Jubah

Jubah

Tuesday, December 16, 2014

TERIMA KASIH TUHAN

TERIMA KASIH TUHAN
PENDAHULUAN

Setiap hari kita diberi nikmat oleh Allah s.w.t. Baik nikmat kehidupan, nikmat Islam, nikmat Iman serta pelbagai nikmat yang diberikan.

Tidaklah nikmat yang diberikan itu melainkan hanya untuk mendidik kita menjadi hamba yang bersyukur.

Adakah kita ini selalu bersyukur? Bagaimanakah kita mengucapkan syukur? Adakah cukup sekadar dengan melafazkan syukur pada lidah?

Sudah tentu di antara kita ini benar-benar syukur akan nikmatnya adalah dengan sentiasa memastikan diri kita ini benar-benar mematuhi segala suruhan dan laranganNya.

Jika sebelum ini kita sakit, kita mengadu pada Allah.. Ya Allah jika aku sihat, aku akan memperbanyakkan amal ibadah kepadaMu. Akan solat dengan benar-benar solat, aku akan puasa dengan sebenar-benar puasa.

Segala suruhan dan laranganMu akan aku patuhi. Tetapi malangnya apabila kita kembali sihat, kita gagal untuk melaksanakan kesemua itu.

Persoalannya mengapa? Tidakkkah kita mahu menzahirkan rasa berterima kasih kita kepada Allah s.w.t?

Jangan kita menjadi seperti orang munafik. Kerana apa? Allah s.w.t berfirman:

Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: "Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja".
(Surah al-Ahzaab:12)

LAGI BERSYUKUR LAGI BERTAMBAH NIKMAT

Lupakah kita bahawa Allah s.w.t pernah berfirman:

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
(Surah Ibrahim:7)

Jelas pada ayat ini, makin kita bersyukur makin kita berterima kasih pada Allah s.w.t, maka akan bertambahlah nikmatNya kepada kita.

Bukankah kita sedang berusaha mencari rezeki dalam kehidupan kita? Menambah pendapatan buat perniagaan yang sedang kita jalankan ini?

Apa yang kita dapat kita syukuri. Jangan kita mengkufuri atau mengeluh terhadapNya. Kerana berdasarkana ayat tadi jelas bahawa Allah s.w.t tidak suka kepada orang yang tidak mensyukuri nikmatNya.

Seperti kita juga. Jika kita memberi sesuatu kepada seseorang dan orang tersebut tidak berterima kasih, malah maki hamun kita atau membuka aib kita, sudah tentu kita akan berasa marah dan kecewa.

Begitu jugalah dengan Allah s.w.t. Tidak suka akan orang mengkufuri nikmatNya. Jika kita kufuri nikmat, nescaya azab yang disediakan sangatlah pedih.

BUKTIKAN TERIMA KASIH DENGAN CINTA

Sudah tentu tanda kita benar-benar buktikan tanda terima kasih kita adalah dengan menanamkan perasaan kasih dan sayang kepadaNya.

Bagaimana? Iaitu dengan sentiasa bermuhasabah keadaan kita sekarang ini. Pelbagai nikmat yang diberikan.

Hanya tinggal untuk kita benar-benar patuh pada Allah s.w.t dan RasulNya. Baginda Rasulullah s.a.w orang yang paling hebat. Diberi kemuliaan oleh Allah s.w.t.

Malah bagindalah orang yang paling hebat tanda syukurnya kepada Allah s.w.t. Bagaimana pula dengan kita?

Adakah kita ingin terus begini, menerima nikmat dari Allah kemudian terus menerus membuat sesuatu yang tidak disukai olehNya atau kita menjadikan hari-hari kita mulai pada hari ini dengan kita menjadikan diri kita hamba yang benar-benar berysukur melalui ketaatan yang sebenar-benar taat padaNya.

Oleh demikian, ambillah peluang ketika ini untuk kita sama-sama merenung kembali nikmat yang diberikan oleh Allah s.w.t. Ingat,syukur dan taat kepadaNya.

PENTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Sentiasalah mensyukuri nikmat dariNya jika kita ini benar-benar hambaNya.

2.      Taat dan patuh segala suruhan dan laranganNya jika kita ini benar-benar bersyukur.

3.      Buktikan terima kasih kita ini dengan menanamkan perasaan kasih dan sayang kepada Allah s.w.t kerana dariNya kita mendapat sesuatu.

4.      Bermuhasabahlah “ Adakah aku sudah berterima kasih kepadaNya atau tidak?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallahualam

No comments:

Post a Comment