Jubah

Jubah

Sunday, February 22, 2015

MEMBUKA TIRAI TAQWA

MEMBUKA TIRAI TAQWA
PENDAHULUAN

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.
(Surah al-Anfaal:29)

Tazkirah kali ini ingin sama-sama kita bermuhasabah kembali kehidupan kita  dalam usaha untuk meraih keuntungan dunia dan juga keuntungan akhirat.

Sebagai manusia sudah tentu kita inginkan keuntungan dunia dan juga keuntungan akhirat. Apakah keuntungan itu?

Bagaimanakah cara untuk memperolehinya dengan mudah? Apakah ada cara atau jalan yang boleh kita meraih kedua-duanya?

Sudah tentu ada.Iaitu dengan cara kita taqwa kepada Allah s.w.t. Kita meyakini akan kebenaran al-Quran. Apakah kita tidak yakin akan kebenaran ayat-ayat dan janji Allah s.w.t?

Bukankah ini yang kita cari selama ini? Mencari petunjuk yang boleh membezakan antara yang benar dan yang salah.

KEADAAN YANG BERCAMPUR ADUK

Di zaman kita ini, keadaan menajdi campur aduk. Kita tidak tahu yang mana satu jalan yang benar dan yang salah. Yang mana satu jalan yang boleh membawa kepada kejayaan dan kegagalan.

Dan bagi orang yang hidupnya tidak berhubung dengan Allah s.w.t, sudah pasti dia  tidak akan jumpa jalan yang memisahakan yang benar dan yang salah.

Apakah kita ingin keadaan sedemikian berlaku dalam kehidupan kita, keluarga kita serta organisasi kita?

Sudah tentu tidak. Maka jalan penyelesaian yang terbaik adalah dengan meletakkan kehidupan atas dasar taqwa.

UBAH PROSEDUR MUDAH UBAH HATI SUKAR?

Benarkah untuk ubah hati itu sukar? Sudah tentu sukar. Kerna jika hati itu menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk nasihat, maka jalan kepada kebenaran itu akan menjadi sukar.

 Untuk ubah sesuatu prosedur itu mudah. Hanya berbekalkan fakta serta penghujahan yang kuat, kita mampu ubahnya dengan baik.

Tetapi hati amat sukar untuk diubah. Akan ada orang yang menunjukkan jalan tetapi dia tidak mampu memaksa orang tersebut untuk melaluinya melainkan hati individu tersebut memilih sendiri untuk melaluinya.

Inilah yang perlu kita usahakan dalam kehidupan kita dengan membuka dan menjadikan kehidupan lebih bertaqwa.

Terapkan asas-asas nilai murni, dan kepatuhan terhadap syariat, maka kehidupan akan lebih baik.

DENGAN TAQWA KITA KE SYURGA

Sifat Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa itu ialah air sungai-sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; makanannya kekal tidak putus-putus dan naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan usaha orang-orang yang bertaqwa, sedang kesudahan usaha orang-orang yang kafir pula ialah neraka.
(Surah ar-Ra’d:35)

Jelas bahawa syurga itu dijanjikan buat orang yang bertaqwa. Dan neraka itu dijanjikan buat orang yang kafir iaitu menentang Allah dan RasulNya.

Sebab itu syurga amat mahal harganya. Bukan sebarang orang yang boleh masuk ke dalamnya. Hanya orang yang benar-benar berasa takut terhadap Tuhannya ketika di dunia  dan bersungguh-sungguh menunaikan hak Penciptanya.

Maka untuk membeli syurga, belilah ia dengan taqwa. Dan perlu kita ingat, penghuni di neraka adalah lebih ramai berbanding syurga.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.    Berusahalah kita membuka tirai taqwa dalam kehidupan kita dengan mematuhi segala suruhan dan laranganNya.

2.  Berusahalah menjadikan kehidupan kita ini dihiasi dengan amal-amal yang baik serta soleh dan solehah.

3.      Berusahalah untuk mengubah hati ke arah yang lebih baik jika kita ingin perubahan yang mulia.
4.      Syurga itu mahal harganya maka belilah ia dengan taqwa.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam



Thursday, February 12, 2015

KEMBALINYA MURABBI UMMAH KE PANGKUAN ILAHI

AL-FATIHAH

"BEREHATNYA SEORANG ULAMA DARI URUSAN DUNIA. KITA JUGA AKAN MENYUSUL SELEPAS INI"

DARI ALLAH KITA DATANG, KEPADA ALLAH JUALAH KITA DIKEMBALIKAN KELAK

TUAN GURU DATUK NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
1931-2015
 KENANGAN BERSAMA MURABBI UMMAH DI PNB DARBY PARK EXECUTIVE SUITES, KUALA LUMPUR


MENUAI SAHAM AKHIRAT DENGAN SYARIAT

MENUAI SAHAM AKHIRAT DENGAN SYARIAT
PENDAHULUAN

Setiap kita seperti sedia maklum akan menemui PenciptaNya. Dan tidaklah mati anak Adam itu melainkan akan pulang ke pangkuan Allah s.w.t.

Tetapi kepulangan yang bagaimanakah yang kita inginkan? Adakah kepulangan yang tiada bekalannya?

Dan sebagai seorang pemimpin, baik pemimpin masyarakat, pekerja, mahupun keluarga, sudah tentu amanah yang dipegang selama ini akan dijadikan bekalan buat kita di akhirat kelak.

Apakah dia saham akhirat?Apakah kita sudah menyediakan saham tersebut sebelum menemui Allah s.w.t?

Orang yang baginya sentiasa bersungguh-sungguh mengumpul saham akhirat, sudah tentu tidak akan takut untuk bercita-cita untuk mati. Kecuali orang yang sentiasa bergelumang dengan dosa serta berlaku zalim.

Allah s.w.t berfirman:

Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu. (Surah al-Baqarah:95)

SYARIAT: BEKALAN SAHAM AKHIRAT

Dan salah satu cara untuk kita menambahkan bekalan saham akhirat kita adalah dengan menerapkan prinsip syariat dalam kehidupan kita.

Kita lihat sekarang ini bagaimana kehidupan manusia sudah terkeluar dari landasan syariat Islam.

Sebab itu peranan pemimpin sangat penting di dalam memastikan kehidupan orang di bawah pimpinannya berada di atas landasan syariat Islam.

Jangan biarkan isi al-Quran itu tersemat di helaian kertas sahaja tanpa ada praktiknya di dalam kehidupan.

Akan menjadi amat rugilah kita jika kita terus-menerus dihanyutkan dengan kehidupan tanpa ada pegangan dari al-Quran dan as-Sunnah.

MELAKSANAKAN SYARIAT DENGAN TARBIYAH

Sudah tentu masalah seseorang dalam melaksanakan syariat dalam kehidupannya adalah kerana kurangnya tarbiyah pada dirinya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz ada pernah berkata ketika beliau memerintah negeri Kelantan “ Ambo bukan memerintah Kelantan, tetapi ambo mentadbir Kelantan. Untuk berjaya dalam kesemua bidang seperti ekonomi, social dan politik, ambo pimpin  hati-hati mereka. Menerapkan nilai-nilai tarbiyah pada hati. Apabila hati baik, maka keseluruhan kehidupan itu akan menjadi baik”.

Begitulah kata-kata yang dikongsikan oleh Murabbi Ummah dalam mentadbir negerinya dengan kepatuhan syariah.

Apakah kita tidak mahu mengambil contoh sedemikian dalam usaha memantapkan organisasi kita?
Maka ayuh kita perkuatkan jemaah kita, mantapkan hati kita dengan nilai-nilai keimanan dan tarbiyah.

Jangan mengejar dunia sehingga terlupa akan kepentingan akhirat. Kerana akhirat itu tempat tinggal yang abadi. Allah berfirman:

Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.
(Surah al-Baqarah:86)

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Sebagai pemimpin, terapkan secara bersungguh-sungguh syariat Islam dalam organisasi dan jabatan.

2.      Terapkan nilai-nilai tarbiyah di dalam diri dan juga diri serta ahli dibawah pimpinan.

3.    Berusahalah untuk menyelamatkan diri di akhirat kelak dengan berusaha melabur saham-saham di dunia ini dengan kebaikan.

4.  Bermuhasabahlah “ Adakah bekalan saham akhirat aku telah mencukupi atau tidak sebelum berakhirnya hayatku di dunia ini?

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak

Wallahualam