Jubah

Jubah

Thursday, December 4, 2014

MENCARI RAHMAT, MENGEJAR BERKAT

MENCARI RAHMAT, MENGEJAR BERKAT
PENDAHULUAN

Dalam kita menyusuri perniagaan kita di arus perdana ini, sudah tentu apa yang kita cari adalah keuntungan yang diberkati.

Hakikatnya kini ramai orang yang mula sedar akan pentingnya rezeki yang diberkati ini. Dan ramai yang setia dalam sesebuah organisasi kerana perniagaan yang dijalankan itu adalah perniagaan yang bersih dan baik.

Begitulah juga kita yang ketika ini sedang membawa hala tuju perniagaan kita ke arah keuntungan yang berkat.

Perniagaan yang diturunkan rahmat, akan membawa berkat pada keuntungannya. Dan persoalaanya siapakah golongan yang akan mendapat rahmat Allah tersebut?

Perniagaan yang bagaimanakah akan diturunkan rahmat padanya seterusnya membawa rezeki yang berkat?

Allah s.w.t berfirman:

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
(Surah al-Baqarah:157)

Jelas pada ayat ini bahawa Allah s.w.t akan memberi limpah rahmatNya kepada orang-orang yang diberi petunjuk hidayahNya.

Kita kena tahu bahawa pentingnya untuk kita tergolong dikalangan orang yang diberi hidayah. Kenapa? Kerana jika kita diberi hidayah, sudah tentu kita akan dipimpin ke arah jalan yang benar.

Itulah yang kita inginkan sebenarnya di dalam kehidupan kita. Kalau kita perhatikan orang yang berubah, hatinya tenang. Cara berfikirnya menjadi lebih hebat disebabkan ketenangan yang diperolehi.

HIJRAH DAN BERJUANG KERANA RAHMAT

Kenapa perlu untuk kita hijrahkan diri kita kerana Allah? Kenapa kita perlu berjuang kerana Allah? Sudah tentu kerana rahmat. Allah s.w.t berfirman:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah al-Baqarah:218)

Jadi jelas pada ayat ini bahawa orang yang beriman, orang yang berhijrah dan orang yang berjuang itu, apa yang mereka harapkan adalah rahmat Allah s.w.t

Tanpa rahmat hidup akan kucar-kacir. Setiap urusan menjadi serba tidak kena. Kita juga akan cepat marah, panas baran terhadap isu-isu kecil.

Hilang rasa malu dan hormat terhadap orang disekeliling. Itu tandanya rahmat Allah mula hilang. Rahmat hilang apabila kita tidak lagi menjadikan Allah s.w.t sebagai matlamat utama.

MENEGAKKAN SYARIAT BEROLEH RAHMAT

Benarkah jika kita menegakkan syariat, kita akan beroleh rahmat? Allah s.w.t berfirman:

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.
(Surah ali-Imraan:132)

Jika kita benar-benar taat pada Allah dan RasulNya, maka kita sudah pasti akan beroleh rahmat. Ini adalah firman dari Allah s.w.t yang boleh kita ambil iktibar.

Jika kita memastikan kehidupan kita berlandaskan syariat Allah, maka sudah tentu rahmat akan diberikan.

Tanda rahmat diberikan apabila kerja yang dilakukan menjadi lebih baik, hubungan menjadi lebih erat sesame ahli, dan sebagainya.

Maka marilah kita sama-sama membawa diri kita ke arah yang lebih baik dan luar biasa dengan menjadikan perniagaan dan kehidupan kita ini benar-benar patuh shariah.

Tiadalah apa yng kita harapkan lagi melainkan rahmat dari Allah dalam kehidupan, seterusnya peroleh rezeki yang berkat buat kita semua.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Berusahalah mencari rahmat Allah dalam perniagaan, agar rezeki yang diperolehi berkat.

2.      Patuh pada syariat, mendekatkan kita pada rahmat.

3.    Apabila redha Allah menjadi tujuan utama, maka mudah untuk kita membawa kehidupan ke arah yang lebih baik.

4.      Apabila hilang rahmat dan tiada hidayah, kita akan tersesat.

5.      Bermuhasabahlah “ Adakah kehidupan kita ini masih mengikut syariat atau tidak?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam

No comments:

Post a Comment