Jubah

Jubah

Monday, August 31, 2015

HATI YANG MERDEKA

HATI YANG MERDEKA

PENDAHULUAN
Hari-hari yang sedang kita lalui, kita akui ia sangat mencabar. Kerana padanya, kehidupan yang banyak didasari dengan hawa nafsu serta persekitaran yang jahiliyah.

Dan kita boleh lihat bilamana manusia sebahagian manusia kini makin jauh dengan Allah s.w.t. Jauh dalam ketaatan terhadap ibadah apatah lagi jauh dalam ketaatan terhadap syariatNya.

Dan kesan dari kehidupan seperti ini, ia melahirkan masyarakat yang rosak akhlaknya. Sukar untuk kita lihat nilai-nilai yang baik wujud di dalam masyarakat tersebut.

Di manakah puncanya? Dan bagaimanakah cara penyelesaiannya? Sedangkan hakikatnya kita semua tahu bahawa kita sedang berdiri di sebuah bumi yang akan binasa pada bila-bila masa atas izinNya.

Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui segala rahsia langit dan bumi; tiadalah hal kedatangan hari kiamat itu melainkan seperti sekelip mata, atau ia lebih cepat lagi; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
(Surah al-Nahl:77)

Dan tazkirah kali ini ingin kita sama-sama bermuhasabah tentang diri kita. Apakah hati kita ini sudah merdeka? Merdeka dari apa?

Merdeka dari penjajahan jahiliyah. Yang merosakkan kehidupan kita. Baik dalam kehidupan rumahtangga, mahupun dalam kerjaya.

TERLINDUNG DARI SIFAT NEGATIF

Hati yang merdeka, akan terlindung dari sifat negatif. Kerana hati itu tahu, sikap yang negatif adalah tanda hati masih dijajah.

Bila mana hati itu tahu akan hukum dan syariat, maka hati itu akan berhati-hati dari melaksanakan sesuatu yang luar dari batas syariat.

Sedangkan kita semua tahu bahawa dari hatilah sesuatu perbuatan itu akan bermula. Maka jika buruk perilaku, maka ia datang dari hati yang buruk.

Maka perlu kita awasi ia. Dari dijajah oleh pemikiran jahiliyah. Kita sentiasa berdoa agar Allah s.w.t tetapkan hati kita di atas agamaNya agar kita tidak tersalah laluan yang boleh menyimpangkan kita ke laluan neraka Allah s.w.t.

SYUKUR ATAS NIKMAT KURNIAANNYA

Kita sentiasa bersyukur kepada Allah s.w.t atas nikmat yang diberikan kepada kita. Bila mana hati dan kehidupan kita sudah dimerdekakan dari jahiliyah dan kemungkaran, maka Allah s.w.t akan terus memberi nikmat kepada kita.

Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari yang diciptakanNya: benda-benda untuk berteduh, dan Ia menjadikan bagi kamu sebahagian dari gunung-ganang tempat-tempat berlindung; dan Ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang. Demikianlah, Ia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepadaNya dan mematuhi perintahNya.
(Surah al-Nahl:81)

Jelas pada ayat ini dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita, maka perlulah bagi kita untuk berserah diri padaNya dan mematuhi segala perintahNya.

Demikianlah tanda Allah s.w.t menyayangi hamba-hambaNya jika kita berfikir.

KEMERDEKAAN PENUH KETAQWAAN, MELANGKAH KE SYURGA

Apabila hati sudah merdeka dari jahiliyah dan kemungkaran, kemudian disusuri pula dengan ketaqwaan dan ketaatan, maka hadiah paling besar adalah bila mana kita melangkah masuk ke dalam syurga Allah s.w.t yang menjadi idaman setiap jiwa yang merdeka.

Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:" Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya" (mereka pun masuk) -
(Surah az-Zumar:73)

Serta mereka berkata:" Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjiNya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari Syurga ini di mana sahaja kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal".
(Surah az-Zumar:74)

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Berusahalah untuk kita memerdekakan hati dari segala sifat-sifat mazmumah iaitu sifat-sifat yang keji.

