Jubah

Jubah

Thursday, February 12, 2015

MENUAI SAHAM AKHIRAT DENGAN SYARIAT

MENUAI SAHAM AKHIRAT DENGAN SYARIAT
PENDAHULUAN

Setiap kita seperti sedia maklum akan menemui PenciptaNya. Dan tidaklah mati anak Adam itu melainkan akan pulang ke pangkuan Allah s.w.t.

Tetapi kepulangan yang bagaimanakah yang kita inginkan? Adakah kepulangan yang tiada bekalannya?

Dan sebagai seorang pemimpin, baik pemimpin masyarakat, pekerja, mahupun keluarga, sudah tentu amanah yang dipegang selama ini akan dijadikan bekalan buat kita di akhirat kelak.

Apakah dia saham akhirat?Apakah kita sudah menyediakan saham tersebut sebelum menemui Allah s.w.t?

Orang yang baginya sentiasa bersungguh-sungguh mengumpul saham akhirat, sudah tentu tidak akan takut untuk bercita-cita untuk mati. Kecuali orang yang sentiasa bergelumang dengan dosa serta berlaku zalim.

Allah s.w.t berfirman:

Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu. (Surah al-Baqarah:95)

SYARIAT: BEKALAN SAHAM AKHIRAT

Dan salah satu cara untuk kita menambahkan bekalan saham akhirat kita adalah dengan menerapkan prinsip syariat dalam kehidupan kita.

Kita lihat sekarang ini bagaimana kehidupan manusia sudah terkeluar dari landasan syariat Islam.

Sebab itu peranan pemimpin sangat penting di dalam memastikan kehidupan orang di bawah pimpinannya berada di atas landasan syariat Islam.

Jangan biarkan isi al-Quran itu tersemat di helaian kertas sahaja tanpa ada praktiknya di dalam kehidupan.

Akan menjadi amat rugilah kita jika kita terus-menerus dihanyutkan dengan kehidupan tanpa ada pegangan dari al-Quran dan as-Sunnah.

MELAKSANAKAN SYARIAT DENGAN TARBIYAH

Sudah tentu masalah seseorang dalam melaksanakan syariat dalam kehidupannya adalah kerana kurangnya tarbiyah pada dirinya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz ada pernah berkata ketika beliau memerintah negeri Kelantan “ Ambo bukan memerintah Kelantan, tetapi ambo mentadbir Kelantan. Untuk berjaya dalam kesemua bidang seperti ekonomi, social dan politik, ambo pimpin  hati-hati mereka. Menerapkan nilai-nilai tarbiyah pada hati. Apabila hati baik, maka keseluruhan kehidupan itu akan menjadi baik”.

Begitulah kata-kata yang dikongsikan oleh Murabbi Ummah dalam mentadbir negerinya dengan kepatuhan syariah.

Apakah kita tidak mahu mengambil contoh sedemikian dalam usaha memantapkan organisasi kita?
Maka ayuh kita perkuatkan jemaah kita, mantapkan hati kita dengan nilai-nilai keimanan dan tarbiyah.

Jangan mengejar dunia sehingga terlupa akan kepentingan akhirat. Kerana akhirat itu tempat tinggal yang abadi. Allah berfirman:

Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.
(Surah al-Baqarah:86)

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Sebagai pemimpin, terapkan secara bersungguh-sungguh syariat Islam dalam organisasi dan jabatan.

2.      Terapkan nilai-nilai tarbiyah di dalam diri dan juga diri serta ahli dibawah pimpinan.

3.    Berusahalah untuk menyelamatkan diri di akhirat kelak dengan berusaha melabur saham-saham di dunia ini dengan kebaikan.

4.  Bermuhasabahlah “ Adakah bekalan saham akhirat aku telah mencukupi atau tidak sebelum berakhirnya hayatku di dunia ini?

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam

No comments:

Post a Comment