Jubah

Jubah

Friday, July 4, 2014

TAZKIRAH RAMADHAN 4: PUASAKAN LIDAHMU

TAZKIRAH RAMADHAN 4
PUASAKAN LIDAHMU
PENDAHULUAN

Di dalam bulan Ramadhan, selain godaan makanan dan hawa nafsu, godaan lidah juga sangat membahayakan.

Ini kerana kadang-kadang kita cenderung untuk berkata-kata sesuatu yang tidak baik dimana kita telah terbiasa sebutkannya sebelum bulan Ramadhan.

Maka apakah datangnya Ramadhan ini kita masih tidak mampu memeliharanya? Sedangkan bulan Ramadhan itu adalah bulan untuk kita belajar mendisplinkan diri.

Apakah kata-kata buruk yang sering kita ungkapkan sebelum datangnya Ramadhan dan kita masih sebut-sebutkannya?

Apakah akibat buruk bagi orang yang masih tidak memelihara lidahnya? Dan apakah jalan yang terbaik sebenarnya bagi mendidik lidah agar tidak berkata-kata buruk dan dusta?

Maka artikel kali ini akan kongsikan beberapa pandangan dan perkongsian dari ayat-ayat al-Quran berkaitan dengan lidah.

Perlukan Ramadhan kita ini rosak dek kerana lidah? Jika ingin berkata-kata buruk, apakah jalan penyelesaian yang terbaik untuk memeliharanya khususnya kita sebagai umat Islam yang sedang berusaha untuk mencapai tahap keimanan yang tinggi?

BICARA YANG BURUK?

Ungkapan buruk kebiasaan yang sering kita dengar adalah seperti istilah-istilah mencarut di mana kita boleh lihat pada zaman sekarang ia adalah tampak biasa.

Mencarut adalah ‘lipstik’ bagi bibir bagi sebahagian umat Islam zaman sekarang. Pelbagai perkataan-perkataan yang tidak baik yang sering kita dengar.

Bangang, bahalol, celaka dan sebagainya. Dan kebiasaannya perkataan-perkataan sebeginilah yang boleh mencetuskan api permusuhan di kalangan umat Islam itu sendiri.

Jadi kenapa kita masih menyebut-nyebutnya walaupun di bulan Ramadhan? Dan kita tahu bahawa apabila kita puasa, bermakna kita puasa keseluruhannya.

Maka berawasilah kita dengan segala kata-kata yang buruk. Jika tidak mampu berkata-kata indah, maka diam adalah yang terbaik.

BICARA DUSTA?

Bicara yang paling bahaya juga adalah apabila kita bicara sesuatu yang dusta. Lebih parah apabila kita berdusta dengan ayat-ayat Allah s.w.t.

Dan mereka mengadakan bagi Allah apa yang mereka sendiri tidak menyukainya; dalam pada itu, lidah mereka memperkatakan perkara yang dusta, (kononnya) bahawa mereka akan beroleh kesudahan yang baik di sisi Allah. Tidak syak lagi, bahawa bagi merekalah api neraka, dan bahawa merekalah orang-orang yang disegerakan (masuknya ke dalam neraka).

(Surah al-Nahl:62)

Jelas bahawa jika kita memperkatakan sesuatu yang dusta maka pengakhirannya adalah di neraka Allah s.w.t.

Di bulan Ramadhan, jika kita masih berkata-kata dusta, maka kita sedang menzalimi diri kita sendiri.
Jika kita gagal mempuasakan lidah kita dari bicara sedemikian rupa, maka Ramadhan kita adalah Ramadhan yang gagal.

Malah jika kita membawa cerita yang dusta, maka bagi kita juga dosa yang besar. Allah s.w.t berfirman:

Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.

(Surah an-Nuur:15)

Maka masih tegarkah kita untuk meneruskan bicara yang dusta dan buruk? Maka bermuhasabahlah kita.

REHATKAN LIDAHMU DENGAN SENTIASA MEMUJI TUHAN

Maka setelah kita ketahui akan akibat bagi orang-orang yang bicara buruk dan dusta, maka apakah jalan penyelesaiannya yang terbaik?

Sudah tentu iaitu dengan cara merehatkannya dengan menyebut lafaz-lafaz yang toyyibah yakni kata-kata yang baik.

Dengan berkata-kata yang baik, maka kita terselamat dari berkata-kata yang buruk. Jangan rosakkan Ramadhan kita dengan perkara-perkara buruk yang pada hakikatnya kita mampu mengawalnya.
Bagaimana mengawalnya? Allah s.w.t berfirman:

Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.
(Surah as-Sajadah:15)

Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.
(Surah al-Muzzammil: 8)

Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar sembahyang), pada waktu pagi dan petang;
(Surah al-Insaan:25)

Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang (dengan khusyuk).
(Surah al-A’laa:15)

Jelas bagi kita semua bahawa ayat-ayat ini menerangkan kepada kita bagaimana kita dapat memanfaatkan lidah sebenarnya.

Kenapa lidah perlu bicara yang buruk sedangkan kita perlu sibukkannya dengan menyebut kalimah toyyibah dan zikrullah?

Maka bermuhasabahlah kita. Ambil manfaat di bulan Raamadhan ini. Jika ada yang mengajak kita untuk bicara yang buruk atau dusta, maka katakanlah ‘ Sesungguhnya aku sedang berpuasa’.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Peliharalah lidah dari bicara buruk dan dusta.

2.      Sesungguhnya lidah yang dusta bicaranya maka baginya tempat tinggal di neraka.

3.      Didiklah lidah kita ini di bulan Ramadhan dengan sentiasa berbicara yang baik.

4.      Ambillah peluang di bulan Ramadhan ini dengan membasahkan lidah dengan mengingati Allah s.w.t.

5.  Bermuhasabahlah “ Adakah aku masih ingin teruskan berkata-kata yang buruk atau aku ingin menajdikan Ramadhan ini sebagai peluang untuk aku mendisplinkan lidahku?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam


No comments:

Post a Comment