2.      Bersyukurlah di atas segala nikmat kurnianNya.

3.      Berusahalah memastikan langkah kaki kita yang terakhir nanti adalah ketika mana kita melangkah masuk ke syurga Allah s.w.t.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallahualam

Thursday, August 27, 2015

“MAAF,TIADA SYAFAAT BAGIMU”

“MAAF,TIADA SYAFAAT BAGIMU”


PENDAHULUAN

Ketika di akhirat kelak, setiap jiwa pasti akan berusaha mendapatkan syafaat. Syafaat daripada siapa? Iaitu syafaat dari para Rasul.

Tetapi siapakah selayaknya mendapat syafaat di akhirat kelak? Marilah kita renungkan firman Allah s.w.t.

Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibat atau kesudahan (apa yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Quran), pada hari datangnya apa yang telah dijanjikan dalam Al-Quran itu (pada hari kiamat kelak), berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang tidak menghiraukannya dalam dunia) dahulu: "Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran, maka adakah untuk kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi kami atau (bolehkah) kami dikembalikan (ke dunia) supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah kerjakan?" Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri, dan telah lenyaplah dari mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.
(Surah al-A’araf:53)

Jelas pada ayat ini bahawa apa yang telah dijanjikan oleh Allah itu, pasti akan berlaku. Dan ketika itu, jika kita tergolong dikalangan golongan yang akan dihumban ke neraka Allah, maka tiada lagi peluang buat kita.

Sedangkan kita sudah pun diberi peringatan demi peringatan untuk kita sedar akan permainan dunia, dan kehidupan dunia yang hanya sementara.

Kehidupan dunia yang jika tidak dilandasi dengan syariat, maka kebinasaan yang akan kita perolehi di akhirat kelak.

PERINGATAN TELAH DISAMPAIKAN

Seperti yang pernah kita bincang sebelum ini akan bahawa peringatan-peringatan dari Allah s.w.t telah disampaikan kepada kita. Melalui jalan Rasul-RasulNya dan Kitab-KitabNya.

Akan tetapi malangnya masih lagi terdapat golongan yang berkeras untuk menolak peringatan tersebut.

Punca? Kerana mereka masih lagi tidak beriman dengan hari Akhirat. Mereka masih lagi tidak beriman dengan para Rasul dan Kitab-KitabNya.

Maka ketika ini perlu untuk kita bermuhasabah agar diri kita ini tidak terjerumus ke lembah kebinasaan yang seperti mana telah dimaklumkan oleh Allah dalam Al-Quran.

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad dari Tuhanmu). Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu mengenainya, supaya engkau memberi amaran dengan Al-Quran itu (kepada orang-orang yang ingkar), dan supaya menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman.
(Surah al-A’araf:2)

PELIHARA AMALAN DAN MENJAGA KEBAIKAN YANG ALLAH SEDIAKAN

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.
(Surah al-A’araf:56)

Jelas pada ayat ini bahawa kita dilarang untuk merosakkan bumi Allah ini dengan kejahatan atau kemusnahan sedangkan Allah sudah sediakannya dalam keadaan baik.

Dan kita juga dituntut untuk sentiasa memelihara amalan kita. Amalan yang boleh menyelamatkan kita di akhirat kelak.

Bagi mereka yang benar-benar beriman dengan Allah dan RasulNya, maka peringatan ini akan segera dilaksanakannya. Jika tidak, maka bahaya dan kebinasaan menantinya.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Berusahalah kita memperbaiki amalan kita agar kita dipermudahkan laluan ke syurga.

2.      Selalulah berselawat ke atas Baginda Muhammad s.a.w dan mengikuti sunnahnya agar kita mendapat syafaat darinya.

3.      Berdoalah agar kita tidak menjadi golongan yang sentiasa patuh dan taat kepada setiap peringatan dari Allah s.w.t.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallahualam

Monday, August 3, 2015

APABILA KERISAUAN KITA DIBAWAH PERHATIAN ALLAH S.W.T

APABILA KERISAUAN KITA DIBAWAH PERHATIAN ALLAH S.W.T
 
PENDAHULUAN

Setiap kita pasti akan ada kerisauan. Kerisauan dalam menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba ini. Dan kebiasannya kerisauan ini boleh membuatkan kita hilang fokus sementara terhadap tanggungjawab kita selaku individu muslim.

Apakah perkara yang selalu merisaukan kita? Sudah tentu perkara yang merisaukan kita seperti keewangan, rumahtangga, kerjaya dan sebagainya.

Tetapi persoalannya bagaimanakah kita dapat hadapi kerisauan ini? Dengan cara bagaimana? Apakah ada dalil yang mengajarkan kita tentang cara menghadapi kerisauan dalam diri kita?

Sebagi individu muslim yang beriman dengan kebesaran Allah s.w.t, beriman dengan perutusan para Rasul, beriman dengan panduan kitabullah, beriman dengan adanya hari Akhirat iaitu Hari Pembalasan, dan beriman terhadap Qada’ dan Qadar Allah s.w.t.

Maka adalah penting untuk kita sandarkan seluruh kehidupan kita agar ia selari dengan syariat Allah s.w.t.Tujuannya apa? Agar kita selamat di dunia dan selamat di akhirat.

BILA RISAU SESUATU,BERDOALAH

Sudah tentu bila mana kita risaukan sesuatu perkara, maka jalan yang terbaik adalah dengan berdoa.
Kenapa berdoa? Kerna apabila kita risau, maka doalah terhadap kerisauan tersebut. Setelah berdoa, jangan lagi risau. Kerna apa? Kerana kerisauan kita itu sudah berada dalam perhatian Allah s.w.t yang Maha Agung Lagi Maha Besar.

Dan tiadalah yang dapat menghilangkan kerisauan tersebut melainkan Allah s.w.t. Jadi apakah perkara yang perlu kita buat?

Berdasarkan firman Allah s.w.t:
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
(Surah al-Baqarah:45)

Jelas pada ayat ini bahawa Allah s.w.t menyuruh kita untuk meminta pertolongan kepadaNya dengan jalan yang penuh kesabaran.

Dan sudah tentu bagi orang yang tidak bersungguh-sungguh dalam berdoa, maka dia akan terasa bebannya.

Maka berdoalah dengan penuh khusyuk dan penuh pengharapan.

BERDOA AGAR DIBERI KEKUATAN DALAM MENGHADAPI UJIAN

Dan perkara yang amat penting adalah apabila kita berdoa untuk diberi kekuatan dalam menghadapi ujian-ujian yang mendatang.

Kerana apa? Kerana kita tidak tahu bagaimanakan ujian yang akan kita hadapi. Ujian dan cabaran itu pada positifnya adalah sebagai tonik untuk kita menjadi lebih kuat.

KETENANGAN DALAM KERISAUAN

Sudah tentu bila mana kita menghadapi kerisauan, ketenangan yang kita cari ketika mana kita menghadapinya.

Pada zaman Baginda Rasulullah s.a.w sendiri, Baginda juga risau jika dakwah baginda tidak diterima dengan baik oleh masyarakat ketika itu. Tetapi Allah tenangkan Baginda dengan ganjaran-ganajaran yang dijanjikan di Akhirat kelak, Allah tenangkan Baginda bila mana baginda terus menerus berdoa kepada Allah s.w.t, dan sebagainya

Justeru itu yakin akan keagungan Allah s.w.t, yakinkan akan pertolonganNya, yakin akan tiada yang lebih hebat melainkan Allah s.w.t Pencipta Langit dan Bumi.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Berdoalah kepada Allah selalu jika kita berhadapan dengan kerisauan dalam kehidupan.

2.      Solatlah dengan penuh khusyuk kerana disitu ada ketenangan.

3.      Yakinlah akan keagungan Allah s.w.t yang menentukan segala-galanya.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallahualam