Jubah

Jubah

Tuesday, July 21, 2015

PEMBELAAN DAN KEMENANGAN

PEMBELAAN DAN KEMENANGAN

PENDAHULUAN

Dalam kita melayari kehidupan yang mencabar ini, dalam kita sedang berusaha memandu kehidupan dan organisasi kita ke arah keredhaan Allah s.w.t, adakalanya kita akan terasa sedikit penat dan letih.
Malah sampai satu tahap kita akan rasa ingin mengalah. Mengalah kerana cabaran dan halangan dari anasir-anasir luar sangat kuat dan hebat.

Tetapi percayalah bahawa tiadalah yang lebih hebat dan lebih berkuasa melainkan Allah S.W.T yang menciptakan, yang menghidupkan dan yang mematikan.

Apakah ada kuasa lain yang sehebat Allah s.w.t? Sudah tentu tidak. Maka apakah perlu untuk kita berasa gusar dan khuatir jika apa yang sedang kita usahakan mendapat halangan dari anasir-anasir luar.

Perhatikanlah sebuah firman Allah s.w.t sebagai galakan buat kita untuk terus berpendirian teguh di atas syariatNya.

Allah s.w.t berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
(Surah Muhammad:7)

Jelas pada ayat ini bahawa Allah s.w.t akan membela buat mereka yang membela agama Allah s.w.t.

MEMBELA SYARIAT ALLAH DI MUKA BUMI

Selari dengan peranan kita sebagai khalifah, khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan bumi Allah ini, bertanggungjawab dalam memegang amanah yang diberikan, dan bertanggungjawab dalam menyampaikan kebenaran, maka sudah tentu ia satu pembelaan yang sangat besar.

Dan sudah tentu dalam menunaikan tanggungjawab tersebut pasti ada liku-likunya. Dan liku-liku ini perlu dihadapi dengan kekuatan iman yang jitu. Di mana terdapat Allah di dalam hati.

Tuags sebagai muslim yang mengimani akan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t, serta perutusan para Rasul, maka sudah pasti tanggungjawab dalam membela agama Allah itu adalah suatu yang wajib bagi kita jika kita benar-benar inginkan kemenangan.

KEMENANGAN YANG DIJANJIKAN

Berdasarkan firman Allah s.w.t sebentar tadi,Allah menjanjikan kemenangan. Kemenangan buat mereka yang membela agama Allah s.w.t

Bukankah kemenangan ini yang sedang kita cari? Kemenangan dalam perniagaan, kemenangan dalam melahirkan organisasi yang berjaya, kemenangan dalam memberikan kepuasan kepada para tetamu dan pelanggan, kemenangan dalam mendidik anggota kerja ke arah lebih taat dan patuh terhadap sebuah kepimpinan.

Maka jika kita benar-benar memelihara dan menjaga syariat Allah s.w.t, sudah tentu kemenangan itu akan datang kepada kita tanpa kita duga.

PENUTUP

Pengajaran yang boleh diambil:

1.      Berusahalah untuk membela agama Allah s.w.t walau kita berada di mana sekalipun.

2.      Tetap teguhlah di atas jalan syariat Islam, jika kita idamkan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

3.      Janji Allah itu pasti, maka kejarlah janji itu jika kita benar-benar beriman kepadaNya.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak


Wallahualam