Jubah

Jubah

Monday, August 31, 2015

HATI YANG MERDEKA

HATI YANG MERDEKA

PENDAHULUAN
Hari-hari yang sedang kita lalui, kita akui ia sangat mencabar. Kerana padanya, kehidupan yang banyak didasari dengan hawa nafsu serta persekitaran yang jahiliyah.

Dan kita boleh lihat bilamana manusia sebahagian manusia kini makin jauh dengan Allah s.w.t. Jauh dalam ketaatan terhadap ibadah apatah lagi jauh dalam ketaatan terhadap syariatNya.

Dan kesan dari kehidupan seperti ini, ia melahirkan masyarakat yang rosak akhlaknya. Sukar untuk kita lihat nilai-nilai yang baik wujud di dalam masyarakat tersebut.

Di manakah puncanya? Dan bagaimanakah cara penyelesaiannya? Sedangkan hakikatnya kita semua tahu bahawa kita sedang berdiri di sebuah bumi yang akan binasa pada bila-bila masa atas izinNya.

Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui segala rahsia langit dan bumi; tiadalah hal kedatangan hari kiamat itu melainkan seperti sekelip mata, atau ia lebih cepat lagi; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
(Surah al-Nahl:77)

Dan tazkirah kali ini ingin kita sama-sama bermuhasabah tentang diri kita. Apakah hati kita ini sudah merdeka? Merdeka dari apa?

Merdeka dari penjajahan jahiliyah. Yang merosakkan kehidupan kita. Baik dalam kehidupan rumahtangga, mahupun dalam kerjaya.

TERLINDUNG DARI SIFAT NEGATIF

Hati yang merdeka, akan terlindung dari sifat negatif. Kerana hati itu tahu, sikap yang negatif adalah tanda hati masih dijajah.

Bila mana hati itu tahu akan hukum dan syariat, maka hati itu akan berhati-hati dari melaksanakan sesuatu yang luar dari batas syariat.

Sedangkan kita semua tahu bahawa dari hatilah sesuatu perbuatan itu akan bermula. Maka jika buruk perilaku, maka ia datang dari hati yang buruk.

Maka perlu kita awasi ia. Dari dijajah oleh pemikiran jahiliyah. Kita sentiasa berdoa agar Allah s.w.t tetapkan hati kita di atas agamaNya agar kita tidak tersalah laluan yang boleh menyimpangkan kita ke laluan neraka Allah s.w.t.

SYUKUR ATAS NIKMAT KURNIAANNYA

Kita sentiasa bersyukur kepada Allah s.w.t atas nikmat yang diberikan kepada kita. Bila mana hati dan kehidupan kita sudah dimerdekakan dari jahiliyah dan kemungkaran, maka Allah s.w.t akan terus memberi nikmat kepada kita.

Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari yang diciptakanNya: benda-benda untuk berteduh, dan Ia menjadikan bagi kamu sebahagian dari gunung-ganang tempat-tempat berlindung; dan Ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang. Demikianlah, Ia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepadaNya dan mematuhi perintahNya.
(Surah al-Nahl:81)

Jelas pada ayat ini dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita, maka perlulah bagi kita untuk berserah diri padaNya dan mematuhi segala perintahNya.

Demikianlah tanda Allah s.w.t menyayangi hamba-hambaNya jika kita berfikir.

KEMERDEKAAN PENUH KETAQWAAN, MELANGKAH KE SYURGA

Apabila hati sudah merdeka dari jahiliyah dan kemungkaran, kemudian disusuri pula dengan ketaqwaan dan ketaatan, maka hadiah paling besar adalah bila mana kita melangkah masuk ke dalam syurga Allah s.w.t yang menjadi idaman setiap jiwa yang merdeka.

Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:" Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya" (mereka pun masuk) -
(Surah az-Zumar:73)

Serta mereka berkata:" Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjiNya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari Syurga ini di mana sahaja kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal".
(Surah az-Zumar:74)

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Berusahalah untuk kita memerdekakan hati dari segala sifat-sifat mazmumah iaitu sifat-sifat yang keji.

2.      Bersyukurlah di atas segala nikmat kurnianNya.

3.      Berusahalah memastikan langkah kaki kita yang terakhir nanti adalah ketika mana kita melangkah masuk ke syurga Allah s.w.t.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallahualam

No comments:

Post a Comment