Jubah

Jubah

Thursday, December 18, 2014

BAHAYA MENENTANG AYAT-AYAT ALLAH

BAHAYA MENENTANG AYAT-AYAT ALLAH
PENDAHULUAN

Dan orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan Kami sambil menyangka dapat melepaskan diri (dari hukuman Kami), mereka itu akan berada di dalam azab seksa.
(Surah as-Saba’:38)

Dalam kita menyusuri kehidupan kita, sudah tentu kita tidak dapat lari dari segala perkara berkaitan dengan hukum-hakam yang telah ditetapkan.

Ayat-ayat Allah yang menerangkan tentang sesuatu hukum adalah menjadi pedoman dan panduan yang wajib untuk ditaati oleh kita sebagai hambaNya walau di mana kita berada.

Ayat di atas jelas menerangkan kepada kita bahawa jika kita berusaha menentang atau membatalkan ayat-ayat keterangan Allah s.w.t maka hukuman yang berat sedia menanti.

Apakah kita ini tergolong dikalangan orang-orang yang menentang ayat-ayat Allah s.w.t? Menafikan segala hal berkaitan hukum yang diterangkan juga oleh baginda Rasulullah s.a.w?

Maka bermuhasabahlah kita. Kita ini mungkin nakal tetapi nakal kita ini jangan sampai menafikan atau menentang ayat-ayat Allah s.w.t.

Apa yang disuruh kita taat melakukannya, apa yang dilarang kita segera meninggalkannya dan menjauhkannya.

Jika keselematan dunia kita cari, dan sentiasa dimurahkan rezeki maka jangan sesekali kita membelakangi ayat-ayat Allah s.w.t.

Ayat-ayat Allah s.w.t bukan sekadar dibaca, malah ditaati akan segala suruhan dan laranganNya.


MAAF, TIDAK DAPAT MEMBANTU

Di akhirat kelak, kita tidak akan dibantu oleh kawan-kawan kita. Allah s.w.t berfirman:

Maka pada hari ini, masing-masing di antara kamu tidak berkuasa memberi sebarang manfaat kepada kawannya, dan tidak pula dapat menolak sesuatu bahaya daripadanya; dan Kami katakan kepada orang-orang yang zalim (yang berlaku syirik) itu: "Rasalah azab neraka yang kamu dahulu mendustakannya".
(Surah Saba’:42)

Jelas pada ayat ini bahawa tiada kawan yang dapat memberi manfaat kepada kita. Kita hanya berhadapan secara sendirian. Jika kita dahulunya di dunia mendustakan keterangan Allah dan menafikan akan wujudnya seksaan dan azab, maka kita akan dapat merasainya di akhirat kelak.

Maka renung-renungkanlah kembali jika ada ayat-ayat Allah yang kita sedang menafikannya. Apakah masih ada perkara yang salah atau haram atau yang berdosa yang masih kita lakukan jika kita benar-benar ingin selamat di akhirat kelak.

AZAB YANG TIDAK DAPAT DIELAK

Dan (sungguh ngeri) jika engkau melihat (keadaan orang-orang yang bersalah itu) ketika mereka gelisah takut (menyaksikan azabnya) serta mereka tidak mendapat jalan mengelaknya, dan mereka pun diambil dari tempat mereka berada (untuk dibawa ke tempat azab).
(Surah Saba’:51)

Jelas pada ayat ini bahawa orang-orang yang bersalah itu tidak dapat mengelak dari dikenakan azab.

Elak macam mana pun dia akan tetap dibawa ke tempat yang telah disediakan untuknya. Maka kita sebagai mukmin yang benar-benar beriman dengan Allah dan RasulNya, perlu memastikan apa yang kita lakukan didunia ini adalah mengikut syariat Allah s.w.t.

Jangan sampai kita tidak sempat bertaubat, kita rugi di akhirat kelak. Adapaun tazkirah ini dikongsikan adalah bagi mengingatkan kita peranan kita sebagai seorang muslim, dan bermuhasabah kembali agar memastikan laluan kehidupan kita benar-benar patuh shariah.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Elakkanlah dari menentang ayat-ayat Allah jika kita ini benar-benar beriman.

2.      Al-Quran bukan sekadar dibaca malah ditaati dan dipatuhi akan segala suruhan dan laranganNya.

3.    Azab Allah itu amat keras. Tiada siapa yang dapat mengelak darinya jika kita ini tergolong dikalangan orang yang bersalah. Nauzubillah.

4.      Bermuhasabahlah “Adakah masih ada ayat-ayat Allah yang kita masih tentang terhadapnya?

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam


No comments:

Post a Comment