2014

“ANDAI ITU YANG ALLAH PINTA”

“ANDAI ITU YANG ALLAH PINTA”

PENDAHULUAN

Apakah yang Allah pinta? Satu persoalan yang perlu untuk kita jawab. Benarkah ada sesuatu yang Allah ingin kita lakukan mengikut aturanNya?

Apakah yang akan terjadi jika kita memilih untuk tidak melaksanakan apa yang Allah pinta?

Seperti yang kita ketahui, kita adalah hamba.  Apabila dikatakan hamba, kita terikat dengan tuan kita. Dan Tuan kita adalah Allah s.w.t.

Oleh demikian, setiap yang Allah pinta pada kita, perlu kita taat untuk laksanakannya,tanpa ada  sedikit alasan pun.

Dan jika kita memilih untuk beralasan, maka sudah tentu ia mengundang murka Allah dan seterusnya gagal untuk meraih apa yang dikatakan sebagai ganjaran pahala di akhirat kelak.

Akan tetapi realiti umat Islam zaman sekarang ini, lupa akan tentang apa yang Allah pinta.

Cuba kita tanya diri sendiri, tahu tak apa yang Allah pinta kepada kita selama ini?

Jika kita tidak tahu, cuba check balik dalam al-Quran.

Agak menyedihkan jika selama ini kita tidak tahu apa yang Allah pinta dari kita, tetapi kita pula sibuk untuk pinta sesuatu dari Allah.

Kita pinta pada Allah agar dimurahkan rezekilah, diberi kehidupan yang bahagia la, diberi kerjaya yang baik la, dan sebagainya.

Tetapi lupakah kita dengan pintaan Allah?


ALLAH PINTA KITA TAAT PADANYA

Jika kita susuri ayat-ayat al-quran, kita akan dapati banyak ayat al-quran yang menyuruh kita taat kepada Allah s.w.t.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.

(Surah ali-Imraan:32)

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.

(Surah ali-Imraan: 132)

Jelas pada ayat-ayat ini bahawa Allah pinta kita untuk sentiasa taat padaNya. Maka wajarkah kita melanggar ketaatan ini?

Sebagai contoh di negara kita, jika kita diperintah untuk taat setia pada raja, apakah kita suka untuk melanggar ketaatan tersebut dengan memaki hamun raja, tidak hormati raja, malah isytihar perang dengan raja?

Malah jika kita buat semua itu, sudah tentu kita akan ditangkap dan dipenjarakan. Bagaimana pula dengan Raja sekalian Alam? Maka bermuhasabahlah kita.


ALLAH PINTA KITA BUAT KEBAIKAN

Allah s.w.t berfirman:

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.

(Surah an-Nahl: 90)

Jelas pada ayat ini, Allah pinta kita untuk membuat kebaikan termasuklah berlaku adil, baik adil terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat dan juga pekerja.

Malah Allah s.w.t juga pinta kita memberi bantuan kepada kaum kerabat, baik dari segi harta, mahupun tenaga.

Dan Allah pinta kita melarang mana-mana umat Islam dari melakukan sesuatu yang keji dan mungkar.

Malah dalam bab beramanah, juga Allah pinta kita supaya beramanah terhadap segala urusan.

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

(Surah an-Nisaa’:58)

Adakah segala pintaan Allah yang termaktub di dalam al-Quran kita buat, atau sedang buat, atau belum lagi buat, atau tidak akan buat?

Maka nilailah kembali peranan kita sebagai hamba. Banyak lagi ayat-ayat yang Allah pinta kepada kita yang boleh kita laksanakannya sepanjang hidup kita.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Susurilah kembali ayat-ayat Allah dan perhatikanlah apa yang sebenarnya Allah pinta kepada kita, kerana masih banyak lagi suruhan dan larangan Allah yang kita belum tahu sebenarnya.

2.      Taatlah akan suruhan Allah, dan jangan sesekali melanggarinya, kerana sedangkan raja pun kita kena taat, inikan pula Raja Sekalian Alam.

3.      Sebelum meminta sesuatu pada Allah, laksanakan dahulu apa yang Allah pinta. Jika tidak apa yang kita pinta susah untuk dikabulkan oleh Allah.

4.      Bermuhasabahlah “Andai itu yang Allah pinta, apakah tegar untuk aku menolak dan menafikannya?”

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam


Wednesday, May 28, 2014

‘JIKA MULA KERANA ALLAH, JANGAN BERHENTI KERANA MANUSIA’

‘JIKA MULA KERANA ALLAH, JANGAN BERHENTI KERANA MANUSIA’

PENDAHULUAN

Peristiwa Israk Mikraj adalah peristiwa yang sangat istimewa buat Nabi Muhammad s.a.w dan juga kita sebagai umatnya.

Di mana seperti yang kita ketahui, padanya terdapat pengajaran-pengajaran bagi kita orang yang beriman.

Dan mulanya Nabi Muhammad s.a.w berdakwah adalah kerana Allah s.w.t. Di atas perintah sebagai seorang Rasul bagi menyampaikan risalah Tuhannya kepada seluruh umat manusia, maka Nabi Muhammad s.a.w terus berdakwah sehingga ke akhir hayatnya.

Dan setelah kewafatan baginda, dakwah itu diteruskan oleh para sahabat dan juga para alim ulama. Atas sebab kerana Allah s.w.t.

Dan kisah-kisah mereka dalam berdakwah, banyak liku-liku yang mereka hadapi hanysanya untuk menegakkan syiar Islam. Tetapi mereka tidak pernah mengalah. Kerana apa? Kerana mereka bermula kerana Allah s.w.t.

Bagaimanakah kita? Adakah setiap perkara yang kita lakukan adalah kerana Allah s.w.t? Jika ya, apakah kita patut berhenti kerana ada manusia yang menyuruh kita berhenti?

Apakah pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah Nabi yang tidak pernah putus asa dalam menyampaikan dakwahnya?

Apakah titik utama yang menyebabkan Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah mengalah dan berhenti sehinggakan ada pembesar-pembesar Quraisy yang menawarkan hadiah yang sangat besar buat Baginda agar baginda menghentikan dakwahnya?

Maka pada kali ini kita akan menyusuri kenapa kita perlu teruskan sesuatu yang dibuat atas kerana Allah dan bagaimana kita menghadapinya sebagai indvidu Muslim yang ingin mencapai kejayaan.


MULA KERANA ALLAH

Setiap perkara baik yang diniatkan kerana Allah, maka baginya ganjaran pahala. Baik dalam ibadah, perkerjaan, atau amalan-amalan yang baik seperti bergotong-royong, bersedekah, tolong-menolong, jika disandarkan kerana Allah, maka baginya pahala.

Apabila kita katakan setiap perkara itu adalah kerana Allah, maka sudah pasti kita akan pastikan ia benar-benar dilaksanakan atas landasan syariat Islam.

Bagaimana pula kita dengan kerja kita? Adakah kerana Allah s.w.t? Sebagai contoh dalam kita mempraktikkan pematuhan syariah di tempat kerja, adakah ia kerana sijil, atau kerana arahan berwajib, atau kerana market, atau kerana nak sedapkan hati majikan?

Maka jika semua itu disandarkan bukan kerana Allah, nescaya kita akan berasa berat dan tertekan. Dan tiada pahala yang kita akan dapat di sisi Allah s.w.t kelak.

Maka atas sebab itu, marilah kita menilai semula dengan persoalan, apakah kita benar-benar mempraktikakn shariah ini kerana Allah s.w.t?

Nabi Muhammad s.a.w tetap teruskan dakwahnya dalam mengajak yang maaruf dan mencegah yang mungkar, kerana Allah s.w.t.

Bagaimanakah kita? Adakah kita akan tertewas disebabkan ada manusia yang tidak suka? Sebagai contoh jika ada manusia yang tidak suka akan kita mempraktikkan syariah, apakah kita akan berhenti dari melaksanakannya?

Maka bermuhasabahlah. Kerana Allahlah kita hidup di dunia ini. Bukan kerana manusia.


PERLU KE BERHENTI KERANA MANUSIA?

Seperti dalam bab taubat, kita lihat ramai invidu yang sudah bertaubat memilih jalan yang baik dan mengikut syariat Islam. Bukan sebab namanya Islam, akan tetapi kerana mereka benar-benar ingin berubah ke arah yang benar.

Tetapi kadang-kadang ada wujud golongan yang cuba menghalang individu-individu yang ingin buat baik kerana Alalh s.w.t.

Sebagai contoh jika ada seseorang yang bertaubat kemudian, ada invidu lain yang memperlekehkan taubatnya, dengan mengatakan dia hipokritlah, buat sebab nak tarik perhatianlah dan sebagainya,maka perkara sebegini sudah pasti akan melemahkan semangatnya untuk berubah.

Oleh sebab itu, apa-apa pun perkara jika kita buat kerana Allah, dan kita mulainya atas sebab ketaatan pada perintah Allah, jangan sesekali berhenti kerana manusia.

Kerana diakhiri hidup kita, keputusan exam hidup kita adalah di bawah penentuan Allah s.w.t. Bukan penentuan manusia.

Samalah ketika mana kita mengambil paper exam ketika belajar. Jika ada kawan-kawan kita yang mengatakan bahawa kita akan gagal, dan jika kita terpengaruh dengan perkataan tersebut, sudah tentu kita akan berhenti dari mengambil exam.

Oleh demikian, nilailah kembali diri kita, adakah kita mula sesuatu itu kerana Allah? Dan jika ya, apakah wajar bagi kita untuk berhenti kerana manusia?

Bagi yang ingin bertaubat, teruskan bertaubat. Yang ingin melaksanakan syariah dalam kehidupannya, teruskan, Dan jangan berhenti kerana manusia. Kerana Allah adalah sebaik-baik penilai buat diri kita.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Mulakanlah sesuatu kerana Allah.

2.      Apabila sudah mulakan kerana Allah, jangan berhenti kerana manusia.

3.      Allah adalah sebaik-baik penilai buat diri kita, bukan manusia.

4.      Istiqamahlah kita dalam menegakkan syariat Allah, dan jangan mengalah.

5.   Bermuhasabahlah “Adakah kita perlu berhenti kerana manusia sedangkan kita sudah mulakannya kerana Allah s.w.t?

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”


Wallahualam 

Thursday, May 22, 2014

HADIAH BUAT PEMIMPIN YANG BERIMAN

HADIAH BUAT PEMIMPIN YANG BERIMAN


PENDAHULUAN

Apabila kita bicara tentang pemimpin, ia merupakan tanggungjawab yang sangat besar bagi sesiapa yang memegang position tersebut.

Kerana ia melibatkan tanggungjawab dan amanah terhadap apa yang dipimpinnya. Jika dia pimpin kepada yang salah, maka dia akan hadapi pelbagai masalah. Begitulah juga sebaliknya.

Akan tetapi realitinya, ramai antara kita suka untuk menjadi pemimpin. Ia sangat bagus jika kita dalam keadaan benar-benar beriman ketika itu.

Kerana jika kita bukan dalam keadaan beriman, maka corak pimpinan kita pasti tidak akan berlandaskan al-quran dan as-sunnah.

Justeru itu, ada positif dan negatifnya menjadi seorang pemimpin. Bagi seorang suami, dia adalah pemimpin keluarga.

Jika dia gagal dalam pimpinannya seperti tidak mendidik isteri dan anak-anak untuk taat pada perintah Allah, maka dia adalah pemimpin yang bakal di check in kan ke dalam api neraka kelak.

Oleh demikian, bagaimanakah kita dapat menjadi pemimpin yang diredhai oleh Allah s.w.t di samping meraih kejayaan di dunia dan juga di akhirat? Hari ini dikongsikan 2 cara untuk menjadi pemimpin yang beriman dan berjaya.


PEMIMPIN YANG SENTIASA SUJUD

Apa yang dikatakan dengan pemimpin yang sentiasa sujud? Iaitu pemimpin yang tidak pernah meninggalkan solat.

Pemimpin yang tidak pernah meninggalkan solat sudah pasti menjadi pilihan Allah untuk menjadi pemimpin yang dicintai olehNya.

Sejarah pernah membuktikan tentang pemimpin-pemimpin Islam yang hebat. Di antaranya Nabi Muhammad s.a.w sendiri dan para sahabat, tabien dan sebagainya. Antara tokoh pemimpin lain adalah seperti Salahudin al-Ayubi dan Muhammad al-Fateh.

Mereka ini kita kenali sebagai pemimpin yang sangat hebat. Tetapi hebatnya mereka kerana dahi mereka tidak pernah lekang untuk sentiasa sujud pada Allah.

Kerana mereka tahu, dengan hanya mentaati Allah, barisan bawah pimpinannya akan hormatinya.

Jadi persoalannya, adakah kita ini pemimpin yang sentiasa sujud kepada Allah s.w.t dalam erti kata lain adalah solat?

Adakah kita ini pemimpin yang terlalu sibuk dengan urusan dunia sehinggakan kita beralasan untuk tidak sempat menunaikan solat fardhu?

Maka elaklah jadi pemimpin yang sombong dengan Tuhannya. Jika kita sombong untuk meletakkan dahi kita serendah-rendahnya untuk Allah s.w.t, maka kita akan menjadi pemimpin yang gagal.


PEMIMPIN YANG TEGUH MEMEGANG PANJI SYARIAT

Apakah panji syariat itu? Dan kenapa ia perlu dipegang teguh oleh seorang pemimpin? Jika panji itu jatuh,apakah yang akan terjadi?

Panji syariat itu adalah apa yang telah diperintahkan oleh Allah untuk ditaati, dan apa yang telah dilarang oleh Allah untuk ditinggalkan.

Itu adalah panji yang perlu dipegang erat dan kuat oleh sesiapa yang menjadi pemimpin sama ada pemimpin dalam keluarga, atau masyarakat, atau organisasi, mahupun sesebuah negara.

Kegagalan memegang panji syariat ini pasti akan mengundang kegagalan terhadap orang-orang bawahannya.
Dia akan gagal mengurus dan memimpin orang bawahannya kerana tiada panduan dan ketetapan untuk dipatuhi. Segala-galanya diuruskan mengikut hawa nafsu sahaja.

Seperti dalam sesebuah peperangan, akan ada pemimpin yang ditugaskan untuk memegang panji.

Jika tumbang panji ini, pasti anggot tenteranya akan rasa cepat tertewas dan menganggap seolah-olah mereka akan kalah.

Begitu jugalah kita dalam organisasi, apabila pemimpin dalam sesebuah organisasi, gagal untuk memegang panji dengan teguh dan menyebabkan ia tumbang, sudah pasti ia akan mengundang kekecewaan kepada orang bawahan.

Mereka menganggap para pemimpin mereka tidak lagi taat pada Allah dan ketika itu pemimpin mereka hanya memimpin mengikut hawa nafsu sahaja.

Sebab itu tidak hairan kita boleh lihat banyak perkara haram berlaku seperti rasuah, penyelewengan, penipuan dan kezaliman berlaku.

Oleh itu elakkanlah dari menjadi pemimpin yang suka mengikut telunjuk hawa nafsu. Peganglah kembali dengan teguh panji syariat, dan jangan lepaskannya kerana ia dapat mendorong orang bawahan untuk meningkatkan motivasi diri bagi mencapai matlamat dan objektif yang sebenar.

Allah berfirman:

Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

(Surah as-Sajdah:24)


HADIAH BUAT PEMIMPIN YANG BERIMAN

Maka apabila pemimpin itu benar-benar menjadi pemimpin yang beriman, maka sudah pasti ada ganjaran dari Allah s.w.t buat mereka.

Tidak lain dan tidak bukan adalah syurga yang menjadi idaman setiap orang. Pemimpin yang gagal dalam pimpinannya, maka baginya neraka dan azab yang pedih.

Pemimpin yang ke neraka ini adalah pemimpin yang secara jelas menolak ayat-ayat Allah dan gagal dalam mempraktikkan apa yang telah disyariatkan oleh Allah dalam organisasinya.

Jangalah kita menjadi pemimpin seperti Firaun dan Taghut, tetapi jadilah pemimpin seperti Nabi Muhammad s.a.w, di mana dia dicintai ketika hayatnya, dan dirindui setelah wafatnya baginda.

Apakah ganjaran syurga itu tidak besar buat kita sebagai pemimpin? Adakah ada hadiah lain yang lebih besar lagi yang kita harapkan?

Sudah tentu tidak. Kerana ahli neraka pun jika diberi setitis air ketika di neraka itu, bagi mereka itu adalah hadiah dan nikmat yang sangat besar. Inikan pula sebuah mahligai syurga Firdausi.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Jadilah pemimpin yang sentiasa sujud kepada tuhannya, dan janganlah sombong.

2.      Peganglah paniji syariat Islam seteguh-teguhnya dan janganlah biarkan ia tumbang kerana panji syariat adalah sumber motivasi buat orang bawah pimpinan sang pemimpin.

3.      Rebutlah untuk menjadi pemimpin yang mendapat hadiah dari Allah s.w.t dan janganlah jadi pemimpin yang dibenci Allah s.w.t.

4.    Muhasabahlah “Adakah aku kini seorang pemimpin yang benar-benar beriman dengan Allah s.w.t atau tidak?”

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”


Wallahualam

Wednesday, May 21, 2014

DI MANA BUMI DIPIJAK DI SITU SYARIAT DIJUNJUNG

DI MANA BUMI DIPIJAK DI SITU SYARIAT DIJUNJUNG


PENDAHULUAN

Dalam kita melayari kehidupan di dunia ini, sudah tentu kita melayarinya dengan syariat Islam. Kerana kehidupan tanpa syariat, ibarat layang-layang yang terputus talinya. Tiada hala tuju dan matlamat sebenar.

Oleh demikian ,persoalannya bagaimanakah kita memijak bumi Allah ini dan pada masa yang sama syariat itu dijunjung?

Sedangkan kita tahu bahawa setiap hukum-hakam yang kita sedang patuhi ini adalah dari syariat Allah s.w.t.
Allah s.w.t berfirman:

Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar.(13)

Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.(14)

(Surah an-Nisaa’:13-14)

Jelas pada kita bahawa hukum-hakam yang telah Allah tetapkan pada kita dan jika kita taat maka ada ganjaran dariNya dan begitulah juga sebaliknya.


KENAPA SYARIAT PERLU DIJUNJUNG?

Seperti yang disebutkan tadi adalah kerana kita adalah hamba Allah s.w.t. Seorang hamba akan taat pada tuannya.

Dan jika kita menyimpang dari ketaatan, maka ke nerakalah kita. Ini dari sudut ubudiyyah (ibadah) kita kepada Allah s.w.t yang menghidupkan kita dan mematikan kita.

Dari sudut khalifah, yakni jiwa yang diberi amanah untuk memakmurkan bumi Allah ini, maka syariat itu sangat penting untuk kita junjung.

Tanpa syariat, kehidupan kita akan jadi huru-hara. Apabila tarbiyah dan syariat tidak diserap masuk dalam jiwa, maka akan berlakulah permusuhan di antara sesama sendiri.

Syariat Islam ini adalah ubat bagi penyakit hati manusia. Tanpa ubat ini, maka manusia akan terjerumus ke lembah kejahatan dan kemungkaran.

Apabila hawa nafsu melangkaui syariat, maka kita akan hadapi kebinasaan dalam hidup. Kecelaruan dalam mengenal identiti diri sendiri sebagai seorang muslim.

Dan jelas kita diperintahkan untuk menuruti syariat Allah s.w.t walau di mana jua kita berada sekalipun. Allah s.w.t berfirman:

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

(Surah al-Jaathiyah:18)


BAGAIMANA SYARIAT ITU DIJUNJUNG?

Dan cara terbaik untuk kita menjunjung syariat Allah s.w.t adalah dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Apakah susah bagi kita untuk mempraktikkannya? Apakah ada sesuatu yang menghalang kita dari melaksanakannya?

Kadang-kadang kita boleh lihat bahawa umat Islam zaman sekarang sukar untuk melaksanakannya.

Puncanya kerana hawa nafsu. Sedangkan kita tahu hawa nafsu adalah musuh ketat syariat Allah. Ia sama sekali tidak suka akan ketaatan kepada Allah s.w.t.

Maka tanggungjawab kita semua untuk menundukkan hawa nafsu ini dengan syariat Allah s.w.t dengan cara segera mentaati apa yang telah ditetapkan oleh Allah, walau di mana kita berada sekalipun.

Allah berfriman:

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

(Surah al-Hajj:41)

Jelas pada ayat ini bahawa umat Islam yang sebenar ialah apabila diberi kekuasaan mereka memerintahnya dengan syariat Islam. Dan kita perlu ingat bahawa Allah jualah kesudahan segala urusan.


PERTAHANKAN SYARIAT DARI RUNTUH

Seperti langit, jika ia runtuh sudah tentu ia akan menghempap umat manusia dan mendatangkan kecelakaan yang besar.

Oleh demikian, sebagai manusia yang telah diiznkan oleh Allah untuk hidup di dunia ini, maka wajib atas kita untuk mempertahankan syariat Allah s.w.t baik dalam rumahtangga, keluarga, masyarakat, organisasi dan juga negara.

Jika tidak, pasti kita akan menghadapi musibah yang besar. Kerana sebelum kita sudah ada kaum-kaum yang menolak dan tidak mempertahankan syariat Allah s.w.t.

Maka pengakhiran mereka sangatlah hina dan Allah s.w.t telah datangkan kebinasaan kepada mereka.Oleh itu pertahankanlah syariat Islam dengan menjadi mukmin yang benar-benar bertaqwa dan mempraktikkan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Junjunglah syariat walau di mana jua kita berada.

2.      Tanpa syariat kita ibarat layang-layang yang terputus talinya. Maka pastikanlah tali syariat itu kuat dan teguh.

3.      Segeralah taat pada suruhan Allah dan tinggalkanlah segala laranganNya.

4.  Muhasabahlah “ Adakah kita benar-benar sudah menjunjung syariat di tempat yang kita pijak sekarang ini?”

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam