Jubah

Jubah

Tuesday, September 30, 2014

NASIHAT DAN TEGURAN: SEDANGKAN NABI MUHAMMAD S.A.W PUN DINASIHATI

NASIHAT DAN TEGURAN:
SEDANGKAN NABI MUHAMMAD S.A.W PUN DINASIHATI
PENDAHULUAN

Nasihat dan teguran adalah salah satu medium yang terbaik dalam memastikan dan mengingatkan orang-orang yang kita sayangi benar-benar berada di atas jalan yang benar.

Seperti yang kita sedia maklum bahawa agama itu adalah nasihat. Nasihat ke arah kebaikan dan meninggalkan segala larangan.

Seabagi individu muslim, kita perlu bersedia menerima nasihat dan teguran. Tujuannya apa? Adalah untuk memastikan kita berada di atas jalan yang betul.

Kadang-kadang kita tidak nampak kesalahan atau kekurangan kita, tetapi orang lain nampak. Dan setiap nasihat itu perlu diambil dan dipandang secara positif.

Dan belajarlah untuk menerima teguran dan kritikan. Jika ia benar, maka manfaatkanlah ia untuk memperbaiki diri. Tetapi jika ia salah, maka jadikanlah ia sebagai ‘amaran’ agar kita tidak terjebak  ke dalam perkara tersebut.

Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w sendiri pun dinasihati oleh Allah s.w.t, inikan pula kita sebagai umatnya yang daif.

Allah s.w.t berfirman:

Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(Surah al-Ahzaab:1)

Adakah Nabi Muhammad s.a.w tidak bertaqwa atau lupa untuk bertaqwa? Sudah tentu tidak sama sekali. Allah inginkan NabiNya tetap berterusan dalam bertaqwa.

Maka adakah kita ingin terus ego atau sombong jika dinasihati?

NASIHAT NABI MUHAMMAD S.A.W UNTUK UMATNYA

"(Tugasku) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku, serta aku memberi nasihatkepada kamu, sedang aku mengetahui (melalui wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.
(Surah al-Aa’raf:62)

Inilah tugas para Rasul dalam menyampaikan wahyu Allah s.w.t. Kita dinasihati, kita ditegur kita dilarang, kita dicegah, oleh Allah dan RasulNya adalah kerana apa? Kerana untuk memastikan segala tindak tanduk kita tidak tersalah dan tidak terkeluar dari syariat Islam.

Maka apa yang ditegur dan dinasihati itu, adakah kita ingin terus ego dan bongkak menolaknya? Allah dan Rsul menegur dan menasihati kita ke arah kemaarufan dan ketaatan, apakah kita memilih untuk menolaknya secara bulat-bulat?

 Maka bermuhasabahlah kita dalam memastikan nasihat dan teguran yang disampaikan oleh Allah dan RasulNya diterima dan ditaati dengan baik.

NASIHAT DAN TEGURAN MANUSIA: DIPANDANG POSITIF
Pernahkah kita ditegur dan dinasihati oleh mana-mana individu? Sudah tentu pernah. Akan tetapi bagaimana cara kita merespon terhadap teguran dan nasihat tersebut?

Adakah menerima dengan hati terbuka dan fikiran positif? Atau kita melenting tak tentu hala? Hakikatnya melenting adalah keadaan yang selalu kita lihat. Bak kata pepatah, pantang ditegur, terus melenting.

Sedangkan pada hakikatnya kita dalam bermasyarakat khususnya dalam kelompok muslimin, teguran dan nasihat itu sangat penting. Kerana itu akan menentukan kita bagaimana kita kelak.

Maka terimalah setiap nasihat dan teguran itu dengan pandangan yang positif dan menerimanya kerana Allah s.w.t.


AL-QURAN SEBAGAI PENASIHAT YANG TERBAIK

Maka kembalilah kita kepada al-Quran dalam memastikan kehidupan kita benar-benar di atas jalan syariat Islam.

Al-Quran adalah penasihat yang terbaik dalam kehidupan kita. Menasihati umat manusia agar sentiasa berwaspada terhadap pancaroba dunia ini.

Allah s.w.t berfirman:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
(Surah Yunus: 57)

Jelas pada ayat ini bahawa al-Quran itu adalah nasihat pengajaran dari Allah s.w.t. Dan ia juga merupakan penawar bagi penyakit-penyakit batin. Dan ia juga menjadi hidayah dan petunjuk kepada manusia, dan yang terakhir ia membawa rahmat buat orang beriman.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Belajarlah untuk menerima teguran dan nasihat demi kebaikan diri sendiri.

2.      Taatilah segala nasihat yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

3.      Pandanglah nasihat dan teguran manusia dari sudut positif.

4.    Jadikanlah al-Quran sebagai penasihat utama dalam kehidupan kita jika kita benar-benar ingin berjaya dunia dan akhirat.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallahualam

Monday, September 29, 2014

KORBAN DAN TAAT

KORBAN DAN TAAT
PENDAHULUAN

Pada tanggal 10 Zulhijjah 1435 bersamaan 05 Oktober 2014, adalah merupakan hari raya Aidil Adha. Hari raya bagi umat Islam selain Hari Raya Aidil Fitri.

Aidil Adha seperti yang kita sedia maklum adalah hari raya korban di mana umat Islam akan mengorbankan haiwan ternakan sebagai tanda ketaatan kepada Allah s.w.t.

Apabila kita bicara tentang korban dan taat, apakah yang kita faham tentang kedua-dua perkataan tersebut?

Apakah yang perlu dikorbankan dan apakah ketaatannya? Apakah kaitan antara keduanya?

Sebagai individu Muslim, apakah kita sudah korbankan sesuatu kerana Allah s.w.t? Korbankan sesuatu untuk Islam?

Dan adakah kita sudah cukup taat kepada Allah s.w.t terhadap setiap perkara yang kita korbankan?
Ada orang yang korbankan sesuatu bukan kerana Allah s.w.t. Tetapi kerana nama dan populariti. Dan ini adalah suatu yang merugikan diri sendiri.

Apa gunanya korban bukan kerana Allah?

(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.
(Surah ali-Imraan:17)

Maka taatilah Allah terhadap segala perintahNya. Berusaha kita mencari redha Allah dalam ketaatan yang sepenuhnya.

KORBANKAN APA YANG DIMILIKI KERANA ALLAH

Kisah kesanggupan Nabi Ibrahim a.s. untuk mengorbankan anaknya semata-mata kerana Allah, adalah bukti yang sangat hebat bagi seorang hamba terhadap ketaatannya kepada Allah s.w.t.

Bagaimana pula dengan kita? Sanggupkah kita korbankan sesuatu yang kita sayangi dan cintai kerana Allah s.w.t?

Seperti kisah Qabil dan Habil yang diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk mempersembahkan korban mereka, dan pada akhirnya Allah s.w.t menerima korban Habil kerana ia adalah ikhlas kerana Allah s.w.t.

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;
(Surah al-Maidah:27)

KORBAN DAN SEDEKAH

"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.
(Surah al-Hajj:28)

Setiap korban yang kita lakukan maka sedekahkanlah ia kepada fakir miskin. Tujuannya adalah bagi mengingati kita yang senang ini untuk membantu yang susah.

Dan pastikan sedekah itu adalah kerana Allah s.w.t bukan kerana manusia.

KETAATAN DALAM PENGORBANAN

Allah s.w.t amat cintakan orang yang taat kepadaNya. Orang yang sanggup korbankan sesuatu keranaNya.

Seperti manusia juga jika kita cintakan seseorang, sudah tentu kita sanggup korbankan apa jua demi memastikan orang yang dicintai itu membalas cinta kita.

Maka pengorbanan yang bagaimanakah lagi yang dapat kita persembahkan kepada Allah s.w.t agar Allah menyayangi kita?

Maka bermuhasabahlah kita dalam menilai kembali. Sudah cukup taatkah kita dengan Allah dan sudah banyakkah kita korbankan apa yang dimiliki kerna Allah dan Islam?

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Jadikanlah setiap korban yang kita laksanakan adalah kerana Allah s.w.t.

2.      Perbanyakkan sedekah kepada fakir miskin jika redha Allah itu yang sedang kita cari.

3.      Taatlah Allah dan berusahalah meraih cintaNya jika syurga menjadi idaman kita.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam


Sunday, September 28, 2014

MEMBENTUK JEMAAH YANG PROGRESIF

MEMBENTUK JEMAAH YANG PROGRESIF
PENDAHULUAN

Apakah yang dikatakan jemaah yang progresif? Siapakah golongan jemaah ini? Bagaimanakah mereka bertindak?

Dari sumber kekuatan manakah mereka menjadi golongan yang progresif? Siapakah idola mereka dalam membentuk jemaah yang progresif?

Persoalan-persoalan ini akan sama-sama kita bincangkan di dalam tazkirah kali ini. Dalam usaha kita membentuk jemaah yang progresif yang patuh shariah, maka kita perlu menilai kembali prestasi diri kita seiring dengan status kita sebagai Muslim.

Selain itu, kita juga dituntut untuk bersabar dalam perjuangan dalam berjemaah, kerana jelas pada hakikatnya bahawa kejayaan itu hadir dengan diiringi kesabaran.

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).
(Surah ali-Imraan:200)

Jelas bahawa orang yang sabar itu dikurniakan kejayaan. Persoalannya adakah kita ini jemaah yang sabar? Adakah kita ini jemaah yang sentiasa bersedia menghadapi kesukaran secara bersama dalam mengerjakan kebajikan dan kebaikan?

Maka dalam usaha untuk membentuk jemaah yang progresif, perkara pertama adalah dengan sentiasa bersedia penuh sabar terhadap segala ujian yang bakal mendatang.

Gagal bersabar, maka matlamat yang ingin dicapai juga akan gagal. Jika tidak sabar dan tenang, sudah pasti jemaah kita akan huru-hara dan kacau bilau.

Pernahkah kita terfikir bagaimana baginda Rasulullah s.a.w membentuk jemaah yang kuat dan progresif?

JEMAAH PROGRESIF: BERPEGANG PADA TALI ALLAH

Dalam usaha menjadi jemaah yang progresif, maka apakah kriteria sesebuah jemaah tersebut? Sudah tentu yang paling utama adalah jemaah yang sentiasa berpegang pada tali Allah s.w.t.

Setiap ahli jemaah memegang erat tali yang sama, kemudian membentuk kekuatan yang luar biasa, dan menyusuri laluan kehidupan yang berliku dan penuh pancaroba, maka penamatnya sudah tentu kemenangan dunia dan juga kemenangan akhirat.

Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang.
(Surah al-Maidah:56)

Jelas pada ayat ini bahawa orang atau jemaah yang meletakkan Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman sebagai penolong, dan berdiri teguh di atas agama Allah, maka dia atau mereka adalah orang yang menang.

JEMAAH PROGRESIF: TOLONG MENOLONG KE ARAH KEBAIKAN

Jemaah yang progresif juga adalah yang memiliki ahli yang sentiasa tolong-menolong di antara satu sama lain.

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
(Surah al-Maaidah:2)

Jelas bagi kita bahawa jemaah yang gagal adalah jemaah yang tidak membantu ke arah kebaikan, malah membantu ke arah kejahatan dan kemaksiatan.

Adakah jemaah ini yang kita inginkan dalam organisasi kita? Tugas kita sebagai ahli jemaah adalah sentiasa mengingatkan sesama ahli akan tujuan sebenar dan mengingatkan juga segala perkara berkaitan dengan syariat.

JEMAAH PROGRESIF: AKHIRAT MATLAMAT UTAMA

Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa akhirat menjadi matlamat dan tujuannya, maka Allah menjadikan semua urusannya lancar, hatinya kaya dan dunia datang kepadanya dalam keadaan tunduk. Dan, barangsiapa dunia menjadi tujuan dan tumpuannya, maka Allah mengacaukan semua urusannya, menjadikannya miskin dan dunia datang kepadanya sebatas yang ditakdirkan untuknya.” Ibnu Majah meriwayatkan dengan sanad shahih

Jelas bahawa jemaah yang meletakkan akhirat menjadi keutamaannya, maka segala urusannya akan menjadi baik dan beroleh kekayaan pada hatinya.

Dan jemaah yang meletakkan dunia sebagai matlamatnya, maka urusannya akan huru-hara, dan kemiskinan akan dicampakkan pada dirinya baik miskin harta dan juga miskin akhlak.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Berusahalah kita dalam membentuk jemaah yang progresif dengan memegang tali agama.

2.      Sentiasalah menajdi jemaah yang bertolong-tolongan ke arah kebaikan.

3.   Jadikanlah akhirat sebagai matlamat utama jemaah jika kita ingin menempa kejayaan dunia dan kejayaan akhirat.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallahualam

Tuesday, September 23, 2014

MANUSIA DISEMPURNAKAN DENGAN 4 PERBEZAAN

MANUSIA DISEMPURNAKAN DENGAN 4 PERBEZAAN
PENDAHULUAN

Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.
(Surah al-ISraa’:70)

Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang mulianya anak cucu Adam. Dan pelbagai kelebihan-kelebihan yang diberikan kepada umat manusia.

Dan kelebihan-kelebihan inilah yang menjadikan tamadun manusia begitu sempurna.

Dan kita tahu bahawa setiap kita mempunyai pelbagai perbezaan, dan perbezaan itulah yang membuatkan kita saling melengkapi antara satu sama lain.

Ibarat dua tangan yang apabila digenggam bersama-sama, maka tiada lagi ruang yang dapat dimasukkan.

Maka apakah perbezaan itu yang membuatkan kita saling melengkapi di antara satu sama lain? Hebatnya Allah s.w.t dalam menjadikan manusia itu berbilang bangsa dan berbilang kaum, dan tiadalah manusia itu dijadikan melainkan untuk berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Surah al-Hujuraat:13)

Maka apalah perbezaan tersebut?

PENGALAMAN YANG PELBAGAI DAN BERHARGA


Perbezaan pertama adalah pengalaman. Kita semua masing-masing mempunyai pelbagai pengalaman yang tersendiri.

Pengalaman dalam kehidupan, kerjaya, dan sebagainya inilah yang membezakan kita. Akan tetapi perbezaan ini, jika ia dimanfaatkan bersama maka ia akan menghasilkan sebuah perhubungan yang sempurna.

Sebagai contoh ada orang pengalaman hidup yang tidak baik, maka ia kongsikan pengalamannya itu dengan menasihati orang lain agar tidak menjadi sepertinya.

Ada orang yang pengalamannya baik, maka ia kongsikan pada orang lain dengan memberi motivasi dan nasihat yang bernas.

Maka inilah yang melengkapi kita sebagai umat manusia. Jangan berlaku sombong kerna kita semua mempunyai cerita masing-masing.

ILMU PENGETAHUAN YANG LUAS


Kita juga berbeda dari segi ilmu pengetahuan. Lihat sahaja disekeliling kita. Banyak ilmu yang terdapat pada individu di sekeliling kita.

Ada yang mempunyai kepakaran dalam perniagaan, pengurusan, hukum-hakam agama, komunikasi dan sebagainya. Maka bukankah ini yang menyempurnakan kita sebagai umat manusia.

Dengan ilmu yang berbeda, maka kita salaing menghormati antara satu sama lain, dan ilmu ini jika dikongsikan maka kita mampu membina tamadun manusia yang hebat ilmunya.

LATAR BELAKANG KEHIDUPAN


Dan seterusnya kita berbeda dari segi latar belakang. Baik latar belakang keluarga mahupun keturunan.

Dengan berbedanya latar belakang ini, kita dapat memahami antara satu sama lain. Berbeda dari segi adat dan juga corak kehidupan.

Di Malaysia sahaja mempunyai banyak adat. Adat pepatih dan sebagainya. Dan latar belakang inilah yang menjadikan kita untuk saling kenal-mengenal lebih dekat.

Selain itu, latar belakang kehidupan dari sudut harta benda juga membedakan. Bagi yang kaya sudah pasti akan membantu yang miskin. Bagi yang mempunyai harta, sudah pasti dia akan kongsikan bersama dengan orang yang susah.

Dalam Islam sendiri kita dituntut untuk memperbanyakkan sedekah dan membayar zakat. Bukankah itu tanda Islam mengajar kita untuk melengkapi antara satu sama lain?

PERASAAN YANG BERBEZA: PENGIKAT HUBUNGAN


Dan yang terakhir adalah perbezaan kita dari sudut perasaan. Masing-masing kita punyai perasaan yang berbeza. Perasaan sedih, gembira, kecewa, taajub, dan sebagainya.

Seabgai contoh jika seseorang dalam kesedihan, maka akan ada seseorang yang lain datang memujuk dan memberi sokongan padanya untuk terus tabah.

Seseorang yang kuat perasaan motivasinya, dia akan kongsikan dengan individu lain yang sedang rasa tertewas.

Seseorang yang sentiasa gembira, pasti akan kongsikan bagaimana untuk tidak menjadi sedih dan duka.

Itulah namanya kehidupan. Dan Islam hadir mengajak manusia untuk sentiasa bertolong-tolongan antara satu sama lain dalam kebaikan.

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
(Surah al-Maidah:3)


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.  Sesungguhnya manusia itu disempurnakan dengan 4 perbezaan, maka manfaatkanlah ia dalam kehidupan kita.

2.     Kita dijadikan untuk berkenal-kenalan antara satu sama lain, maka berkenal-kenallah kearah kebaikan dan ketaqwaan.

3.     Islam hadir dengan menjadikan manusia itu saling melengkapi antara satu sama lain.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam