Jubah

Jubah

Thursday, July 10, 2014

TAZKIRAH RAMADHAN 6: PERINGATAN ATAU TIDAK, MEREKA TETAP TIDAK AKAN BERIMAN

TAZKIRAH RAMADHAN 6
PERINGATAN ATAU TIDAK, MEREKA TETAP TIDAK AKAN BERIMAN
PENDAHULUAN
Allah s.w.t berfirman:
Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).
(Surah Yaasiin:9)

Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang golongan yang tidak nampak akan jalan yang benar. Mereka ini disibukkan dengan dengan hal-hal dunia sehinggakan mereka tidak nampak akan keburukannya.

Dan mereka ini juga tidak nampak azab yang akan bakal menimpa mereka. Dan itulah sekatan bagi orang-orang yang memilih untuk tidak beriman kepada Allah.

Persoalannya, adakah kita tergolong di dalam golongan ini?Cuba perhatikan adakah kita sedang tamak dan gila kepada harta benda dan pangkat?

Jika ya, sudah pasti kita tidak akan merasa betapa singkatnya dunia ini. Maka berawasilah kita segera.

TETAP TIDAK BERIMAN

Orang yang terus-menerus mengejar dunia, sudah pasti dia akan menolak segala peringatan yang menghalang tujuannya itu.

Allah s.w.t berfirman:
Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya - mereka tidak akan beriman.
(Surah Yaasiin:10)

Maka adakah kita tergolong orang-orang yang menolak segala peringatan dan amaran? Jika kita membiarkan diri kita terlalu cintakan dunia, maka segala peringatan dan amaran kita akan tolak.

Maka berhati-hatilah kita. Jangan kerana dunia, peringatan ditolak. Apabila peringatan ditolak, maka sahlah kita bukan lagi orang yang beriman.

SIAPAKAH YANG BERKESAN MENERIMA PERINGATAN?

Allah s.w.t berfirman:
Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.
(Surah Yaasiin: 11)

Maka jelaslah peringatan itu hanya berkesan kepada orang yang benar-benar bersedia menuruti ajaran al-Quran dan dia takut akan untuk melanggar perintah Allah s.w.t samada ketika ia tidak dilihat orang mahupun ketika tidak melihat azab Allah s.w.t.

Maka bagaimanakah kita? Adakah ketika ini kita benar-benar taat pada segala peringatan dan amaran dari Allah s.w.t?

Jika tidak, maka kita sedang berada di ambang kebinasaan. Kebinasaan dunia dan juga akhirat.

RAMADHAN MEMBUKA PINTU TAUBAT

Ayuh kita jadikan Ramadhan kita kali ini sebagai peluang untuk kita mendengar kembali segala peringatan dan amaran dari Allah s.w.t.

Perhatikanlah ayat-ayat di dalam al-Quran dan memahamilah dengan sebaik mungkin. Kenapa kita dituntut utamakan akhirat berbanding dunia?

Kerana akhirat adalah tempat tinggal yang kekal.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Jangan jadikan dunia sebagai sekatan yang menghalang kita dari mendapat balasan yang baik di Akhirat kelak.

2.      Orang yang sibuk dengan dunia sudah pasti dia tidak akan menerima segala peringatan dan amaran.

3.      Orang yang menolak peringatan dan amaran, maka dia tidak lagi menjadi orang yang beriman.

4.      Peringatan dan amaran hanya berkesan kepada orang yang bersedia menurut ajaran al-Quran.

5.      Bermuhasabahlah “Adakah kita ini tergolong dari golongan yang menolak peringatan dan amaran dari Allah atau tidak? Jika ya, maka berawasilah. Ambillah peluang di bulan Ramadhan ini untuk memperbaiki diri.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallahualam 

No comments:

Post a Comment