Jubah

Jubah

Monday, January 5, 2015

SOMBONG DAN TAKABBUR: PERANGKAP DIRI SENDIRI

SOMBONG DAN TAKABBUR: PERANGKAP DIRI SENDIRI
PENDAHULUAN

Adakah kita ini sombong? Apakah jika kita diberi satu kedudukan, dan kedudukan ini membuatkan kita menjadi sombong?

Maka awasilah dengan sikap ini. Kerana Allah s.w.t berfirman:

"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
(Surah Luqman:18)

Ayat ini menerangkan tentang kisah Luqman yang menasihati anaknya. Jelas daripada firman ini bahawa kita dilarang untuk berlaku sombong terhadap manusia.

Apa pun jenis kedudukan kita, maka perlu kita awasi diri kita dari menjadi sombong. Dan berdasarkan firman tadi juga Allah s.w.t secara jelas mengatakan bahawa Dia tidak suka kepada orang yang sombong, takabbur dan membanggakan diri.

Kerna itu sebagai individu muslim yang beriman kepada Allah s.w.t, sikap sombong perlu dijauhi. Kerna ia adalah perangkap buat diri kita di mana ia boleh mengundang kemurkaan Allah s.w.t.

TIDAK SOMBONG UNTUK TURUTI

Apakah kita akan sombong untuk turuti jika kita ini diperintahkan untuk melakukan sesuatu? Allah s.w.t berfirman:

Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): "Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab:" (Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah mereka (menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab api neraka yang marak menjulang?
(Surah Luqman:21)

Jelas pada ayat ini bahawa Syaitan itu sentiasa memimpin manusia ke arah kesesatan dan ia akan berusaha memastikan kita keluar dari landasan syariat.

Keadaan ini kita boleh lihat dalam situasi apabila seseorang yang menjalankan perniagaan yang tidak patuh syariah dan dia mendakwa bahawa perniagaan itu adalah dari keturunan nenek moyangnya sehinggakan mencapai keuntungan berjuta-juta.

Sedangkan kita dituntut untuk memastikan kehidupan kita berlandaskan patuh syariah termasuk dalam urusan muamalat.

IKHLAS: KESUDAHAN SEGALA URUSAN

Apabila sombong dijauhi, maka masukkanlah sifat ikhlas ke dalam diri. Ikhlas dalam setiap urusan. Allah s.w.t berfirman:

Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.
(Surah Luqman:22)

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Jangan berlaku sombong terhadap manusia dan juga Allah.

2.      Turutilah setiap suruhan dan laranganNya.

3.      Sentiasa kita beringat bahawa Allah s.w.t adalah kesudahan bagi segala urusan.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam


No comments:

Post a Comment