Jubah

Jubah

Tuesday, December 9, 2014

IKRAR SANG MUKMIN

IKRAR SANG MUKMIN
PENDAHULUAN

Setiap hari Allah s.w.t beri peluang kepada kita untuk masih bernafas dan meneruskan kehidupan. Nikmat kesihatan dan kehidupan adalah salah satu nikmat yang sangat besar.

Malah setiap hari juga Allah kurniakan nikmat kepada kita. Atas tujuan apa? Sudah tentu untuk kita sentiasa ingat kepadaNya.

Ingat kepada Allah dalam setiap keadaan baik ketika berdiri, duduk, baring, bekerja, tidur, makan dan sebagainya.

Ingat kepada Allah s.w.t selalu adalah satu kewajipan bagi setiap jiwa yang bergelar manusia. Kerana dari Dia kita datang, kepada Dia kita akan kembali kelak.

Maka tanggungjawab kita apabila kita mengingatiNya kita kena juga mentaati segala apa suruhanNya.

Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.
(Surah Hud:115)

Jelas pada ayat ini bahawa kita dituntut untuk sentiasa bersabar dengan suruhan Allah s.w.t dan sudah tentu Allah tidak akan menghilangkan pahala-pahala orang yang berbuat kebaikan.

Apakah kebaikannya itu? Bermacam-macam kebaikan yang kita boleh buat. Maka kejarlah kebaikan, dan tinggalkanlah segala kejahatan, kemungkaran hanya kerana Allah s.w.t.

Memanfaatkan nikmat dengan melakukan kebaikan. Kesihatan yang diberikan digunakan untuk meningkatkan ubudiyaah(pengabdiaan) kita kepada Allah s.w.t dan sebagainya.

Waktu lapang, ambil peluang untuk menuntut ilmu agama, mendalami ilmu pengetahuan yang masih belum kita jejaki terutamanya dalam baba agama. Dengan agama kita akan selamat.

IKRAR UNTUK TAAT

Seperti kita di dalam sesebuah organisasi, setiap pekerja perlu memberi ikrar kepada organisasinya iaitu dengan ikrar untuk bekerja bersungguh-sungguh, penuh dedikasi, bekerjasama dalam setiap tugasan yang diberikan, menjaga nama baik syarikat, memastikan kepuasan pelanggan terjamin dan sebagainya.

Dan bagi orang mukmin, ikrar kita dalam organisasi boleh diaplikasikan melalui doa. Doa dan ikrar disatukan dalam doa yang seeloknya dibaca pada setiap kali mesyuarat harian.

 Begitulah juga kita dengan Allah s.w.t. Ikrar kita dengan Allah adalah untuk taat akan perintah dan laranganNya.

Apa yang dihalalkan kita ikut, apa yang diharamkan kita tinggalkan. Allah s.w.t berfirman:

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengansuruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.
(Surah al-Nahl:90)

BERSYUKUR: IKRAR SANG MUKMIN

Selain kita berikrar untuk mentaati perintah Allah s.w.t, kita perlu juga perlu berikrar untuk sentiasa bersyukur terhadap segala kurniaan Allah s.w.t.

Adakalanya Allah tidak berikan nikmat untuk kita pada hari itu, atas sebab untuk kita berfikir kembali dan ingat kepadaNya.

Sesungguhnya Allah s.w.t tahu akan keadaan hambaNya. Jika ketika diberi nikmat, tidak juga ingat padaNya, maka sudah tentu Allah akan ubah keadaan kita ke arah yang lebih dhaif.

Tujuannya adalah untuk kita ingat kembali kepadaNya. Maka sentiasalah kita bersyukur di atas kurniaan nikmat yang diberikan olehNya.

Jangan lupa Allah kerana dariNya rezeki kita datang, dariNya kita dapat nikmat, dariNyalah kita berpeluang menikmati kehidupan yang serba baik, dan dariNyalah kita akan dapat mencapai kejayaan yang akan datang.

Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak).
(Surah an-Nisaa’:174)

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Sentiasalah kita patuh akan ikrar kita untuk taat setia terhadap suruhan dan larangan Allah s.w.t.

2.      Bersungguh-sungguhlah dalam membuat amal kebaikan khususnya dalam membawa organisasi ke arah landasan syariat kerana ganjaran pahala yang diberikan.

3.      Sentiasalah bersyukur di atas segala kurniaan nikmat dariNya.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam

No comments:

Post a Comment