KEMENANGAN
DAN PERTOLONGAN DARI YANG MAHA HEBAT
PENDAHULUAN
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai
Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata,(1)
Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan
silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya
kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan
Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).(2)
Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk
mencapai kejayaan) dengan sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang
tidak ada bandingannya).(3)
(Surah
al-Fath:1-3)
Tazkirah
kali ini ingin membicarakan tentang sebuah kemenangan di mana kemenangan yang
menjadi idaman setiap mukmin.
Kemenangan
dalam setiap perjuangan. Perjuangan dalam membawa kehidupan dan perniagaan yang
boleh menjana keuntungan duniawi dan ukhrawi.
Maka
persoalannya, kemenangan yang bagaimanakah yang boleh kita usaha untuk
mencapainya? Atas laluan apa? Adakah terdapat model yang boleh kita contohi
dalam usaha mencapai kemenangan seperti yang diharapkan.
Kita
diberi akal untuk berfikir, diberi hati untuk mengimani, maka bagaimana lagi
dapat kita membuka laluan kemenangan jika tidak dengan melaksanakan perintah
Allah s.w.t?
KEMENANGAN
RASULULLAH S.A.W
Ketika
mana baginda Rasulullah s.a.w. diutuskan sebagai Rasul, sudah tentu objektif
dan matlamat baginda adalah memastikan manusia mentaati perintah Tuhannya.
Mengajak
manusia tunduk dan patuh pada Tuhan Yang Maha Esa. Dan apabila perjuangan itu
benar-benar dilakukan dengan bersungguh-sungguh, maka kita dapat melihat
hasilnya hingga sekarang.
Kemenangan
demi kemenangan yang diperolehi. Islam makin berkembang. Dan disebabkan
perjuangan itu, Allah ampunkan dosa terdahulu dan terkemudian, diberikan nikmat
rezeki, diberikan hidayah dan petunjuk jalan yang lurus, dan memudahkan jalan
untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t.
Baginda
Rasulullah s.a.w berjaya membuka empayar yang sangat besar. Matlamat yang jelas
dan baik, menjadikan laluan baginda untuk mencapai kemenangan itu mudah dan
diterima oleh seluruh umat manusia.
Justeru
itu, contoh sebegini boleh kita aplikasikan dalam kehidupan kita. Berjuang
dalam melaksanakan hukum Allah s.w.t dan seterusnya kita berjaya mencapai
kemenangan yang diidam-idamkan.
PERTOLONGAN
YANG MAHA HEBAT
Perlu
kita sedari akan bahawa kemenangan tidak akan tercapai tanpa melalui
pertolongan. Siapakah yang akan menolong kita untuk mencapai kemenangan
tersebut?
Adakah
kita mampu bergerak sendirian tanpa mendapat perolongan? Sudah tentu tidak.
Kita tetap memerlukan pertolongan dari Yang Maha Berkuasa.
Pertolongan
yang membolehkan sebuah perniagaan itu mendapat keuntungannnya, sebuah keluarga
mencapai kebahagiaannya, sebuah organisasi mencapai kejayaan dan
kecemerlangannya, sebuah negara yang mencapai kemananan dan kesejahteraan dan
sebagainya.
Maka
sudah tentu segala-galanya dari Allah s.w.t. Yang menurunkan rezeki dan nikmat,
yang menyuburkan bumi, yang memberi kelebihan dan kebaikan kepada orang yang
beriman terhadapNya.
Oleh
itu, berusahalah kita mendekatkan diri kepada Allah s.w.t jika kita masih ingin
mengharapkan pertolongan dariNya untuk mencapai kemenangan dalam perjuangan
kita ketika ini.
PENUTUP
Pengajaran
yang boleh diambil:
1. Pintu
kemenangan akan dibuka buat mereka yang menjadikan perjuangan hidupnya kerana
Allah s.w.t.
2. Dengan
kemenangan tersebut, sudah tentu diri akan diampunkan dosa terdahulu dan
terkemudian.
3. Ditambah
pula nikmat dan rezeki yang melimpah ruah.
4. Dipandu
pula dengan hidayah Allah s.w.t ke jalan yang benar.
5. Bermuhasabahlah
“ Pertolongan yang bagaimanakah lagi yang kita inginkan dalam usaha kita
mencapai kemenangan jika tidak pertolongan dari Allah yang Maha Berkuasa ke
atas Segala Sesuatu.”
Dari
Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak
Wallahualam