Jubah

Jubah

Monday, June 29, 2015

RAMADHAN: SEKOLAH TARBIYAH

RAMADHAN: SEKOLAH TARBIYAH

PENDAHULUAN

Ramadhan merupakan sekolah tarbiyah yang perlu kita pelajari di dalamnya. Belajar bagaimana untuk menjadi insan yang soleh.

Dan sudah tentu semester yang kita lalui hanya 1 bulan sahaja. Maka wajarlah untuk kita mengambil peluang 1 bulan ini dalam membentuk peribadi akhlak yang baik seterusnya mencapai apa yang dikatakan sebagai “moga-moga kamu bertaqwa”.

Di dalam madrasah Ramadhan ini, apakah perkara yang kita sedang tarbiyah kan? Dan apakah hasilnya nanti?

Sudah tentu silibus-silibus tarbiyah yang akan kita lalui berbentuk ujian. Ujian di mana ia menentukan kita bagaimana diri kita sebenarnya.

SILIBUS PUASA

Di dalam silibus ini, kita akan diuji bagaimana kita menjaga dan memelihara puasa kita. Jika sebelum ini kita mengambil remeh temeh soal aurat, soal mulut, soal tingkah laku dan sebagainya, maka silibus ini memainkan peranan dalam pembentukan syaksiah diri kita ke arah yang lebih baik.

Dan kita perlu berjaya dan selamat melaluinya. Jika tidak kita hanya mengurangkan pahalanya sahaja dan pada akhirnya kita rugi serugi-ruginya.

Sedangkan misi kita adalah untuk mengumpul markah pahala yang kita boleh manfaatkannya di akhirat kelak.

Tetapi jika silibus ini kita gagal, maka kita akan gagal bila mana melalui bulan-bulan lain yang akan datang.


SILIBUS TARAWIKH (QIAM)

Dalam membentuk diri yang lebih rajin dan sihat, maka silibus seterusnya adalah amalan qiam di bulan Ramadhan iaitu solat sunat tarawikh.

Ujian ini menentukan kita sama ada kita ini sebenarnya rajin beribadah atau tidak. Dan perlu untuk kita mengambil peluang ini bagi melatihkan diri agar rajin mengamalkan ibadah-ibadah sunat.

Tidak kisah buat 8 mahupun 21. Yang penting istiqamah. Kerana istiqamah itulah yang akan membantu kita untuk terus suka membuat amalan-amalan sunat di kemudian hari.

SILIBUS TADARUS AL-QURAN

Dalam menjadikan diri ini individu berakhlak, maka silibus al-quran memainkan peranan. Peluang di bulan Ramdhan ini perlu untuk kita rajin membaca al-quran dan memahami isinya.

Kerana dengan memahaminya, kita mampu untuk menjadi individu yang akhlaknya adalah akhlak al-Quran.

Berusahalah untuk menajdi seperti Baginda Rasulullah s.a.w di mana akhlak baginda adalah akhlak al-Quran.
Dan dengan amalan bertadarus ini juga, ia dapat menjadikan kita sebagai pencinta kepada al-Quran.

SILIBUS SEDEKAH

Dalam usaha menajdikan diri kita ini seorang yang pemurah, maka silibus sedekah perlu dilalui di bulan Ramadhan ini.

Kadang-kadang kita terlupa adakah kita ini dikalangan orang yang pemurah. Maka di bulan Ramadhan ini, perlu untuk kita melatih diri untuk memperbanyakkan sedekah.

Sedekah di bulan Ramadhan pahalanya berganda-ganda. Rugilah kepada orang yang tidak memanfaatkannya.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Jadikan bulan Ramadhan ini bulan untuk melatih diri agar menjadi lebih baik dan cemerlang.

2.      Ambillah manfaat terhadap silibus-silibus yang telah disediakan di madrasah Ramadhan ini bagi tujuan penambahbaikan pada diri kita sendiri.

3.      Renungkan “ Jika bulan Ramdahan ini kita gagal berubah ke arah yang lebih baik, pada masa akan datang keadaan akan tampak lebih sukar di masa akan datang”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam


Wednesday, June 24, 2015

RAMADHAN: KEMENANGAN YANG DICARI

RAMADHAN: KEMENANGAN YANG DICARI

PENDAHULUAN

Apakah kemenangan yang kita cari di dalam bulan ramadhan kali ini? Sebagai individu Muslim setiap hari kita adalah kemenangan buat kita.

Tetapi kemenangan yang bagaimanakah yang kita harapkan dan impikan?Sudah tentu kemenangan yang diredhai oleh Allah s.w.t.

Dan sudah pasti kemenangan yang kita harapkan adalah dari pertolongan Allah s.w.t. Sukar untuk mendapat kemenangan tanpa pertolongan Allah.

Allah s.w.t berfirman:

Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.
(Surah ali-Imraan:160)

KEMENANGAN MENJADI HAMBA BERTAQWA

Kemenangan yang kita harapkan di bulan yang mulia ini adalah kemenangan menjadi orang yang bertaqwa.

Menang dalam membentuk personaliti yang patuh shariah, menang dalam menjadi insan yang berakhlak, menang dalam menjadi manusia yang dihormati oleh masyarakat, dan menang dalam menajdi pemimpin yang disegani oleh rakyat bawahannya.

Inilah peluang kita di bulan Ramadhan, kita upgrade diri kita ke arah menjadi insan yang soleh dan solehah.

Kemenangan yang membawa ke syurga. Kemenangan yang boleh menjadikan kita hamba dan khalifah yang berguna dan bermanfaat pada dunia.

KEMENANGAN DALAM PERNIAGAAN

Seperti yang sedia maklum, kita akan upgrade perniagaan kita ke arah patuh shariah. Sudah tentu ia menjadi satu fenomena yang baru dan hebat.

Yang akan menjadi perhatian dunia. Menjadi sebuah hotel patuh shariah, ia akan menjadi contoh kepada masyarakat luar.

Apabila pertolongan Allah dan kemenangan itu datang, maka kita akan lihat manusia akan masuk ke dalam agama Allah beramai-ramai. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), -

Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, -

Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.
(Surah An-Nasr:1-3)

Jeals bahawa bila mana Allah bantu kita dalam mencapai kemenangan, kita akan lihat orang ramai masuk ke dalam agama Allah (Islam) beramai-ramai).

Di mana ada syariat, di situ ada kejayaan dan kemenangan.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Berusahalah mencari kemenangan yang diredhai oleh Allah s.w.t

2.      Kemenangan dalam menjadikan diri agar lebih bertaqwa.

3.      Kemenangan dalam perniagaan yang patuh shariah.

4.      Dan kemenangan dalam menegakkan agama Allah di muka bumi ini.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam



Tuesday, June 23, 2015

BULAN RAMADHAN: BULAN YANG DIHORMATI

BULAN RAMADHAN: BULAN YANG DIHORMATI
PENDAHULUAN

Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh mulia dan berkat. Di dalamnya mempunyai ganjaran yang disediakan buat hambaNya.

Dan disebabkan kemuliaan itulah, mana-mana umat Islam yang meraikannya dipandang tinggi dan dihormati.

Sebagaimana kita menghormati seseorang yang lain dengan penuh tertib dan tatasusila, begitu jugalah bulan Ramadhan yang perlu kita lebihkan kehormatan kepadanya.

Banyak dalil-dalil yang menceritakan tentang kemuliaan bulan Ramadhan. Dan salah satu kemuliaan bulan Ramadhan ini adalah bulan turunnya al-Quran. Allah s.w.t berfirman:

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. 
(Surah al-Baqarah:185)

Inilah kelebihan Bulan Ramadahan. Bulan yang wajib untuk kita hormati padanya. Tetapi malangnya, di zaman masa kini, kita lihat Bulan Ramadhan ini tidak lagi dihormati oleh sebahagian umatnya.

Persoalannya kenapa? Inilah yang dikatakan masalah hati. Hati yang gagal dalam berfungsi untuk menambah ramuan keimanan.

RAMADHAN DICEMARI DENGAN PERILAKU TIDAK SOLEH

Apakah perilaku yang tidak soleh yang telah ditampilkan oleh sebahagian umat Islam? Apakah wajib untuk kita ketahui? Sudah tentu ya.

Kerana ia dinilai sama ada Ramadhan kali ini benar-beanr mengubah diri kita ke arah lebih baik ataupun tidak.

Pertama, Ramadhan ini dicemari dengan pemakaian individu Muslim itu sendiri. Pemakaian yang tidak patuh syariat.

Mencacatkan suasana bulan Ramadhan ini. Kegagalan dalam menghormati bulan Ramadhan membuatkan perilaku tersebut tampak biasa dan pada akhirnya, kita akan digambarkan sebagai indidvidu yang gagal dalam kehidupan.

Kedua Ramadhan dicemari dengan aktiviti tidak sihat. Makan dan merokok di khalayak ramai. Hilangnya keindahan Ramadhan disebabkan wujudnya suasana sebegini dikalangan umat islam.

Ketiga, Ramadhan dicemari dengan aktiviti pembaziran. Nafsu bazar yang meluap-luap membuatkan ia terdorong ke arah pembaziran.

Perosalannya adakah itu yang diajarkan oleh Allah dan rasulNya? Kita disuruh memperbanyakkan amal ibadah di bulan puasa, bukan memperbanyyakkan juadah ketika berbuka puasa.

Justeru itu, perlu untuk kita berikan perhatian semula kepada Ramadhan kali ini. Pentas penghijrahan yang sepatutnya kita laksanakan akhirnya menajdi pentas pengrehatan semata-mata.

HORMAT DENGAN PERNGHAYATAN

Bagaimana kita dapat menghormati bulan Ramadhan? Iaitu kita benar-benar menghayatinya dan menikmatinya.

Menghayati maknanya Ramadhan. Yang datangnya ia untuk mendidik diri kita menjadi muslim yang baik dan bertaqwa.

Menikmati ibadah yang terkandung di dalamnya dengan penuh keimanan dan pengharapan. Mengharap agar dosa-dosa yang telah lalu diampunkan oleh Allah s.w.t.

Bulan ramadhan ini menunjukkan kepada kita bahawa kita juga boleh terpesong bukan kerana syaitan tetapi disebabkan hawa nafsu diri sendiri.

Maka hormatilah bulan Ramadhan ini dengan dihiasi dengan amal-amal soleh.


PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Hormatilah Ramadhan seperti mana kita menghormati seseorang yang mulia. Menjaga tatasusila dan adab dengannya.

2.    Elakkanlah dari sebarang perbuatan yang boleh mencacatkan keindahan Ramadhan kerna kita ini adalah ahli Ramadhan.

3.  Hayati dan nikmatilah Ramadhan dengan sebenar-benarnya kerna padanya terkandung pahala berganda.

4.      Bermuhasabahlah “ Adakah aku menghormati Ramadhan yang mulia ini atau tidak?

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallahualam

Sunday, June 21, 2015

RAMADHAN: DOA YANG DIMAKBULKAN

RAMADHAN: DOA YANG DIMAKBULKAN
PENDAHULUAN

Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia. Bulan yang padanya mempunyai keberkatan di sisi Allah S.W.T.

Justeru itu, sebagai individu Muslim yang sentiasa dambakan syurga Allah s.w.t, maka dengan kedatangan Ramadhan kali ini, dimanfaatkan sepenuh dan sebaiknya.

Selain kelebihan puasa, Qiam, dan tadarus al-Quran, doa juga adalah perkara yang sangat penting untuk kita memberi fokus.

Kerana dengan doa, kita dapat mengubah dari negatif kepada positif, dari ingkar kepada taat, dari keji kepada puji, dari dibenci kepada dicintai.

Sedangkan Allah s.w.t telah berfiman:

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

(Surah al-Baqarah:186)

Jelas pada ayat ini bahawa Allah s.w.t sentiasa dekat dengan hambaNya. Dan Allah juga akan perkenankan setiap doa hambaNya.

Persoalannya adalah, adakah kita selalu berdoa kepadaNya? Apakah yang kita doakan? Jika kita berdoa di dalam bahasa Arab, apakah kita faham akan maknanya? Jika tidak faham, apakah yang perlu kita lakukan bagi memberi kesan kepada doa yang dibaca?

DOA YANG TERBAIK UNTUK DIRI SENDIRI

Mulakanlah doa kita dengan memohon kepada Allah s.w.t agar diberi petunjuk dan hidayah. Pernahkah kita berfikir sejenak. Kenapa solat kita gagal mengubah kita ke arah lebih baik atau diistilahkan sebagai orang yang benar-benar bertaqwa?

Apakah kita tidak berdoa di dalam solat kita? Atau kita baca doa dalam keadaan kita tidak tahu apa yang dibaca? Atau solat kita sendiri itu gagal dilaksanakan dengan baik? Atau apakah kita sendiri tidak solat?

Maka rugilah jika kita ini benar-benar gagal memanfaatkan solat dan doa dalam kehidupan kita?Dan bertambah rugi bila mana kita gagal memanfaatkannya ketika di bulan Ramadhan.

Sedangkan kita tahu bahawa di bulan Ramadhan, doa sangat mustajab.

Rasulullah sallahu’alaihi wasallam bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَالْإِمَامُ الْعَادِلُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
“Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak: (1) orang yang berpuasa hingga ia berbuka, (2) imam yang adil dan (3) doa orang yang dizalimi.” (HR Tirmidzi 3522)

APAKAH DOA YANG PERLU DIPOHON?

Doalah kepada Allah agar kita diberi hidayah dan petunjuk. Berdoalah kepada Allah agar Allah tidak pesongkan hati kita dari kebenaran.

Doalah kepada Allah agar diri kita tidak terpesong dari ketaatan. Berdoalah keapda Allah agar diri kita tidak menjadi hamba yang paling ingkar. Berdoalah kepada Allah agar Allah memberi kehidupan yang terbaik buat diri kita.

Berdoalah kepada Allah agar kita ini tergolong di kalangan ahli syurga. Besarnya peranan doa di dalam kehidupan seseorang.

Tetapi malangnya, sebahagian umat Islam tidak suka berdoa. Dan jika berdoa, hanya sekadarnya tanpa bersungguh-sungguh. Jika kita tidak berdoa bersungguh-sungguh maka kita adalah hamba yang sombong.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Jadikanlah bulan Ramadhan ini bulan yang aktif untuk kita berdoa dan memohon kepada Allah s.w.t.

2.      Doalah agar Allah pelihara diri kita dari kesesatan dunia yang apda akhirnya kita akan tersungkur di pintu syurga.

3.   Dekatkan diri dengan Allah, pohon hidayah dariNya, luahkan isi hati kepadaNya, mengadu kepadaNya tentang permasalahan kita dengan agama kita dan urusan kehidupan kita.

4.  Bermuhasabahlah “Apakah kita masih ingin diam membisu atau menadah tangan berdoa dan bermunajat kepada Allah agar diberi kekuatan untuk berubah menjadi orang bertaqwa atau tidak?”

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam