Jubah

Jubah

Sunday, January 4, 2015

2015: MEMBINA EMPAYAR KEJAYAAN

2015: MEMBINA EMPAYAR KEJAYAAN
PENDAHULUAN

Kita baru sahaja melangkah ke tahun baru iaitu tahun 2015. Pelbagai kisah dan pengalaman yang telah kita lalui sepanjang tahun lepas.

Ada yang baik dan ada yang kurang baik. Tetapi kesemua itu adalah pengajaran dari Allah s.w.t dalam memastikan kita ini menjadi umat dan khalifah yang terbaik di muka bumi ini.

Menjadi khalifah yang terbaik, dan memakmurkan bumi Allah ini dalam keadaan yang terbaik, maka itu adalah objektif kita sebenarnya dalam kehidupan ini.

Dan sudah tentu sebagai sebuah jemaah, perlu kita memastikan kekuatan ukhuwah kita berada pada tahap yang terbaik. Kerana kita sedang mengemudi ke arah suatu matlamat yang dinamakan kejayaan.

Menyusun kembali gerak kerja, menaikkan kembali motivasi pekerja, memastikan kepuasan pelanggan pada tahap yang terbaik, dan sebagainya, maka itu adalah misi kita tahun ini dan akan datang.

Apabila kita mengenang kembali tahun-tahun yang lepas, pelbagai pengalaman yang kita lalui. Dan sudah tentu kesilapan yang telah kita lakukan masa lepas, perlu kita pastikan tidak berulang pada tahun ini dan tahun akan datang.

Seabgai seorang yang professional, perlu kita pastikan kerja dan operasi kita berada di atas landasan syariat.

Sebelum ini pelbagai tajuk tazkirah dan ilmu yang dikongsikan. Tujuannnya adalah memastikan apa yang dilakukan dalam kehidupan kita adalah seperti yang Allah pinta.

BERLAYAR KE SAMUDERA IMPIAN

Dalam perancangan kita untuk berlayar ke samudera impian, maka segala persiapan perlu kita persiapkan.

Kita tahu di lautan adakala laut menjadi tenang, dan ada kala laut menjadi ganas dan berombak.

Maka apa yang penting adalah bagaimana kita menghadapinya selaku kita sebagai umat Islam yang dipimpin dengan syariat.

Jika hati kita tidak dikuatkan dengan iman, maka kita akan kalah dengan peperangan di lautan kehidupan.

Memacu akal dengan syariat pasti akan membawa kita ke arah kejayaan. Apapun masalah yang akan dihadapi untuk masa akan datang, sudah pasti kita dapat melaluinya dengan baik dan tenang.

Kerana syariat menjaga kita. Jika kita sayangkan syarikat, sayangkan perniagaan kita, sayangkan rakan-rakan sekerja kita, pastikan syariat itu dijaga dan dipraktikkan.

Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis - apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar).
(Surah An-Nuur:40)

PEMIMPIN PATUH SYARIAT, ORGANISASI AKAN BEROLEH RAHMAT

Demikianlah apa yang dijanjikan Allah kepada golongan hamba yang sentiasa patuh pada syariat. Patuh syariat, kita pasti akan beroleh rahmat.

Pentingnya rahmat ini adalah memastikan kita benar-benar menjadi pasukan yang kuat dan hebat.
Mendapat perlindungan dibawah rahmat Allah s.w.t, maka sudah tentu kita akan tenang dalam mengemudi bahtera pernigaan kita.

Seperti sebuah kapal yang hampir sesat dilautan, kemudian mendapat bantuan signal dari menara yang memacu dan menasihatinya sepanjang perjalanan, maka kapal tersebut akan sampai ke pangkalan dengan selamat.

Oleh demikian, sebagai pemimpin, kita perlu menjadi pemimpin yang patuh syariat, agar perjalanan kita untuk tahun ini dan tahun akan datang beroleh kejayaan dimana kejayaan itu mudah untuk kita petik sepanjang kita melaluinya.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Ayuh kita pastikan empayar kita menjadi lebih hebat dengan berpandukan syariat.

2.   Menjadikan perjuangan baginda Rasulullah s.a.w sebagai contoh dan tauladan yang baik dalam mencapai misi dan impian.

3.   Persiapkan iman yang teguh, kefahaman pada ilmu syariat yang jelas, agar bahtera yang akan dikemudi, selamat sampai ke destinasi.

4.      Untuk tahun ini, marilah kita sama-sama membina kembali empayar kegemilangan organisasi kita dalam memastikan ia berada di puncak kejayaan yang paling tinggi.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam



No comments:

Post a Comment